5 Para Sahabat Menurut al-Qur’an al-Karim
Sesungguhnya termaktub di dalam ayat-ayat suci al-Qur’an yang penuh keberkatan, pujian terhadap para sahabat radhiallahu ‘anhum serta kenyataan akan kelebihan serta keutamaan mereka. Ini disebabkan betapa banyaknya usaha yang mereka lakukan bagi membantu serta mempertahankan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam melaksanakan tugas kerasulan baginda. Nyata kepada para sahabat itu iman yang benar, ketakwaan kepada Allah, ketakutan terhadap-Nya, pemerhatian serta penyerahan diri yang penuh kepada-Nya. Terserlah juga ke atas mereka sifat kesabaran terhadap kesusahan yang menimpa ditambah dengan kewarakan serta kezuhudan di dalam kehidupan dunia. Betapa sempurnanya kasih mereka kepada Allah serta Rasul-Nya serta kesungguhan mereka melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Mereka juga menyampaikan ajaran al-Qur’an serta Sunnah Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kejujuran serta keikhlasan selepas wafatnya baginda. Mereka juga berjihad bagi menegak serta mempertahankan agama, membuka negara, peradaban serta melakukan pembaikan (islah) ke atasnya. Sesungguhnya para sahabatradhiallahu ‘anhum merupakan pilihan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamke atas umat ini. Dengan demikian tiada sesiapa yang dapat mengatasi ataupun menyamai kelebihan mereka sama ada di kalangan mereka yang terdahulu mahupun di kalangan umat akhir zaman kecuali para Rasul serta Nabi ‘alaihimus solatu wassalam.
Berikut dikemukakan ayat-ayat al-Qur’an yang menyatakan pengiktirafan Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas para sahabat radhiallahu 'anhum yang berupa pujian, kemuliaan, pembelaan, keampunan dan ganjaran syurga. Sebahagian daripada ayat-ayat ini ada yang umum meliputi seluruh sahabat dan ada yang khusus meliputi sebahagian sahabat.
Pertama:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Dan demikianlah, Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan (kebenaran dan kesalahan) perbuatan kamu. [al-Baqarah 2:143]
Ayat ini ditujukan kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum sebelum ditujukan ke atas kaum Muslimin lainnya. Mereka adalah pemimpin di kalangan umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi saksi ke atas umat terdahulu di Hari Akhirat nanti. al-Tirmizi meriwayatkan di dalam (kitab Sunannya, bab) al-Tafsir, sebuah hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallammenafsirkan ayat (وكذلك جعلناكم أمة وسطا) sebagai bermaksud “adil”. Hadis ini adalah hasan sahih.
Selain menjadi saksi ke atas umat terdahulu, (وكذلك جعلناكم أمة وسطا) pada ayat tersebut juga membawa pengertian bahawa para sahabat itu merupakan pemimpin yang adil yang menjadi saksi ke atas umat Nabishallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berdasarkan kepada sabda baginda di dalam sebuah hadis yang sahih:
مَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَمَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ.
Sesiapa yang kalian katakan terhadapnya kebaikan maka wajib baginya syurga dan sesiapa yang kalian katakan terhadapnya keburukan maka wajib baginya neraka. Kalian semua adalah saksi Allah di bumi ini, kalian semua adalah saksi Allah di bumi ini, kalian semua adalah saksi Allah di bumi ini.
Kedua:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah 2:218]
Menurut Qatadah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan pujiannya terhadap para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallamdengan pujian yang sebaik-baiknya di dalam ayat tersebut. Mereka merupakan pilihan ke atas umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
Turunnya ayat tersebut disebabkan suatu kisah dimana tentera Islam di bawah pimpinan Abdullah bin Jahsy radhiallahu ‘anh telah melakukan pembunuhan ke atas musuh-musuh Islam di bulan Rejabsedangkan pada sangkaan mereka ianya pada akhir bulan Jamadil Akhir. Dengan itu mereka merasa berdosa dan menganggap tiada ganjaran pahala di atas tindakan yang mereka lakukan sedangkan hakikatnya tidak demikian.
Menurut ulama’ tafsir, orang-orang beriman yang berhijrah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau yang berhijrah kepada baginda, mereka sebenarnya memberikan pertolongan yang benar. Mereka telah berjihad membunuh serta memerangi golongan musyrikin dengan mengharap rahmat Allah serta kebaikan daripada-Nya dengan pengharapan yang sebenar-benarnya. Oleh itu mereka lebih layak menerima ganjaran berdasarkan apa yang mereka harapkan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Maha luas Pengampunan-Nya serta Rahmat-Nya ke atas orang-orang beriman yang bertaubat serta berbuat kebaikan. Dengan itu sudah tentulah golongan Mujahidin di kalangan Muhajirin layak mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ketiga:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah serta kamu pula beriman kepada Allah. [Ali-Imran 3:110]
Ayat ini asalnya ditujukan kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum. Menurut Ibn Abbas radhiallahu ‘anh yang dimaksudkan dengan sebaik-baik umat dalam ayat ini adalah para sahabat yang berhijrah bersama Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam. Menurut Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh:
لو شاء الله لقال: أنتم. فكنا كلنا، ولكن قال ((كنتم)) في خاصة أصحاب محمد، ومن صنع مثل صنيعهم كانوا ((خير أمة أخرجت للناس)).
Jika Allah kehendaki, nescaya Dia mengatakan: Antum, yang termasuk ke dalamnya semua kita. Akan tetapi Allah mengatakan kuntum, mengkhususkannya untuk para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam semata-mata, dan sesiapa yang membuat seperti apa yang dibuat oleh mereka (para sahabat) sahaja maka mereka itu (termasuk dalam kategori) sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia.
