4 Para Sahabat Tidak Maksum
Pandangan kami tentang keadilan para sahabat radhiallahu ‘anhumtidaklah bermakna bahawa mereka maksum (terpelihara) dari melakukan maksiat mahupun berselisih (pendapat di kalangan mereka) atau tersilap dan keliru sebagaimana sangkaan Syi‘ah al-Rafidhah terhadap Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Para sahabat adalah sebagaimana manusia biasa yang boleh melakukan perbuatan dosa serta pelbagai kesalahan lainnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.[1]
Hadis di atas umum sifatnya dimana tidak terkeluar daripada maknanya kecuali para Rasul serta para Nabi ‘alaihim al-Shalat wa al-Salam. Hanya mereka sahaja yang terpelihara daripada melakukan dosa dan kesalahan. Terhadap golongan selain daripada mereka Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam mengajar sebuah doa yang berbunyi:
إِنْ تَغْفِرْ اللَّهُمَّ تَغْفِرْ جَمَّا وَأَيُّ عَبْدٍ لَكَ لاَ أَلَمَّا.
Sekiranya engkau mengampunkan Ya Allah, ampunkanlah kesemuanya kerana sesungguhnya tidak ada hamba-hamba Engkau yang terlepas dari melakukan dosa.[2]
Hadis ini umum, bererti para sahabat termasuk di dalamnya juga. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda sebagaimana yang termaktub di dalam Shahih Muslim:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
Demi nyawaku yang berada di Tangan-Nya, sekiranya kamu tidak melakukan dosa nescaya Allah akan pergi bersama dengan kamu dan akan datang suatu kaum lain dan mereka melakukan dosa dan mereka yang melakukan dosa tersebut memohon keampunan kepada Allah maka Allah mengampunkan dosa mereka.[3]
Apakah sebabnya manusia melakukan dosa? Sesungguhnya perbuatan tersebut merupakan suatu hikmah yang mendalam serta rahsia Ilahi ke atas kejadian makhluk-Nya. Tambahan pula Allah Subhanahu wa Ta‘ala mempunyai nama-nama yang khas bagi diri-Nya yang sangat berfaedah buat manusia sekaliannya. Di antaranya al-Ghafur (Maha Pengampun), al-Tawwab (Maha Penerima Taubat), al-Rahim (Maha Mengasihani), al-Qahhar (Maha Menguasai), al-Jabbar (Maha Perkasa), al-Muntaqim (Yang Maha Memberi Balasan). Apakah faedahnya nama-nama tersebut di sisi Allah sekiranya manusia sekalian bersifat maksum?[4]Sesungguhnya al-Qur’an menceritakan pelbagai kisah golongan yang melakukan dosa dan maksiat serta pengingkaran terhadap Allah dengan disertai hukuman ke atas mereka. Namun di samping itu ia turut menceritakan bagaimana Allah Mengampunkan dosa-dosa golongan yang bertaubat dari kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.
Oleh kerana itu sikap kami terhadap para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bahawa mereka juga tidak terpelihara daripada melakukan kesalahan-kesalahan. Malah sebahagian kecil daripada mereka ada yang terlibat melakukan dosa-dosa besar seperti membunuh, berzina, meminum arak, pencelaan sesama sendiri dan sebagainya. Misalnya kejadian yang berlaku ke atas Ma’iz radhiallahu ‘anh yang didapati berzina serta dihukum berdasarkan hukum Syari‘at (hudud) sebagaimana yang termaktub di dalam hadis yang
sahih.[5] Begitu juga kejadian meminum arak serta pengkhianatan Hathib bin Abi Balta’ah[6] ((حاطب بن أبي بلتعة kes pemotongan tangan al-Makhzumiyahالمخزومية )) yang didapati mencuri[7] dan juga kejadian saling mencela di antara sahabat sehingga sampai ke pengetahuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.[8] Kami tidak menafikan kejadian-kejadian yang disebutkan di atas serta kami tidak akan mengingkarinya disebabkan ia termaktub di dalam hadis-hadis yang sahih kedudukannya.
sahih.[5] Begitu juga kejadian meminum arak serta pengkhianatan Hathib bin Abi Balta’ah[6] ((حاطب بن أبي بلتعة kes pemotongan tangan al-Makhzumiyahالمخزومية )) yang didapati mencuri[7] dan juga kejadian saling mencela di antara sahabat sehingga sampai ke pengetahuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.[8] Kami tidak menafikan kejadian-kejadian yang disebutkan di atas serta kami tidak akan mengingkarinya disebabkan ia termaktub di dalam hadis-hadis yang sahih kedudukannya.
