Thursday, October 20, 2011

6 Para Sahabat Menurut al-Sunnah al-Nabawiyyah


6     Para Sahabat Menurut al-Sunnah al-Nabawiyyah

Sebagaimana ayat-ayat al-Qur’an yang menyatakan pujian, kelebihan, keutamaan serta kedudukan yang tinggi para sahabatradhiallahu ‘anhum di dalam Islam, maka demikian juga kenyataannya berdasarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Banyak yang menerangkan kelebihan, keutamaan serta kemuliaan mereka di dunia serta akhirat, mengatasi sekalian umat baginda yang lain. Antara hadis-hadis yang dimaksudkan adalah:

Pertama:
Imran b. Hushain radhiallahu ‘anh berkataRasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. قَالَ عِمْرَانُ: فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا.
Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.[1]
Hadis ini diriwayatkan oleh  Ahmad dalam Musnadnya, jld. 4, ms. 440 & 426, al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Manaqib, Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Fadha’il, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Abu Daud di dalam kitab Sunan masing-masing. Di dalam riwayat yang lain disebut:“Sebaik baik umat ini adalah pada kurun dimana aku dibangkitkan.”
Juga diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, jld.1, ms. 378 & 417, al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi daripada Ibn Mas‘ud radhiallahu 'anhdengan lafaz: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang berada di kurunku…” hingga akhirnya. Menurut lafaz Muslim: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam siapakah sebaik-baik manusia?” Rasulullah menjawab: “Kurun yang aku hidup di saat ini.”
Juga diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, jld. 2, ms. 228 dan Muslim daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh dengan lafaz: “Sebaik-baik umat aku ialah dimana aku diutuskan.” Menerusi riwayat Ahmad yang lain, apabila ditanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam“Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?” Baginda menjawab:  “Aku serta sesiapa yang bersama sama denganku” dimana sanad hadis ini adalah hasan.
Juga dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya daripada Aisyahradhiallahu 'anha dengan lafaz: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam siapakah umat yang terbaik?” Baginda menjawab: “Generasi yang mana aku berada dengan mereka, kemudian generasi seterusnya kemudian generasi ketiga.”Hadis dalam bab ini juga diriwayatkan daripada Buraidah dan Nu’man bin Bashir radhiallahu 'anhuma sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 350 & 440.
Hadis ini dengan pelbagai jalan periwayatannya merupakan bukti yang menunjukkan ketinggian kedudukan para sahabat radhiallahu ‘anhumdisebabkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berada di sisi mereka dan zaman dimana mereka itu berada merupakan sebaik-baik zaman tanpa adanya pengecualian. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan sebaik-baik makhluk di atas muka bumi manakala para sahabat baginda pula adalah sebaik-baik manusia di kalangan umat seluruhnya. AllahSubhanahu wa Ta‘ala memuliakan mereka dengan tiada sesiapapun selepas mereka yang dapat mengatasi keutamaan mereka. Ini disebabkan mereka melihat, berkumpul serta berada bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitulah kedudukan yang ada pada para sahabat radhiallahu ‘anhum sama ada di kalangan golongan yang terdahulu (al-Sabiq al-Awwalin), golongan Muhajirin, Ansar dan para sahabat lainnya.
Kami menukilkan dari Syarah Shahih Muslim oleh al-Abiyrahimahullah dimana beliau berkata:[2]
Keutamaan para sahabat radhiallahu ‘anhum adalah kerana kehadiran mereka bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamsekalipun hanya sekelip mata. Tiada sesiapapun yang dapat menyamai amalan serta mencapai akan darjat mereka. Keutamaan mereka adalah sesuatu yang tidak dapat diukur (kerana keistimewaannya yang tiada tolok bandingan). Itulah kurniaan Allah ke atas sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Ya, Allah mungkin mengurniakan ganjaran ke atas orang yang berada pada akhir zaman seumpama ganjaran yang dikurniakan ke atas para sahabat atau mungkin kurang daripadanya disebabkan kebaikan yang dilakukan serta segala usaha mereka dalam memerangi kemungkaran serta kemaksiatan. Namun hakikatnya segala usaha mereka (orang akhir zaman) tidak akan dapat menyamai kedudukan serta keutamaan para sahabatradhiallahu ‘anhum ajma‘in,[3] yakni ganjaran mungkin sama tetapi kedudukan tidak akan sama.