Ayat yang mulia tersebut turun setelah turunnya perintah Allah supaya umat Islam berpegang dengan tali Allah. Sebelum itu Allah menyebut nikmatnya ke atas orang yang beriman dengan melembutkan hati mereka menerusi persaudaraan Islam, mencegah mereka dari perpecahan serta perselisihan agama serta memberi ancaman dengan azab yang menyeksakan sekiranya mereka tidak berpegang dengan tali Allah. Maka Allah memuji mereka dengan kedudukan yang mulia. Kamu sebaik-baik umat yang mempunyai kelebihan ke atas umat lainnya disebabkan melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran serta beriman kepada AllahSubhanahu wa Ta‘ala.
Golongan yang dimaksudkan ayat di atas adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam diikuti dengan para sahabat baginda radhiallahu ‘anhum. Mereka merupakan golongan yang telah dikurniakan kasih sayang ke dalam hati mereka serta golongan yang berpegang dengan tali Allah dengan sebenarnya sehingga tidak wujud pemisahan di dalam agama serta tidak timbul mazhab-mazhab di kalangan mereka. Mereka beriman kepada Allah sehinggakan Allah meningkatkan kefahaman mereka, menyucikan hati mereka sehingga sanggup mereka meninggalkan tanah air serta kampung halaman demi menegakkan agama Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka terserlah faedah dari peninggalan usaha mereka itu dimana mereka telah berjaya membuka negara, mengubah peradaban dunia serta menyebarkan agama yang hak dengan penuh keadilan. Maka nyatalah terhadap para sahabat kelebihan yang sangat banyak yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Oleh kerana itu apa yang terjadi di kalangan mereka misalnya perbezaan pendapat tentang isu pembunuhan ‘Utsman radhiallahu ‘anhtidak memberi kesan kepada apa yang disifatkan oleh Allah di dalam ayat tersebut. Ini kerana perbezaan pendapat di kalangan mereka hanyalah melibatkan urusan keduniaan bukannya urusan keagamaan serta tidak menyebabkan timbulnya mazhab baru selepas mereka sebagaimana yang terjadi (beberapa ketika) selepas itu.
Menurut sebahagian besar ulama’ tafsir setelah ayat tersebut ditujukan kepada para sahabat ianya ditujukan pula kepada sekalian orang yang beriman. Al-Alusi rahimahullah di dalam kitabnya Ruh al-Ma‘aniberkata:
والظاهر أن الخطاب وإن كان خاصا بمن شاهد الوحي من المؤمنين أو ببعضهم لكن حكمه يصلح أن يكون عاما للكل كما يشير إليه قول عمر رضي الله تعالى عنه فيما حكى قتادة: ياأيها الناس من سره أن يكون من تلكم الأمة فليؤد شرط الله تعالى منها.
Secara zahirnya ayat ini khas ditujukan ke atas mereka yang menyaksikan penurunan wahyu di kalangan orang beriman (para sahabat) atau sebahagian mereka, akan tetapi ianya boleh dijadikan hukum umum bagi sekalian manusia sebagaimana kata-kata Umar radhiallahu ‘anh yang diriwayatkan oleh Qatadah: “Wahai manusia sesiapa yang berasa suka untuk menjadi sebahagian dari golongan tersebut maka hendaklah dia menunaikan syarat Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadapnya.”
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
أُعْطِيتُ مَا لَمْ يُعْطَ أَحَدٌ مِنْ الأَنْبِيَاءِ. فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هُوَ؟ قَالَ: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ وَأُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الأَرْضِ وَسُمِّيتُ أَحْمَدَ وَجُعِلَ التُّرَابُ لِي طَهُورًا وَجُعِلَتْ أُمَّتِي خَيْرَ الأُمَمِ.
Aku telah diberikan oleh Allah apa yang tidak diberikan-Nya kepada seorang jua daripada Nabi-Nabi. Maka kami bertanya: “Apakah itu wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Aku dimenangkan (dalam peperangan) hanya kerana rasa ketakutan yang dijatuhkan Allah ke dalam hati musuh, aku diberi kunci-kunci dunia, aku diberi nama Ahmad dan tanah dijadikan penyuci bagiku, serta umatku dijadikannya umat terbaik.”
Muawiyah bin Haidah radhiallahu ‘anh berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menafsirkan ayat “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia”sebagai:
وَإِنَّكُمْ تُتِمُّونَ سَبْعِينَ أُمَّةً أَنْتُمْ خَيْرُهَا وَأَكْرَمُهَا عَلَى اللَّهِ.
Kamu melengkapi bilangan 70 umat dan kamulah yang terbaik dan termulia di hadapan Allah.
Keempat:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga). [al-Nisa’ 4:95]
Ayat ini menerangkan perbezaan di antara para sahabat yang pergi berjihad dengan para sahabat yang tidak pergi berjihad kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Golongan yang tidak pergi berjihad kerana keuzuran tetap diberikan ganjaran pahala serta dijanjikan syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala disebabkan mereka tetap bersatu di dalam iman serta aqidah yang baik, niat yang benar serta amal salih yang banyak. Mereka merupakan sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamserta penolong baginda. Ayat tersebut juga merupakan nas yang menunjukkan bahawa kesemua para sahabat adalah ahli syurga.Semoga Allah menjadikan kita mengasihi mereka serta mengikuti akan segala jejak langkah mereka.
