Thursday, October 20, 2011

Keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar


Keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar
Jika sebelum ini kita dapat mengenali keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar secara individu, sekarang marilah kita mengenali keutamaan mereka secara bersama berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan pandangan generasi al-Salaf al-Salih.

1     Kesempurnaan Iman Abu Bakar Dan ‘Umar
            Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا رَجُلٌ يَسُوقُ بَقَرَةً إِذْ رَكِبَهَا فَضَرَبَهَا فَقَالَتْ: إِنَّا لَمْ نُخْلَقْ لِهَذَا إِنَّمَا خُلِقْنَا لِلْحَرْثِ. فَقَالَ النَّاسُ: سُبْحَانَ اللَّهِ بَقَرَةٌ تَكَلَّمُ! فَقَالَ: فَإِنِّي أُومِنُ بِهَذَا أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَمَا هُمَا ثَمَّ.
وَبَيْنَمَا رَجُلٌ فِي غَنَمِهِ إِذْ عَدَا الذِّئْبُ فَذَهَبَ مِنْهَا بِشَاةٍ فَطَلَبَ حَتَّى كَأَنَّهُ اسْتَنْقَذَهَا مِنْهُ فَقَالَ لَهُ الذِّئْبُ: هَذَا اسْتَنْقَذْتَهَا مِنِّي فَمَنْ لَهَا يَوْمَ السَّبُعِ يَوْمَ لاَ رَاعِيَ لَهَا غَيْرِي؟ فَقَالَ النَّاسُ: سُبْحَانَ اللَّهِ ذِئْبٌ يَتَكَلَّمُ! قَالَ: فَإِنِّي أُومِنُ بِهَذَا أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَمَا هُمَا ثَمَّ.
Ketika seorang lelaki membawa lembunya dengan dibebani dengan bawaan yang berat, dia (lembu tersebut) berkata: “Sesungguhnya saya tidak diciptakan untuk ini, sesungguhnya saya diciptakan hanya untuk membajak tanah.” Orang-orang berkata: “Maha Suci Allah, lembu yang dapat berkata-kata!” Rasulullah bersabda: “Saya beriman dengan itu, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar, demikianlah yang akan dilakukan Abu Bakar dan ‘Umar.”
Dan ketika seorang pengembala mengembala kambingnya, tiba-tiba datang serigala dan mengambil seekor di antaranya. Pengembala itu meminta kembali daripada serigala itu. Serigala menoleh kepadanya dengan berkata: “Siapakah pemilik hari pengembalaan binatang buas, dimana tidak ada pengembala selain diriku?” Orang-orang berkata: “Maha Suci Allah, serigala yang dapat berkata-kata!” Rasulullah bersabda: “Saya beriman dengan itu, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar, demikianlah yang akan dilakukan Abu Bakar dan ‘Umar.” [1]
          Hadis di atas menunjukkan kekuatan iman yang sempurna yang ada pada Abu Bakar serta ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berdasarkan pengakuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap mereka. Walaupun mereka berdua tidak hadir di dalam majlis tersebut, baginda tetap menyatakan bahawa mereka berdua akan beriman serta membenarkan sabda baginda tersebut.