Kedua:
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنْ النَّاسِ. فَيَقُولُونَ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ نَعَمْ. فَيُفْتَحُ لَهُمْ. ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنْ النَّاسِ. فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ نَعَمْ. فَيُفْتَحُ لَهُمْ. ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنْ النَّاسِ. فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ نَعَمْ. فَيُفْتَحُ لَهُمْ.
Akan tiba suatu masa yang pada saat itu ada segolongan manusia keluar berperang. Maka dikatakan kepada mereka: “Adakah di antara kamu yang pernah bersahabat dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?” Mereka menjawab: “Ya, ada.” Maka Allah memenangkan mereka.
Kemudian keluar segolongan yang lain lalu dikatakan kepada mereka: “Adakah di antara kamu yang pernah bersama sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?” Mereka menjawab: “Ya, ada.” Maka Allah memenangkan mereka.
Kemudian keluar segolongan yang lain lalu dikatakan kepada mereka: “Adakah di antara kamu orang yang pernah bersama orang yang pernah bersama sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?” Mereka menjawab: “Ya ada.” Maka Allah memenangkan mereka.[4]
Hadis ini secara jelas menerangkan kelebihan para sahabat menerusi kelebihan yang dikurniakan Allah ke atas mereka dimana Allah akan mengurniakan kemenangan ke atas umat Islam sekiranya para sahabat masih berada di sisi mereka. Berdasarkan riwayat Muslim, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
انْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ فِيكُمْ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيُوجَدُ الرَّجُلُ فَيُفْتَحُ لَهُمْ بِهِ.
Lihatlah, adakah kamu dapati di antara kalian seseorang daripada kalangan sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam? Apabila mereka menjumpai seorang, mereka akan dikurniakan kemenangan disebabkan olehnya.[5]
Sesungguhnya kemenangan yang diperolehi itu termasuklah ke atas golongan yang pernah melihat para sahabat ataupun yang pernah melihat golongan yang pernah melihat para sahabat. Sesungguhnya hadis-hadis ini memnunjukkan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'alake atas para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kemuliaan para sahabat tidak hanya terhad kepada hal yang berkaitan dengan perang, tetapi meluaskan kepada segala perkara. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda sebagaimana yang dikemukakan oleh Wasilah bin al-Asqa’ radhiallahu ‘anh:
      لاَ تَزَالُونَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيكُمْ مَنْ رَآنِي وَصَاحَبَنِي.
           Kamu sekalian masih di dalam keadaan yang baik selagi mana di kalangan kamu terdapat seseorang yang pernah melihatku atau melihat sahabat aku.[6]

Ketiga:
Abu Musa radhiallahu ‘anh berkata, kami mengerjakan solat Maghrib bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu baginda mengadahkan wajahnya ke langit lalu bersabda:
النُّجُومُ أَمَنَةٌ لِلسَّمَاءِ فَإِذَا ذَهَبَتْ النُّجُومُ أَتَى السَّمَاءَ مَا تُوعَدُ. وَأَنَا أَمَنَةٌ لأَصْحَابِي فَإِذَا ذَهَبْتُ أَتَى أَصْحَابِي مَا يُوعَدُونَ. وَأَصْحَابِي أَمَنَةٌ لأُمَّتِي فَإِذَا ذَهَبَ أَصْحَابِي أَتَى أُمَّتِي مَا يُوعَدُونَ.
Bintang-bintang adalah amanah bagi langit, apabila tenggelamnya bintang-bintang muncullah langit menemui apa yang dijanjikan. Aku pula adalah amanah bagi para sahabatku, maka sekiranya aku pergi (wafat), muncullah para sahabatku menemui apa yang dijanjikan. Para sahabatku adalah amanah bagi umatku, apabila mereka telah pergi nanti, muncul pula umatku menemui apa yang dijanjikan kepada mereka. [7]
          Hadis ini menerangkan kelebihan para sahabat dimana mereka, sekalipun berseorang,  merupakan penjaga bagi umat ini. Kehadiran mereka akan menyelamatkan umat ini daripada bala seperti kejahatan yang mengatasi kebaikan, terjadinya bid‘ah dan berleluasanya kemungkaran. Keadaan ini jelas terserlah semasa zaman fitnah serta kezaliman pada waktu akhir pemerintahan Bani Umayyah dimana menerusi keberkatan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Allah Subhanahu wa Ta'alamengurniakan kebaikan yang banyak kepada masyarakat sehingga mengatasi segala keburukan yang berlaku.

