CaRa mEnDiDiK IStErI (iStErI PoN WaJiB BaCe) November 30, 2007
Posted by "eS@RLi" in Renungan.trackback
Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kretif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional? tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:
‘lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.’Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri – makhluk yang kuat perasaannya.
Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulan nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan bepandukan ilmu tasauf.
Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah saw. Tatkala Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda Rasulullah saw.
Suatu hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah sanggup menziarai dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.
Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, ‘Kami sengaja mahu Rasulullah saw mendoakan untuk kami.’
Begitu Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah dan bertanya tentang mendi hadas. Rasulullah menjawab, ‘Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.’ Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya, ‘Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?’ Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisah supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata, ‘Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti,’
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.
Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan mertabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.
Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).
Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.
Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, ‘Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?’ Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.
Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, ‘Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.’ Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
‘Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.’
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:
‘Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.’
Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.
Firman Allah swt, ‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.’ Surah Al-Ashr
Dari Abdullah bin ‘Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: ‘ Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…’
http://ladylikejeans.wordpress.com/2007/11/30/cara-mendidik-isteri-isteri-pon-wajib-bace/
No comments:
Post a Comment