         
2     Sebaik-baik Pemerintahan Menerusi Abu Bakar Dan ‘Umar
            Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي عَلَى قَلِيبٍ عَلَيْهَا دَلْوٌ فَنَزَعْتُ مِنْهَا مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ أَخَذَهَا ابْنُ أَبِي قُحَافَةَ فَنَزَعَ بِهَا ذَنُوبًا أَوْ ذَنُوبَيْنِ وَفِي نَزْعِهِ ضَعْفٌ وَاللَّهُ يَغْفِرُ لَهُ ضَعْفَهُ ثُمَّ اسْتَحَالَتْ غَرْبًا فَأَخَذَهَا ابْنُ الْخَطَّابِ فَلَمْ أَرَ عَبْقَرِيًّا مِنْ النَّاسِ يَنْزِعُ نَزْعَ عُمَرَ حَتَّى ضَرَبَ النَّاسُ بِعَطَنٍ
Pada suatu ketika aku sedang tidur, lalu aku bermimpi melihat diriku di atas perigi yang di situ ada timbanya, maka aku menimba daripadanya beberapa timba sebagaimana kehendak Allah. Kemudian timba itu diambil oleh Ibn Abi Quhafah (yakni Abu Bakar), maka dia menimba satu atau dua kali. Dia nampak berat dalam menariknya, lalu Allah mengampuninya.
Kemudian timba itu berubah, maka ia diambil oleh Ibn al-Khaththab. Maka aku belum pernah melihat dari manusia seorang yang luar biasa kepandaiannya, lalu dia menimba air sehingga orang-orang dapat memberi minum kepada unta-unta mereka.[2]
          al-Nawawi rahimahullah mengulas:[3]
Para ulama’ berkata, mimpi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamitu menunjukkan contoh apa yang akan berlaku kepada dua orang khalifah selepas baginda. Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka berdua merupakan orang salih yang dapat diambil manfaat oleh orang ramai yang keseluruhannya mereka perolehi dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam .  Bagindalah yang memiliki segala urusan itu, maka baginda melaksanakannya dengan sempurna dan baginda menetapkan kaedah-kaedah agama. Kemudian baginda digantikan oleh Abu Bakar dimana beliau telah berperang melawan golongan yang murtad serta membinasakan mereka. Kemudian ‘Umar mengambil tempat beliau, maka pada zamannya dia telah menyebarkan Islam dengan meluasnya.
          Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:[4]
Hadis tersebut menunjukkan kekhalifahan mereka berdua, keselamatan wilayah pemerintahan mereka berdua serta banyaknya kemanfaatan yang mereka berdua perolehi sebagaimana yang disabdakan (oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam) .


3      Abu Bakar Dan ‘Umar Teladan Bagi Umat Seluruhnya
            Huzaifah al-Yaman radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنِّي لاَ أَدْرِي مَا بَقَائِي فِيكُمْ فَاقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي. وَأَشَارَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ.
Aku tidak tahu sampai bila aku akan tetap bersama kamu sekalian. Maka ikutilah dua orang ini sepeninggalanku. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar dan ‘Umar.[5]
Hadis di atas menunjukkan kemuliaan Abu Bakar serta ‘Umarradhiallahu ‘anhuma. Di dalamnya terkandung perintah Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam ke atas kaum Muslimin supaya mengikuti Abu Bakar dan ‘Umar serta berpegang teguh dengan sunnah keduanya.  
  

4     Abu Bakar Dan ‘Umar Merupakan Mata Dan Telinga Rasulullah
          Berkata ‘Abd Alah bin Hanthab radhiallahu 'anh, Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam melihat kepada Abu Bakar serta ‘Umar lalu baginda bersabda:
هَذَانِ السَّمْعُ وَالْبَصَرُ.
Dua orang ini adalah mata serta telinga (bagiku).[6]
           

5       Rasulullah Bersaksi Bahawa Abu Bakar Dan ‘Umar Adalah Penghuni Syurga
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh menerangkan, Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ أَهْلَ الدَّرَجَاتِ الْعُلَى لَيَرَاهُمْ مَنْ تَحْتَهُمْ كَمَا تَرَوْنَ النَّجْمَ الطَّالِعَ فِي أُفُقِ السَّمَاءِ وَإِنَّ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ مِنْهُمْ وَأَنْعَمَا.
Sesungguhnya orang-orang yang menduduki darjat-darjat tertinggi (di dalam syurga) akan dilihat oleh orang-orang yang ada di bawahnya sebagaimana kamu sekaliannya melihat bintang-bintang yang ada di langit. Sedangkan Abu Bakar dan ‘Umar berada di dalam kedudukan yang tertinggi tersebut dalam kenikmatan.[7]
          Anas bin Malik dan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhuma berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada Abu Bakar dan ‘Umar:
هَذَانِ سَيِّدَا كُهُولِ أَهْلِ الْجَنَّةِ مِنْ الأَوَّلِينَ وَالآخِرِينَ إِلاَّ النَّبِيِّينَ وَالْمُرْسَلِينَ.
Dua orang ini adalah tuannya (Sayyid) orang-orang tua ahli syurga, baik orang-orang terdahulu mahupun yang akan datang, kecuali para Nabi serta Rasul.[8]
Kedua-dua hadis di atas bukan sahaja menerangkan Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu 'anhuma akan memasuki syurga, tetapi memperoleh kedudukan yang tinggi di sana. Ini menunjukkan keutamaan mereka yang amat besar.