Keempat:
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلا نَصِيفَهُ.
Janganlah kamu mencaci para sahabatku! Sekiranya seorang dari kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan sama ganjaran yang dilakukan oleh mereka walau secupak mahupun setengah.[8]
Hadis ini melarang para sahabat yang terkemudian daripada mencaci para sahabat yang terdahulu memeluk Islam. Ianya menceritakan kisah salah faham yang berlaku di antara ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dengan Khalid al-Walid radhiallahu ‘anhuma. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf merupakan sahabat Muhajirin yang awal serta termasuk di kalangan 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga. Khalid al-Walid pula merupakan sahabat yang memeluk Islam selepas perjanjian Hudaibiyyah, sebelum pembebasan kota suci Mekah.
Menerusi hadis ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang para sahabat yang terkemudian daripada mencaci serta merendahkan para sahabat yang terdahulu daripada mereka. Ini disebabkan golongan yang terkemudian memeluk Islam tidak dapat mengatasi golongan yang terdahulu dari segi amal perbuatan yang mereka lakukan. Oleh itu sekalipun Khalid al-Walid mensedekahkan emas sebesar gunung Uhud, beliau masih belum mampu menandingi perbelanjaan yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan orang-orang yang seumpamanya dari kalangan orang-orang Islam yang lebih dahulu memeluk Islam.
 Inilah kedudukan para sahabat di antara yang awal dan yang terkemudian. Maka bagaimana pula dengan golongan yang datang selepas daripada mereka (bukan di kalangan para sahabat)? Pasti ukuran dan timbangannya amat jauh daripada dapat mengatasi para sahabat tersebut, sama ada yang awal mahupun yang akhir. Anehnya golongan yang datang selepas mereka sanggup pula merendahkan kedudukan, mencela dan mencaci para sahabat ini radhiallahu 'anhum sejak zaman berzaman.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
دَعُوا أَصْحَابِي لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي.
Peliharalah para sahabatku (dan) janganlah mencaci para sahabatku.[9]
Kelima:
‘Abd Allah bin Maghfal radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan telah bersabda:
اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ وَمَنْ آذَى اللَّهَ يُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ .
Allah! Allah! (takutlah kepada Allah) tentang sahabatku, Allah! Allah! (takutlah kepada Allah) tentang sahabatku. Janganlah kamu mengambil para sahabatku sebagai sasaran kemarahan dirinya (kerana benci terhadap mereka). Sesiapa yang mengasihi mereka, maka dia mengasihiku dan aku mengasihi mereka.
Sesiapa yang memarahi mereka, maka mereka memarahiku dan aku turut memarahi mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka (dengan celaan) sesungguhnya dia menyakitiku dan sesiapa yang menyakitiku maka dia menyakiti Allah. Sesiapa yang menyakiti Allah, dibimbangi akan direntap nyawanya. [10]
Hadis ini memberi peringatan agar kita mengetahui hak para sahabat radhiallahu ‘anhum iaitu kita wajib menghormati dan mengasihi mereka. Pada waktu yang sama kita dilarang daripada mencela atau menghina mereka. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang menyakiti mereka bererti menyakitiku” merupakan larangan yang bakal mendatangkan bencana bagi sesiapa yang mencela para sahabat. Ini kerana tindakan mereka memiliki natijah mencela Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. [al-Ahzab 33:57]

Keenam:
Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu ‘anhuma berkata, Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الله اَخْتَارَ أَصْحَابِي عَلَى العَالَمِينَ سِوى النَّبِيَّينَ وَالمُرْسَلِينَ، وَاخْتَارَ لِي مِنْ أَصْحَابِي أَرْبَعَةً - يعني أَبُا بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ وَعَلِياً - فَجَعَلَهُمْ أَصْحَابِي. وقال: فِي أَصْحَابِي كُلُّهُمْ خَيْرٌ، وَاخْتَارَ أُمَّتِي عَلَى الأُمَمِ.
Sesungguhnya Allah telah memilih para sahabatku di atas sekalian alam kecuali para Nabi dan Rasul. Maka aku telah memilih empat orang dari kalangan sahabatku iaitu Abu Bakar, Umar, ‘Utsman serta Ali dan menjadikan mereka sahabatku (yang utama).Baginda bersabda lagi: Sahabatku semuanya di atas kebaikan, umatku terpilih di atas sekalian umat.[11]

Ketujuh:
Diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu ‘anhuma, dia berkata, aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ تَمَسُّ النَّارُ مُسْلِمًا رَآنِي أَوْ رَأَى مَنْ رَآنِي.
Tidak masuk ke dalam neraka seorang muslim yang melihatku, atau seorang muslim yang melihat sesiapa yang melihatku.[12]

