Thursday, October 20, 2011

Apabila engkau tidak malu 2


Apabila engkau tidak malu 2

BismiLLah…
Nota: Tajuk ini ada sangkut-pautnya dengan entri saya sebelum ini Apabila engkau tidak malu, yang lebih menyentuh tentang muamalat antara lelaki dan perempuan. Namun kali ini, insya’Allah, tajuk yang akan saya kongsikan ini lebih umum.
Adegan 1:
“Heh, bahaya betul gambar kau dengan office-mates kau tu.” Zek menegur Rem, teman se-usrah-nya. (Nota: usrah = salah satu bentuk study circle)
“Alahai, kau tengok ke? Malunya aku!”
“Kenapa nak malu?”
“Well, kawan aku yang upload.” Rem tidak menjawab soalan teman yang dihormati itu. “Aku dah agak dah dia akan upload. Nanti aku untag la nama aku. Ni bukan first time pun. I know how to handle it, to clear up my name.
“Aku tak tau lah, apa situasi sebenar, tapi memang gambar tu seolah-olah kau orang lain. Dikelilingi perempuan, sampai bergesel bahu pulak tu. Aku cuba bersangka baik.”
“Eh, tak pun. Ilusi gambar aja tu,” Rem cuba menafikan kesilapannya. “Kau pun macam tak tau office-mates aku tu macam mana? Diorang free-hair, tak faham agama…”
“Dan kau yang faham agama tak cuba untuk fahamkan diorang? At least, yes at least, tell them not to upload the pics. If it was an accident. Kalau tak, ertinya kau yang benarkan diri kau dimalukan. Walaupun kau untag, kau ingat gambar tu takkan boleh sampai ke pengetahuan aku? family kau? ahli usrah lain?”
Adegan 2:
“Alamak, dia dah masuk! Cepat ambil kain pelekat!”
Terkebil-kebil Zek melihat teman-temannya terkocoh-kocoh membetulkan kain sarung yang dipakai. Hairan.
“Diaorang pakai shorts atas lutut. Bila kau masuk je, semua berlari cari kain.” Bisik Farhi sambil tergelak.
==========