Kelima:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ -وَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْ بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَئِكَ مِنْكُمْ
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. [al-Anfal 8:74-75]
Menerusi ayat yang mulia ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan pujian terhadap orang yang beriman di kalangan golongan Muhajirin yang awal serta saudara mereka iaitu golongan Ansar yang telah memberikan tempat kediaman serta pertolongan kepada golongan Muhajirin tersebut. Golongan Muhajirin mempunyai keimanan yang sempurna kerana mereka sanggup berhijrah meninggalkan kampung halaman, memisahkan diri mereka daripada kaum keluarga serta tempat tinggal. Sudah pasti mereka berbeza dengan golongan beriman yang tidak berhijrah serta tetap tinggal di negeri yang berada di bawah naungan kekufuran. Begitu juga dengan golongan Ansar yang sanggup berkorban memberikan pertolongan untuk saudara mereka golongan Muhajirin, mereka juga mempunyai keimanan yang sempurna.
Dua ayat di atas didahului dengan ayat yang menyebutkan:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan lainnya. [al-Anfal 8:72]
Golongan Muhajirin serta Ansar menjadi penyokong dan pembela di antara satu sama lain sehingga dengan itu mereka mempunyai kelebihan, darjat, pujian serta keutamaan yang sangat besar sebagaimana berikut:
- Mereka merupakan golongan beriman dengan sebenarnya. Golongan yang sanggup memisahkan diri dari keluarga, kampung halaman serta tanah air demi perjuangan pada jalan Allah serta golongan yang sanggup pula berkorban bagi membantu mereka, itulah golongan beriman sebenarnya.
- Mereka memperoleh pengampunan. Pengampunan yang dimaksudkan adalah pengampunan yang sempurna ke atas segala dosa disebabkan kebaikan yang mereka lakukan itu.
- Mereka memperoleh rezeki yang mulia. Ini merupakan kemuliaan yang dikurniakan ke atas para sahabat radhiallahu ‘anhum dimana mereka sekaliannya dimasukkan ke dalam syurga serta dikurniakan rezeki yang tidak ada tolok bandingannya.
Sesungguhnya di kalangan golongan Muhajirin terdapat beberapa tahap kedudukan. Golongan pertama adalah golongan yang berhijrah ke Habsyah diikuti dengan golongan yang berhijrah ke Madinah. Mereka dikenali sebagai “Ashabul Hijratain” (para sahabat yang berhijrah dua kali). Kemudian diikuti dengan golongan yang berhijrah setelah perjanjian Hudaibiyyah serta sebelum pembukaan kota Mekah al-Mukarramah. Kesemua golongan tersebut termasuk di dalam pengertian ayat al-Qur’an di atas.
Maka tidak syak lagi termasuk di kalangan mereka itu keempat-empat Khalifah al-Rasyidin radhiallahu ‘anhum yang mempunyai pelbagai kelebihan serta kemuliaan sebagaimana yang telah disepakati oleh para ilmuan. Sesiapa yang beriman, berhijrah dan berjihad sesudah kaum Muhajirin dan Ansar, maka mereka termasuk dalam golongan di atas.
Keenam:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ -يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُقِيمٌ -خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripada-Nya dan keredhaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar. [al-Taubah 9:20-22]
Turunnya ayat ini adalah sebagai penolakan Allah terhadap golongan Musyrikin yang menjaga tanah Haram. Mereka merasa bangga kerana mereka adalah golongan yang menguruskan Masjid al-Haram serta membekalkan air minuman kepada golongan yang menunaikan Haji padahal mereka (golongan Musyrikin) tersebut tidak beriman kepada AllahSubhanahu wa Ta'ala.
Allah menolak kebanggaan yang dirasai mereka dengan firman-Nya:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan al-Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? (Mereka yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. [al-Taubah 9:19]
Ayat tersebut (al-Taubah 9:20-22) menunjukkan bahawa para sahabat radhiallahu ‘anhum dari kalangan Muhajirin yang beriman dan berjihad dengan harta serta jiwa merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi lagi sempurna di sisi Allah. Ia mengatasi golongan yang tidak bersifat dengan sifat-sifat demikian. Mereka itulah golongan yang berjaya serta bergembira dengan kurniaan Allah yang berupa keutamaan yang mengelilingi mereka seperti himpunan pahala, rahmat serta imbalan lainnya termasuk balasan syurga di Hari Akhirat nanti. Kesemua ini merupakan ganjaran terhadap golongan Muhajirin yang berjihad pada jalan Allah di kalangan para sahabat radhiallahu ‘anhum. Namun agak malang bagi kita kerana mereka merupakan golongan yang menerima penghinaan serta kebencian golongan Syi‘ah al-Rafidhah.
Abu Hayyan rahimahullah (754H) berkata:
Allah mensifatkan golongan yang beriman dengan tiga sifat iaitu iman, hijrah serta jihad dengan diri dan harta benda. Ganjaran yang akan diterima oleh mereka juga tiga iaitu rahmat, keredhaan serta syurga. Allah memulakannya dengan balasan rahmat sebagai tanda penerimaan iman disebabkan taufik yang diberikan oleh-Nya (kepada mereka). Sesungguhnya iman sememangnya merupakan perkara yang perlu didahulukan. Kemudian Allah memberikan balasan keredhaan-Nya dimana ia adalah sebaik-baik balasan sebagai tanda penerimaan amal jihad yang telah dilakukan dengan penuh kesungguhan (dengan kesanggupan mengorbankan) diri serta harta. Yang ketiga, Allah memberi ganjaran syurga sebagai penerimaan terhadap penghijrahan mereka meninggalkan kampung halaman.