Begitu juga selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamterdapat sebahagian para sahabat radhiallahu ‘anhum yang telah melakukan dosa membunuh, berzina, meminum arak serta perbuatan dosa besar lainnya. Namun sikap kami ialah, segala kejadian yang berlaku ke atas sebahagian para sahabat tidak sedikitpun mencacatkan sifat keadilan mereka dan Allah tetap meredhai mereka sekalian disebabkan mereka semuanya telah bertaubat dari kesalahan yang dilakukan serta rujuk kembali mentaati segala perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sesungguhnya para sahabat radhiallahu ‘anhum di kalangan Muhajirin serta Ansar, mereka itu beriman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul-Nya serta apa yang datang dari keduanya. Mereka berjuang serta berjihad pada jalan Allah serta menyertai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kebenaran dan keikhlasan. Maka segala kesalahan yang telah dilakukan oleh sebahagian mereka itu telahpun diampunkan oleh Allah disebabkan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah dan Rasul-Nya yang mengatasi sekalian lainnya. Dengan itu keseluruhan mereka meninggal dunia di dalam keadaan beriman kepada-Nya serta diredhai-Nya.
Dengan itu segala periwayatan yang dilakukan oleh para sahabat adalah benar serta terhindar sama sekali daripada mendustai Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam. Wali Allah al-Dahlawi rahimahullah berkata:
وبالتتبع وجدنا أن جميع الصحابة يعتقدون أن الكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم أشد الذنوب ويحترزون عنه غاية الاحتراز.
Kita dapati bahawa para sahabat beri’tiqad bahawa sebesar-besar dosa adalah perbuatan mendustakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamdan mereka seluruhnya mengelakkan diri dari melakukan perbuatan tersebut.
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 2499 (Kitab Sifat Kiamat……). al-Hakim mensahihkannya sebagaimana di dalam kitabnya al-Mustadrak ‘ala Shahihin – hadis no: 7617, namun berkata al-Zahabi: “(Di dalam isnadnya terdapat) ‘Ali bin Mas‘adah dan beliau tidak mantap (dalam penyampaian hadisnya).” Selain itu hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Darimi di dalam Sunannya – hadis no: 2727 dan Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 4251.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3284 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah al-Najm). Selain itu hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 181 dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 20533.
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2749(Kitab al-Taubat, Bab gugurnya dosa dengan istighfar dan taubat). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 2, ms. 309 dan al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3539.
[4] Catitan penyunting:
Terdapat banyak faedah daripada Nama-nama dan Sifat-sifat Allah yang tidak kita ambil manfaat darinya. Sebaliknya kita hanya menjadikan nama dan sifat tersebut sebagai bahan nasyid dan hiasan dalam rumah. Dalam bab ini disyorkan mengkaji buku Kaedah Memahami Nama-nama dan Sifat-sifat Allah oleh Muhammad Yaakub Muhammad Yunus (Jahabersa, Johor Bahru 2005).
[5] Beliau ialah Ma‘iz bin Malik (ماعز بن ملك) radhiallahu 'anhu. Kisah beliau boleh dirujuk dalam Shahih al-Bukhari – hadis no: 6824 (Kitab al-Hudud)dan Shahih Muslim – hadis no: 1692 (Kitab al-Hudud).
[6] Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 2494 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan ahli Badar……).
[7] Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 1688 (Kitab al-Hudud).
[8] Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 2541(Kitab keutamaan para sahabat, Bab larangan mencela para sahabat).
No comments:
Post a Comment