عَنْ أَبِيْ مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو اْلأَنْصَارِيِّ الْبَدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ اْلأُولَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Daripada Abu Mas’oud, ‘Uqbah bin ‘Amru al-Ansori al-Badriy radhiaLLahu ‘anhu, beliau berkata: “RasuluLLah sollaLLahu ‘alayhi wasallam bersabda: ‘Sesunggunya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama ialah: Apabila kamu tidak malu maka lakukan apa yang kamu suka.’ “ [Riwayat Bukhari Kitab Adab #5769, Hadith 21 dalam 40 Hadith an-Nawawi]
“Apabila kamu tidak malu maka lakukan apa yang kamu suka”
Ayat di atas bukanlah suatu perintah agar manusia melakukan apa saja yang mereka suka, sebaliknya, ulama’ berpendapat, ayat di atas memberi 3 makna;
1- Perintah (larangan) dengan ancaman dan janji buruk - RasuluLLah seolah-olah bersabda: ‘Kalau kamu tidak malu, maka berbuatlah apa yang kamu suka. Allah akan membalas dengan balasan yang amat pedih.” (Pandangan ini paling rajih)
2- Perintah dengan makna pemberitahuan – bahawa siapa yang tiada sifat malu, dia akan tenggelam dalam perkara keji dan mungkar. Seperti makna dalam sabda baginda, “Barangsiapa yang berdusta dengan namaku maka dia menyediakan tempatnya di dalam neraka.
3- Perintah dengan makna mengharuskan – Sekiranya jika kamu tidak malu untuk melakukan sesuatu perbuatan di hadapan Allah dan di hadapan manusia, maka lakukanlah, kerana ia bererti perlakuan itu harus dan tidak bertentangan dengan syara’. (Fitrahnya, seseorang yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syara’ akan berasa malu dengan perbuatannya itu, sekurang-kurangnya di hadapan manusia yang alim)
“Dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau berasa benci manusia melihatnya.” - Riwayat Muslim, hadith no. 27 dalam hadith 40 an-Nawawi (Baca: Mengganjal, ragu & malu: itulah dosa)
Adegan 3:
“Kau tak nak pergi ball ke? Jomlah. Kena juga pergi sekali sekala. Nanti orang cakap Muslim ni anti-sosial.” Lili sebenarnya sudah tahu pendirian temannya, tapi dia masih mahu mencuba nasib, kalau-kalau temannya itu berubah fikiran.
“Tak mahulah. Aku malu. Malu tengok kawan-kawan sendiri pakai pakaian seksi, berpeluk sana-sini. Tak kisah lah islam ke tak ke. Aku malu. Lagipun nanti rasa berdosa sebab tak menegur teman sendiri. Aku tak mampu. Kau ajelah yang pergi.”
Malu bukan bererti Anti-Sosial!
Hasan al-Basri ada menyebut,
“Malu itu ada dua: malu berasaskan keimanan dan malu berasaskan kelemahan.”
Malu yang berasaskan keimanan bererti menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tercela. Oleh itu, seruan kepada kita agar bersifat dengan sifat malu adalah seruan agar kita mencegah diri kita dan manusia lainnya daripada sebarang bentuk maksiat dan keburukan. Manakala malu berasaskan kelemahan adalah malu yang tidak bertempat, yang menghalang kita mendapatkan ilmu dan rezeki. Ini barulah dinamakan sebagai ‘segan’ atau anti-sosial! Dan pastinya, takrifan ini membesakan antara sifat malu yang dikehendaki oleh syara’ dari yang lainnya.
Salim bin Abdullah dari ayahnya, mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w. lewat pada seorang Anshar yang sedang memberi nasihat (dalam riwayat lain: menyalahkan) saudaranya perihal malu. Ia berkata, “Sesungguhnya engkau selalu merasa malu”, seakan-akan ia berkata, “Sesungguhnya malu itu membahayakanmu.” Lalu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Biarkan dia, kerana malu itu sebagian dari iman.”
2 Jenis Malu
Malu hadir sama ada secara fitrah (semula jadi) atau hasil dari usaha kita.
1- Malu secara fitrah adalah semulia-mulia akhlak yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambaNya. Hamba Allah yang bersifat malu secara fitrah akan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, keburukan dan akhlak yang rendah.  Rasululullah merupakan seorang yang sangat pemalu, lebih dari malunya gadis-gadis pingitan. Sabda Rasulullah,
“Malu itu adalah salah satu cabang daripada iman.”
2- Manakala malu yang lahir hasil usaha seseorang merupakan salah satu ciri-ciri iman yang paling terpuji. Ia lahir melalui makrifatullah, mengetahui keagunganNya dan betapa dekat Dia dengan hambaNya. Malu jenis ini juga disebut sebagi setinggi-tinggi darjat ihsan. Sabda nabi s.a.w.
Malulah kepada Allah sebagaimana engkau malu terhadap lelaki soleh dari kalangan keluargamu.”
Adakah kita punya sifat malu yang disarankan ini?
Nah, tanyakan iman kita. Pernahkah kita berasa malu untuk melakukan sesuatu di hadapan sahabat kita yang kita hormati? Jikalau ya, alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita punyai sedikit daripada sifat malu. Dan sekurang-kurangnya juga, kita tahu, bahawa perlakuan itu bukanlah sesuatu yang baik untuk kita teruskan, baik secara terang-terangan ataupun bersendirian. Kata seorang ulama’ salaf, seperti yang dinukilkan oleh Imam Ahmad dalam kitab al-Adab;
“Janganlah kamu melakukan ketika bersendirian sesuatu perbuatan yang engkau malu hendak lakukan ketika terang-terangan.”
Malu itu warisan para nabi
Seperti yang disebutkan pada awal matan hadith di atas - ‘Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama’ - sifat malu ini adalah merupakan warisan para nabi terdahulu yang tidak dinasakhkan daripada syariat mereka, malah begitu ditekankan di dalam syariat nabi Muhammad s.a.w. Ini menunjukkan kepentingan sifat ini untuk dimiliki oleh umat Muhammad seluruhnya dengan harapan agar kita terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang membuahkan dosa dan murka Allah.
“Dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau berasa benci manusia melihatnya.”
Namun, ketahuilah, apabila manusia sudah biasa dengan dosa (sama ada dikelilingi oleh orang yang berbuat dosa atau dirinya sendiri yang acap melakukan dosa), maka akan luput perasaan malu, lalu digantikan dengan rasa bangga dengan dosa yang telah dilakukan. Sekiranya manusia di dunia hilang rasa malu untuk berbuat keburukan, nescaya akan rosak binasalah seluruh umat ini.
Oleh yang demikian, hargailah sifat malu yang Allah kurniakan untuk kita. Jangan sekali-kali kita mempertahankan dosa atau perbuatan buruk kita, dek kerana malu, untuk menjaga ego kita. Seperti dengan berkata, “Oh, saya memang begitu,” atau “Alah, dah banyak kali dah berlaku begitu,” apabila ‘terkantoi’ atau ditegur oleh teman kita. Jangan sekali-kali kita berbangga dengan dosa!
Jika kita malu kepada manusia, malulah juga kepada Tuhan!
Sumber rujukan:
Syarah Hadith 40 oleh Syeikh Mustafa al-Bugho
Syarah 50 Hadith oleh Ibn Rajab al-Hanbali
==========

No comments:

Post a Comment