Ketujuh:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ -أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Akan tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:88-89]
Ayat ini diturunkan setelah ayat sebelumnya yang menerangkan tentang golongan munafik serta segolongan dari umat Islam yang tidak menyertai jihad bersama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamtetapi telah meminta izin daripada baginda untuk tinggal di belakang bersama-sama dengan golongan yang lemah, wanita, kanak-kanak serta golongan yang tiada kebaikan bagi mereka (Ahl al-Fasad). Adapun selain dari mereka iaitu golongan yang berjihad pada jalan Allah maka mereka tetap berjihad dengan harta serta diri mereka, maka bagi mereka kebaikan iman serta Islam sebagaimana firman Allah: “…mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan…” dimana Allah akan memberikan ganjaran pahala ke atas jihad yang mereka lakukan dan “…mereka itulah orang-orang yang berjaya.”, iaitu berjaya mendapat kegembiraan di dunia serta di akhirat nanti.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menyediakan bagi mereka itu syurga-syurga dengan pelbagai tingkatannya disebabkan oleh usaha jihad yang mereka lakukan. Firman Allah:
فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. [Ali-Imran 3:185]
Ayat ini (al-Taubah 9:88-89) secara umumnya ditujukan kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum yang keluar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menuju peperangan Tabuk yang mana jumlah mereka adalah 1300 orang atau lebih. Termasuk di dalam pasukan tersebut adalah tiga orang Khalifah al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar serta ‘Utsmanradhiallahu ‘anhum, manakala Khalifah yang keempat iaitu ‘Ali radhiallahu ‘anh diarahkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam untuk tinggal di belakang (di Kota Madinah) bagi menjaga keluarga baginda. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada Ali:
أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى
“Apakah engkau tidak redha, bahawasanya kedudukanmu di sisiku laksana kedudukan Harun di sisi Musa?” Ini menunjukkan keutamaan serta kemuliaan Ali radhiallahu ‘anh walaupun beliau tidak ikut serta di dalam peperangan tersebut.
Ayat ini (al-Taubah 9:88-89) juga menunjukkan bahawa segala kemuliaan, kebaikan, kejayaan serta ganjaran syurga secara umumnya dikurniakan kepada para sahabat radhiallahu 'anhum. Pengecualiannya adalah ke atas golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.
Kelapan:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]
Ayat yang mulia ini ditujukan kepada golongan awal di kalangan Muhajirin serta Ansar dan golongan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan dimana Allah redha terhadap mereka dan mereka juga redha terhadap-Nya. Allah telah menyediakan untuk mereka tempat tinggal serta kegembiraan yang kekal abadi iaitu Syurga.
Para ulama’ berselisih pendapat siapakah yang dikatakan golongan awal itu. Ada yang mengatakan mereka adalah golongan yang menunaikan solat dua kiblat bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ada yang mengatakan golongan yang menyertai Perang Badar dan ada juga yang mengatakan golongan yang terlibat dengan Bai‘ah al-Ridhwan. Sebagai menyelaraskan antara beberapa pandangan tersebut Muhammad bin Ka‘ab al-Qarazi rahimahullah berkata:
Mereka itu adalah himpunan para sahabat yang awal bersama-sama dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Menurut Abu Mansur al-Baghdadi rahimahullah:
Para sahabat kami, yakni Ahl al- Sunnah wa al-Jamaah bersepakat bahawa orang yang paling baik adalah para khalifah yang empat (Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali) dan sepuluh orang sahabat yang mendapat jaminan Rasulullah untuk masuk syurga. Kemudian golongan yang ikut serta di dalam peperangan Badar, yang terlibat di dalam peperangan Uhud, kemudian mereka yang membai‘ah Rasulullah pada Bai‘ah al-Ridhwan di bawah pohon pada saat Perjanjian Hudaibiyyah.
Firman Allah: “… Dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan …” merujuk kepada golongan yang menurut jejak langkah para sahabat yang awal iaitu golongan para sahabat yang terkemudian daripada mereka serta golongan selepas para sahabat yang mengikut mereka baik dari sudut perbuatan, perkataan dan selainnya.
Firman Allah: “…Allah redha akan mereka…” bermaksud Allah redha akan ketaatan mereka terhadap-Nya serta Allah tidak menunjukkan kemarahan ke atas mereka. Allah mengurniakan ke atas mereka pelbagai kelebihan serta kegembiraan, di antaranya adalah syurga yang kekal abadi. Oleh itu menjadi kewajipan bagi kita golongan Muslimin untuk mengikuti jejak langkah para sahabat radhiallahu ‘anhum serta menahan diri kita daripada mencela, mengutuk atau mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Ini kerana keseluruhan para sahabat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam adalah penghuni syurga berdasarkan firman Allah: “…serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” Maka janganlah kita mencela dan menikam mereka dengan tutur-kata dan perbuatan kita.
Hamid bin Ziad Abi Shakhr (حميد بن زياد أبي صخر) rahimahullah berkata, saya telah bertanya kepada Muhammad bin Ka’ab al-Qarazi:
“Khabarkanlah kepadaku tentang para sahabat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam” , maka dia berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengampuni keseluruhan sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamdan menetapkan ke atas mereka syurga serta memberi kebaikan ke atas mereka di dalam Kitab-Nya (al-Qur’an).”
Saya bertanya lagi: “Dimana ayat yang menetapkan syurga ke atas mereka di dalam al-Qur’an?” Dia menjawab: Firman Allah: “Dan orang-orang yang terdahulu……” (al-Taubah 9:100). Ayat tersebut menetapkan syurga dan keredhaan Allah bagi keseluruhan para sahabat Nabishallallahu ‘alaihi wasallam. Manakala syarat bagi golongan yang mengikuti mereka ialah dengan mengikuti jalan serta kehidupan para sahabat tersebut dengan melakukan amal soleh dan bukan selainnya.”
(Akhirnya) berkata Abi Shakhr: “Demi Allah! Saya tidak berkata atau menafsir ayat tersebut melainkan dengan apa yang telah dikatakan atau ditafsirkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qarazi yang ianya merupakan kata-kata kebanyakan para ulama’ tafsir.”