6     Pujian ‘Ali Terhadap Abu Bakar dan ‘Umar
          ‘Abd Allah ibn Abbas radhiallahu ‘anh menerangkan pada saat kewafatan ‘Umar,  beliau (‘Umar) ditidurkan di atas katilnya sementara manusia berada di sekelilingnya mendoakannya sebelum dia diangkat. Ketika itu aku (Ibn ‘Abbas) hadir di antara mereka. Aku terkejut ketika seseorang memegang kedua bahuku dan ternyata dia adalah ‘Ali bin Abi Talib. ‘Ali mengucapkan doa untuk ‘Umar semoga dirahmati oleh Allah, kemudian Ali berkata:
مَا خَلَّفْتَ أَحَدًا أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَلْقَى اللَّهَ بِمِثْلِ عَمَلِهِ مِنْكَ وَايْمُ اللَّهِ إِنْ كُنْتُ لأَظُنُّ أَنْ يَجْعَلَكَ اللَّهُ مَعَ صَاحِبَيْكَ وَحَسِبْتُ. إِنِّي كُنْتُ كَثِيرًا أَسْمَعُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ذَهَبْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَدَخَلْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَخَرَجْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ.
Tidaklah engkau meninggalkan seseorang yang lebih mengasihi diri engkau kecuali aku. Aku berharap dapat menjadi seperti dirimu ketika akan mengadap Allah. Demi Allah aku merasa yakin bahawa Allah akan mengumpulkanmu dengan kedua sahabatmu (Rasulullah serta Abu Bakar). Aku banyak mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku berangkat bersama Abu Bakar dan ‘Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ‘Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ‘Umar.[9]
          al-Nawawi rahimahullah mengulas:[10]
Hadis di atas menunjukkan kelebihan Abu Bakar dan ‘Umar dengan disaksikan oleh ‘Ali ke atas mereka berdua. Beliau memuji keduanya dengan kebaikan ketika wafatnya ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anhum ajma‘in.
Muhammad bin al-Hanafiyah berkata, aku bertanya kepada ayahku (yakni ‘Ali bin Abi Thalib):
“Siapakah manusia terbaik selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?” ‘Ali menjawab: “Abu Bakar.” Aku bertanya: “Kemudian siapa?” ‘Ali menjawab: “Kemudian ‘Umar.” Aku bimbang dia (‘Ali kemudiannya akan berkata) ‘Utsman, lalu aku berkata: “Kemudian anda?” ‘Ali menjawab: “Aku tidak lain adalah manusia biasa dari kalangan orang-orang Islam.”[11]
          Inilah dia penyaksian ‘Ali radhiallahu ‘anh yang memberikan pujian serta menyatakan kesalihan ke atas Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu ‘anhuma. Maka ianya menjadi bukti betapa sesatnya golongan yang memiliki sikap yang berbeza daripada ‘Ali sehingga sanggup menghina serta memusuhi Abu Bakar dan ‘Umar. Padahal mereka berdua telah diberi pengakuan tentang keutamaan masing-masing oleh ‘Ali radhiallahu ‘anh.[12]