Kesembilan:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَقَدْ تَابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِنْ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ بِهِمْ رَءُوفٌ رَحِيمٌ -وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا ...
Sesungguhnya Allah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka. Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang… [al-Taubah 9:117-118]
Ayat ini menerangkan tentang kelebihan golongan Muhajirin serta Ansar yang telah keluar berserta Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam peperangan Tabuk. Namun terdapat sebahagian daripada mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya tetapi keberatan untuk berjuang kerana suasana yang amat menyukarkan di Tabuk. Kemudian mereka menyesal dan bertaubat di atas sikap mereka itu. Allah Subhanahu wa Ta‘ala meninggikan darjat mereka dengan menerima taubat serta memaafkan kesalahan mereka menerusi ayat-ayat al-Qur’an di atas.
Mereka yang terlibat itu termasuklah tiga orang sahabat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam yang tinggal di belakang daripada ekspedisi Tabuk, mereka menerima ujian hebat terhadap keimanan mereka disebabkan sikap mereka itu dimana mereka telah dipulau selama 50 hari akibat dari kesalahan yang mereka lakukan sehingga mereka merasakan bahawa bumi yang luas ini telah menjadi sempit. Namun AllahSubhanahu wa Ta‘ala dengan Rahmat serta Kasih Sayang-Nya telah menerima taubat serta memaafkan kesalahan mereka. Bagi membesarkan hati mereka, penerimaan taubat itu ditegaskan secara umum meliputi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta sahabat-sahabat baginda yang lain.
Kesepuluh:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَرُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah setelah mereka difitnahkan (oleh kaum-kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Nahl 16:110]
Ayat ini memberikan berita baik ke atas golongan Muhajirin yang ditindas oleh kaum musyrikin di Mekah sehingga mereka terdorong melakukan perkara yang bertentangan dengan agama, namun kemudiannya mereka bertaubat serta berhijrah ke Madinah lalu berjuang menentang kaum musyrikin serta bersabar di dalam perjuangan mereka. Maka AllahSubhanahu wa Ta'ala membalas dengan Rahmat, Belas Kasihan serta Kemuliaan-Nya dan mengampunkan segala dosa mereka yang terdahulu itu.
Kesebelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ -لَيُدْخِلَنَّهُمْ مُدْخَلا يَرْضَوْنَهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَلِيمٌ حَلِيمٌ
Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia. Sudah tentu Allah akan memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga), dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. [al-Hajj 22:58-59]
Ayat ini diturunkan ke atas sekalian para sahabat di kalangan Muhajirin yang diketuai oleh Khalifah ar-Rasyidin Abu Bakar, Umar, ‘Utsman serta ‘Ali radhiallahu ‘anhum yang berjuang pada jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ditegaskan bahawa sama ada mereka terbunuh di medan pertempuran atau mati di tempat tidur maka Allah Taala tetap akan membalasnya dengan menempatkan mereka di dalam syurga dengan mengurniakan rezeki yang baik dengan segala nikmatnya serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
Keduabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [al-Nur 24:55]
Ayat ini mengandungi janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum dan seterusnya ke atas golongan selepas mereka di kalangan orang beriman yang salih, bahawa Allah akan menjadikan mereka Khalifah atau pemimpin di atas muka bumi sebagaimana yang telah Allah janjikan ke atas golongan beriman yang terdahulu. Allah juga akan menukarkan keadaan mereka daripada keadaan lemah kerana ditindas kepada menjadi umat yang kuat lagi disegani orang. Dengan kata lain mereka akan menjadi umat yang berwibawa serta berada di dalam keadaan aman sentosa.
Ayat ini menceritakan keadaan para sahabat sebelum dan sesudah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Di peringkat awal perkembangan Islam iaitu dari saat sebelum hijrah kepada sejurus selepas hijrah, para sahabat berada di dalam ketakutan kerana mengalami penindasan daripada golongan musyrikin. Namun di akhir hayat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam sehingga selepas kewafatan baginda, para sahabat telah dikurniakan keamanan dan menjadi umat yang terkuat lagi disegani. Rasulullah telah meramalkan hal ini sebagaimana yang tercatat di dalam Shahih al-Bukhari daripada Adi bin Hatim radhiallahu ‘anh, dimana baginda bersabda:
فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنْ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ اللَّهَ.
Sekiranya panjang umur engkau pasti engkau akan melihat keluar dari Hirah seorang wanita yang akan melakukan tawaf di Kaabah dan dia tidak takut melainkan Allah.
Hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas meramalkan keamanan selepas kewafatan baginda sehingga seorang wanita boleh bermusafir seorang diri dari bandar Hirah di Iraq ke Kota Mekah tanpa terdedah kepada bahaya.
Setelah wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam para sahabat radhiallahu ‘anhum telah dijadikan para penguasa serta pemimpin di atas mukabumi. Ini terbukti dimana sebahagian besar dari mereka telah bertebaran ke seluruh pelusuk dunia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah bagi meninggikan kalimah Allah serta kemaslahatan umat. Dengan itu berlakulah pembukaan wilayah serta negara secara meluas sehinggakan tersebarnya Islam dari timur hingga ke barat. Maka dengan itu terbuktilah kemukjizatan ayat al-Qur’an dimana semua ini berlaku semasa zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin radhiallahu ‘anhum.
Para ulama’ tafsir mengulas bahawa ayat tersebut merupakan dalil betapa terserlahnya kepimpinan Khalifah Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh serta para Khalifah al-Rasyidin sesudah beliau sebagai golongan yang diberikan kekuasaan di atas muka bumi dari kalangan orang-orang yang beriman serta beramal salih. Terbukti di waktu pemerintahan mereka berlakunya pembukaan serta peluasan empayar Islam sehingga berjaya menawan Parsi, sebahagian wilayah Rom dan selainnya. Selain itu wujud keamanan sejagat dan Islam yang tersebar luas.
Ketigabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar. [al-Fath 48:10]
Ayat ini menunjukkan kelebihan para sahabat radhiallahu ‘anhumyang memberikan pengakuan taat setia atau bai‘ah kepada Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam di Hudaibiyyah yang dikenali sebagai Bai‘ah al-Ridhwan. Bahkan salah seorang dari kalangan mereka iaitu Salma bin al-Akwa radhiallahu ‘anh telah berjanji setia untuk bai‘ah sehingga mati sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Shahih al-Bukhari serta Shahih Muslim. Jumlah mereka yang terlibat di dalam bai‘ah tersebut adalah seramai 1400 orang termasuk kebanyakan daripada golongan yang menyertai Perang Badar yang merupakan para sahabat yang terkanan kedudukannya. Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah tiga orangKhalifah al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, ‘Umar serta ‘Ali radhiallahu ‘anhum. Adapun ‘Utsman radhiallahu ‘anh, beliau telah diutus oleh Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam ke Mekah berjumpa dengan para pemimpin musyrikin Quraisyh untuk tujuan perundingan. Namun apabila Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam mendapat berita bahawa ‘Utsman telah dibunuh maka baginda melakukan bai‘ah dengan para sahabat bagi membela kematian ‘Utsman sehinggakan pengakuan taat setia tersebut dikenali sebagai “Bai‘ah ‘Utsman”.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan bai‘ah para sahabatradhiallahu ‘anhum dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam umpamabai‘ah mereka dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri dimana Allah berfirman: “Tangan Allah di atas tangan mereka.” Ini merupakan suatu kelebihan ke atas para sahabat radhiallahu ‘anhum. Ibn Katsir rahimahullah(774H) di dalam tafsirnya mengulas:
Kehadiran Allah Ta‘ala bersama para sahabat adalah kehadiran dengan pendengaran-Nya bukan kehadiran dengan zat-Nya, dimana Dia dengan sepenuhnya Mendengar serta Menyaksikan apa yang mereka perbuat dengan Pengetahuan yang Sempurna dalam serta luarannya. Dengan itu Allah membai‘ah mereka dengan perantaraan Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam..
Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan mereka yang berbai‘ahdengan ganjaran yang besar. Balasannya adalah syurga serta keredhaan Allah dimana tanpa sebarang keraguan, seluruh para sahabat radhiallahu ‘anhum yang terlibat di dalam bai‘ah tersebut merupakan golongan yang mendapat balasan syurga. Umm Bashir radhiallahu ‘anha telah mendengar dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana baginda telah bersabda ketika bersama Ummul Mukminin Hafsah radhiallahu ‘anha:
لاَ يَدْخُلُ النَّارَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنْ أَصْحَابِ الشَّجَرَةِ أَحَدٌ الَّذِينَ بَايَعُوا تَحْتَهَا.
Insha Allah, tiada sesiapa dikalangan sahabatku yang memberi bai‘ah di bawah (pokok di Hudaibiyyah) akan masuk neraka.
Jabir radhiallahu ‘anh dia berkata: Seorang hamba bagi Hatib datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengadu tentang Hatib sehingga dia berkata: Wahai Rasulullah, Hatib sudah pasti masuk neraka! Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
كَذَبْتَ! لاَ يَدْخُلُهَا فَإِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَالْحُدَيْبِيَةَ.
Engkau pembohong, dia tidak akan masuk neraka, dia terlibat di dalam peperangan Badar serta al-Hudaibiyyah.
Kejadian di atas berdasarkan suatu peristiwa dimana hamba Hatibradhiallahu ‘anh mengadu tentang tuannya yang satu masa dahulu pernah melakukan kesalahan, dimana beliau telah menghantar sepucuk surat kepada golongan musyrikin Mekah. Surat tersebut mengandungi perkara rahsia tentera Islam. Akan tetapi, sebagaimana hadis di atas, Allah dan Rasul-Nya telah memaafkan beliau. Dengan kata lain para sahabat yang terlibat di dalam bai‘ah tersebut telah diampunkan segala kesalahan mereka serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala serta menjadi penghuni syurga.
Bai‘ah tersebut juga termaktub di dalam Shahih al-Bukhari menerusi riwayat Jabir radhiallahu ‘anh dimana dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada kami:
أَنْتُمْ خَيْرُ أَهْلِ الأَرْضِ.
Pada hari ini, kamu adalah penduduk muka bumi yang terbaik.
Keempatbelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا -وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika (mereka) memberikan bai‘ah kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (di Hudaibiyyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. Dan juga dengan banyak harta rampasan perang yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. [al-Fath 48:18-19]
Ayat ini merupakan dalil dimana golongan yang berbai‘ah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Bai‘ah Ridhwan pada hari Hudaibiyyah bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah meredhai serta mengampunkan segala dosa mereka. Maka sesiapa yang Allah redha terhadapnya maka Dia tidak akan murka terhadap mereka buat selama-lamanya.
Kenyataan di atas ditujukan juga kepada para sahabat di kalangan mereka yang menyertai Perang Badar, dimana Allah Subhanahu wa Ta'alameninggikan kedudukan mereka sehinggakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمْ الْجَنَّةُ.
Sesungguhnya diwajibkan ke atas mereka Syurga. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim serta selain keduanya.
Sesiapa yang pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala mendahului mereka maka kesalahan yang mereka lakukan tidak membahayakan diri mereka. Dengan itu Allah tetap meredhai sebahagian umat iaitu para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerima pertolongan-Nya. Mereka adalah orang-orang yang telah berjuang di samping Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kecekalan sehingga sanggup mengorbankan harta benda, keluarga serta jiwa raga mereka.
Kelimabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Muhammad adalah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam. Engkau melihat mereka beribadat rukuk dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).
Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunas itu menyuburkannya sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya berkembang baik serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu.
(Dan selain itu) Allah telah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar. [al-Fath 48:29]
Ayat ini menyatakan pujian Allah Subhanahu wa Ta'ala terhadap para sahabat radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang telah disifatkan di dalam kitab Taurat serta Injil. Allah mensifatkan mereka itu di dalam Taurat dengan 5 sifat yang menunjukkan pujian serta kemuliaan mereka:
- Bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir,
- Bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri,
- Tetap beribadat rukuk dan sujud mengharapkan limpah kurnia (pahala) Allah,
- Dan mengharapkan keredhaan Allah
- (Serta tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud.
Manakala tanda mereka di dalam kitab Injil pula adalah, mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunas itu menyuburkannya sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya.
Pada peringkat permulaannya para sahabat sedikit sahaja jumlah mereka. Kemudian ia bertambah serta menjadi semakin kuat sehinggakan orang-orang kafir merasa gerun terhadap mereka. Firman Allah: “Nabi Muhammad adalah Rasulullah.” Inilah dia Rasul yang diberi nama Muhammad dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala mengisytiharkan baginda sebagai pesuruh Allah yang sebenarnya bukanlah sepertimana yang dikatakan oleh golongan musyrikin. Sesungguhnya para sahabat tersebut bersama-sama dengan baginda serta menyaksikan baginda bersikap tegas terhadap orang-orang kafir yang terang-terangan menentang Islam.
Berkenaan firman Allah: “bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir”, maka menurut ulama’ tafsir:
Begitu keras serta tegas sikap para sahabat terhadap orang-orang kafir sehinggakan mereka berjaga-jaga supaya pakaian mereka tidak terkena (menyerupai) pakaian orang kafir. Dan mereka “bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam” dimana apabila salah seorang dari mereka bertemu di antara satu sama lain maka mereka akan mengucapkan salam, berpeluk-pelukan, melemparkan senyuman serta bergelak-ketawa (kerana gembira) sesama sendiri. Engkau akan melihat wahai para pembaca sekalian bahawa mereka itu banyak melakukan rukuk serta sujud sehingga Allah mensifatkan mereka sebagai golongan yang banyak melakukan solat dimana solat itu merupakan sebaik-baik amal bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Para sahabat tekun menunaikan solat-solat sunat selain yang diwajibkan seperti qiamullaildimana mereka tidak mengharapkan dengan ibadat mereka segala habuan dunia melainkan kelebihan dari Allah serta keredhaan-Nya iaitu rahmat, kebaikan dan nikmat.
“Tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud” menunjukkan kepada ketenangan serta kewarakan yang terserlah di wajah mereka yang terhasil dari ibadah yang mereka lakukan siang dan malam. Ini menyebabkan sesiapa sahaja yang melihat mereka akan timbul perasaan kasih sayang. Manakala cahaya wajah yang sebenarnya akan diperlihatkan nanti di Hari Akhirat. Begitulah tanda-tanda para sahabat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam yang dinyatakan menerusi Kitab Taurat yang disampaikan kepada Nabi Musa ‘alaihissalam.
Manakala tanda para sahabat radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang dinyatakan menerusi Kitab Injil yang disampaikan kepada Nabi Isa‘alaihissalam dimana mereka diumpamakan seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Tunas itu menjadikan tanaman itu membesar di atas pokoknya. Tanaman itu menyenangkan hati para penanamnya, menunjukkan bahawa Allah ingin “menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu.”
Firman Allah akhirnya: “(Dan selain itu) Allah telah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar” menunjukkan bahawa janji Allah pasti berlaku dimana Allah tidak akan menyalahi janjinya. Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi ganjaran yang setimpal ke atas amal kebaikan yang dilakukan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum.
Keenambelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى
Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. [al-Hadid 57:10]
Ayat ini menerangkan kedudukan para sahabat yang awal di kalangan Muhajirin serta Ansar yang telah menafkahkan harta mereka pada jalan Allah serta berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamsebelum pembebasan kota Mekah. Kedudukan mereka tidak menyamai para sahabat yang beriman selepas pembebasan kota Mekah. Bagi golongan yang awal tingkatan darjat mereka melebihi golongan yang terkemudian. Namun ganjaran tetap diberikan terhadap golongan sahabat yang terkemudian walaupun tingkatannya berbeza. Ini kerana mereka bersama-sama mengasihi Allah dan Rasul-Nya serta berjuang dan menginfakkan harta mereka pada jalan Allah. Maka mereka tetap diberikan habuan syurga sebagaimana firman Allah: “Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya.”
Ibn Hazm rahimahullah (456H) mengulas:
Para sahabat keseluruhannya adalah ahli syurga dimana tidak seorangpun di kalangan mereka akan masuk neraka. Merekalah yang dinyatakan oleh ayat: “Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya… hingga akhir.
Ketujuhbelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ -وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ -وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat." [al-Hasyr 59:8-10]
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas merujuk kepada tiga kumpulan atau golongan umat Islam:
- Golongan Muhajirin yang meninggalkan kampung halaman serta harta benda mereka dengan tujuan berhijrah ke Madinah al Munawwarahbagi mencari keredhaan Allah serta ganjaran-Nya. Mereka itu merupakan golongan yang menolong menegakkan agama Allah dan Rasul-Nya (Islam). Mereka termasuk ke dalam golongan yang benar keimanan mereka berdasarkan nas al-Qur’an (ayat di atas).