 
[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3471 (Kitab al-Anbiya’) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2388.
Catitan penyunting:
                Lafaz “Demikianlah yang akan dilakukan oleh Abu Bakar dan ‘Umar” adalah kata-kata perawi kerana pada saat Rasulullah menyampaikan hadis di atas, mereka berdua tidak hadir bersama. Akan tetapi Rasulullah mengetahui bahawa apabila mereka mendengar khabar tersebut, pasti mereka akan beriman kepadanya serta merta. [Fath al-Bari, jld. 6, ms. 518]
                Hadis di atas adalah di antara beberapa hadis yang lazim dijadikan alasan oleh para pengkritik Abu Hurairah radhiallahu 'anh  bahawa kononnya beliau meriwayatkan hadis-hadis yang aneh. Hadis-hadis ini, tambah para pengkritik beliau, tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamtetapi adalah rekaan Abu Hurairah semata-mata atau apa yang beliau ambil daripada cerita-cerita kurafat. Kritikan ini kemudiannya dilanjutkan kepada al-Bukhari sendiri rahimahullah. Mereka menuduh beliau sebagai hanya memerhatikan sanad dalam mensahihkan sesuatu hadis tanpa memberi perhatian kepada matannya. Hasilnya, mereka menuduh kitab Shahih al-Bukhari memiliki hadis-hadis yang maudhu’ (palsu).
                Ini adalah kritikan lemah disebabkan mereka, para pengkritik, menggunakan logik akal untuk menilai benar atau tidak hadis-hadis. Padahal ukuran yang sebenar adalah mampu atau tidak Allah Subhanahu wa Ta'alamenjadikan sesuatu perkara. Pasti kemampuan Allah tidak mungkin dapat diukur oleh logik manusia.
                Kembali kepada kisah lembu dan serigala yang bercakap, ia hanya mustahil di sisi logik manusia tetapi tidak mustahil di sisi kekuasaan Allah. Di dalam al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menerangkan kisah burung belatuk yang bercakap kepada Nabi Sulaiman ‘alahissalam:
فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ (٢٢)
Burung belatuk itu tidak lama kemudian datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.” [al-Naml 27:22]
Jika kemukjizatan haiwan yang berkata-kata dapat berlaku pada zaman Nabi Sulaiman, sudah pasti kemukjizatan tersebut boleh berulang – dengan kehendak Allah – pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3664 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2392.
[3]               Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms. 161.
[4]               Fath al-Bari, jld. 12, ms. 413.
[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3671 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar dan ‘Umar). Dikeluarkan juga oleh Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 97; Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 399 dan jld. 5, ms. 402, juga di dalam Fadha’il al-Shahabah – hadis no: 198, 478, 479 dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4453.
[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3663 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar dan ‘Umar). Berkata al-Mubarakfuri di dalamTuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld. 10, ms. 107, hadis ini juga dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dalam al-Hilyah al-Auliya’ daripada Ibn ‘Abbas dan al-Khatib di dalam Tarikh Baghdad daripada Jabir bin ‘Abd Allah.
[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3663 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar). Selain itu dikeluarkan juga oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 3987, Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 96, Ahmad di dalam Musnadnya serta Fadha’il al-Shahabah di beberapa tempat dan Abu Ya’la di dalam Musnadnya di beberapa tempat.
[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3664 daripada Anas dan no: 3665 daripada ‘Ali (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar dan ‘Umar). Selain itu dikeluarkan juga oleh Ibn Majah di dalam Sunannya – hadis no: 100 daripada Abi Juhaifah.
[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3685 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib ‘Umar) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2389.
[10]             Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms. 158.
[11]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3671 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi “Seandainya…”). Dikeluarkan juga oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 4629 dan Ahmad di dalamFadha’il al-Shahabah – hadis no: 136.
[12]             Catitan penyunting:
                Kedua-dua riwayat yang sahih di atas juga menjadi bukti bahawa para tokoh dan pengikut Syi‘ah al-Rafidhah masa kini bukanlah pengikut ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Tidaklah sukar untuk diperhatikan perbezaan sikap yang amat besar antara ‘Ali dan mereka, dimana ‘Ali mendoakan dan mengutamakan Abu Bakar serta ‘Umar padahal mereka (Syi‘ah al-Rafidhah masa kini) melaknat dan menghina Abu Bakar dan ‘Umar. Semoga kedua-dua riwayat di atas dapat dijadikan tolok pengukur yang tepat dalam menentukan siapakah pencinta dan pengikut ‘Ali bin Abi Thalib yang sebenar.

No comments:

Post a Comment