- Golongan Ansar yang tinggal di Madinah. Mereka telah beriman kepada Allah sebelum berhijrahnya golongan Muhajirin ke tempat mereka, iaitu beberapa di antara mereka yang terlibat dalam Bai‘ah al-‘Aqabah. Betapa tingginya kasih sayang yang ditunjukkan oleh golongan Ansar terhadap golongan Muhajirin sehingga sanggup memberikan segala bantuan yang diperlukan sama ada tempat kediaman, harta benda dan ahli keluarga mereka untuk dikahwini oleh lelaki Muhajirin. Sesungguhnya kedua-dua golongan tersebut merupakan pilihan di kalangan umat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallamdisebabkan oleh kesempurnaan mereka.
- Golongan yang mengikuti jejak langkah Muhajirin serta Ansar dan memohon doa serta keampunan ke atas mereka sehingga Hari Kiamat.
Itulah ketiga-tiga golongan yang mendapat kejayaan. Golongan Muhajirin dan Ansar merupakan golongan yang paling tinggi darjatnya disebabkan mereka merupakan sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang berhijrah, membantu serta membela agama Allah dan Rasul-Nya. Mereka memainkan peranan yang amat besar menegakkan Islam diperingkat awal. Diikuti selepas itu golongan yang mengikuti jalan kebaikan mereka serta memohon keampunan di atas segala kesalahan mereka, mengasihi mereka serta tidak memperkatakan tentang mereka kecuali dengan perkara kebaikan.
Di dalam Shahih al-Bukhari, ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anhpernah berkata:
Saya berwasiat kepada khalifah sesudahku supaya berlaku baik terhadap sahabat Muhajirin supaya mengetahui kedudukan dan kehormatan mereka. Demikian pula saya berwasiat terhadap sahabat Ansar supaya dapat menerima segala orang yang baik dari kalangan mereka dan memaafkan segala kekurangan serta kesalahan mereka.
Adapun selain dari mereka itu yang merupakan golongan yang suka memaki hamun serta mengutuk para sahabat, merendah-rendahkan kedudukan serta mengkritik amalan mereka, maka mereka itu adalah golongan perosak di kalangan umat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka itulah golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang dibenci oleh Allah serta Rasul-Nya. Sesungguhnya golongan Yahudi serta Kristian lebih baik serta sejahtera pandangan mereka terhadap para sahabat Nabi-Nabi mereka. al-Sha’bi rahimahullah, seorang tokoh generasi awal umat Islam pernah mengulas:
Yahudi dan Kristian lebih baik dari golongan al-Rafidhah kerana dua sifat mereka iaitu, jika kamu bertanya kepada orang-orang Yahudi: “Siapakah orang-orang yang terbaik di antara pengikut-pengikut agama kamu?” Mereka akan menjawab: “Sahabat-sahabat Nabi Musa.” Sekiranya kamu bertanya orang-orang Kristian: “Siapakah yang terbaik di antara penganut-penganut agama kamu?” Mereka akan menjawab: “ParaHawariyun (sahabat-sahabat Nabi ‘Isa).”
Akan tetapi jika kamu bertanya golongan al-Rafidhah siapakah orang yang paling jahat di antara pengikut-pengikut agama kamu? Mereka akan menjawab: “Sahabat-sahabat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.” Mereka disuruh beristighfar untuk para sahabat tetapi sebaliknya mereka mengutuk sahabat-sahabat tersebut.
Apabila ditanyakan kepada Sa‘id al-Musayyab rahimahullah, seorang lagi tokoh generasi awal, apakah yang kamu katakan terhadap ‘Utsman, Talhah serta Zubair? Maka jawabnya:
Aku akan berkata sebagaimana firman Allah di dalam al-Qur’an:Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat.”
Al-Suyuthi rahimahullah (911H) mengemukakan sebuah riwayat:
‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma mendengar seorang lelaki memperkatakan tentang sebahagian golongan Muhajirin lalu beliau membacakan kepadanya firman Allah: “Kepada orang-orang faqir yang berhijrah…” (sehingga akhir ayat 8). Ibn ‘Umar berkata: “Mereka itu adalah golongan Muhajirin, adakah kamu termasuk ke dalam golongan mereka?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Kemudian Ibn ‘Umar membacakan firman Allah: “Dan orang-orang yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka…” (sehingga akhir ayat 9) lalu bertanya: “Mereka itu merupakan golongan Ansar, adakah kamu termasuk ke dalam golongan mereka?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Kemudian Ibn ‘Umar membacakan firman Allah: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka… (sehingga akhir ayat 10) lalu bertanya: “Adakah kamu termasuk ke dalam golongan mereka?” Lelaki itu menjawab: “Ya.” Lalu berkata Ibn ‘Umar: “Tidak termasuk golongan ini mereka yang mencela golongan (Muhajirin dan Ansar).
Kesimpulannya: Apa yang kami paparkan di sini yang berupa kenyataan dari al-Qur’an tentang kelebihan para sahabat radhiallahu 'anhum. Para sahabat ini, sebahagian besar daripada mereka didustakan oleh golongan Syi‘ah al-Rafidhah. Mereka hanya menerima sebahagian kecil daripada para sahabat iaitu di kalangan Ahl al-Bait. Maka kami akan mengikuti perbincangan ini dengan mengemukakan kelebihan para sahabat berdasarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana apabila dinyatakan hadis-hadis tersebut kepada golongan Syi‘ah al-Rafidhah pasti mereka akan berkata: Sesungguhnya ia adalah dusta serta palsu belaka. Maka dengan izin Allah kami akan membahaskan perkara ini di dalam babnya yang khusus seterusnya.