 Kelapan:
‘Abd Allah bin Yasar radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
طُوْبَى لِمَنْ رَآنِي وَطُوْبَى لِمَنْ رَأَى مَنْ رَآنِي، طُوْبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَآبٍ.
Sungguh beruntung orang yang melihatku dan sungguh beruntung orang yang melihat orang yang melihatku. Sesungguhnya beruntung baginya dan balasan yang baik.[13]
Hadis-hadis yang telah disebutkan memberikan kegembiraan ke atas sekalian para sahabat radhiallahu ‘anhum, dimana keseluruhan mereka telah di janjikan dengan syurga serta terpelihara dari azab neraka. Sesungguhnya para sahabat merupakan wali Allah yang paling tinggi kedudukannya dari kalangan umat. Bagi mereka karamah serta perlindungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Merekalah golongan yang paling mengasihi Allah sesudah para Rasul serta Nabi ‘alaihimussolatu wassalam. Merekalah yang telah menyaksikan turunnya wahyu Ilahi ke atas Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam serta membantu baginda dengan harta serta seluruh jiwa raga mereka. Dengan itu tiada sesiapa yang dapat mencapai taraf kedudukan mereka buat selama-lamanya. Maka sesiapa yang memusuhi serta memerangi mereka maka Allah pasti akan memusuhi serta memeranginya. Maka bagaimanakah kedudukan golongan yang sanggup mencela, menghina serta mencaci-maki mereka? Selawat dan salam serta keberkatan ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga baginda serta ke atas para sahabatnya dan golongan tabi’in sekaliannya.[14]




[1]               Sahih: Lafaz di atas dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3650 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan para sahabat). Memiliki beberapa riwayat yang lain dari sejumlah sahabat sebagaimana yang dikemukakan oleh pengarang, sehingga mencapai taraf mutawatir. Lafaznya mungkin berbeza tetapi maksudnya adalah sama.
[2]               Syarh Shahih Muslim li al-Abiy, jld. 6, ms. 362. Keterangan seumpama di atas juga dikemukakan oleh al-Nawawi di dalam Syarh Shahih Muslimnya, jld. 16, ms. 93; kedua-dua mereka menukilnya daripada al-Qadhi ‘Iyadh.
                Catitan penyunting:
                Yang dimaksudkan sebagai al-Abiy (الأبي) ialah Muhammad bin Khalifah bin ‘Umar al-Wasytati al-Abiy yang berasal daripada Tunisia. Beliau mengarang kitab Ikmal Ikmal al-Mu‘alim bi Syarh Shahih Muslim yang merupakan himpunan daripada beberapa kitab sebelumnya karangan al-Mazari, al-Qadhi ‘Iyadh (Ikmal al-Mu‘alim bi Fawa‘id Muslim), Ibrahim al-Qurthubi (al-Mufhim li ma Asykala min Talkhish Kitab Muslim) dan al-Nawawi yang semuanya mensyarahkan hadis-hadis Shahih Muslim. Al-Abiy meninggal dunia pada tahun 828H.
[3]               Catitan penyunting:
Maksudnya, ganjaran mungkin sama tetapi darjat kedudukan tidak akan sekali-kali sama antara generasi sahabat dan generasi sesudah mereka. Saya merasa musykil atas kenyataan ini kerana berdasarkan salah sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, maksudnya:“Seseorang kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan sama ganjaran yang dilakukan oleh mereka walau secupak mahupun setengah.” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3470]. Berdasarkan hadis ini, adalah agak mustahil seseorang daripada generasi sesudah sahabat boleh membuat amalan yang ganjarannya sama atau semisal dengan amalan para sahabat. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3649 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan para sahabat) dan Muslim di dalamShahihnya – hadis no: 2532. 
[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2532 (Kitab keutamaan para sahabat).
[6]               Sanad Hasan: Disebut oleh al-Haitsami  rahimahullah (807H) di dalam Majma al-Zawa‘id – hadis no: 16419 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan mereka yang melihat Nabi …) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan para perawi salah satu daripada jalan periwayatannya adalah perawi yang sahih. Juga disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) di dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadis no: 3649 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan para sahabat) dan beliau berkata: Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang hasan.
[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2531 (Kitab keutamaan para sahabat). Selain itu dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 4, ms. 338 dan Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 7249.
[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 3470 (Kitab al-Manaqib). Berkenaan kisah yang menyebabkan datangnya hadis ini (Asbab al-Wurud) sebagaimana yang dikemukakan oleh pengarang, rujukShahih Muslim – hadis no: 2541 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab larangan mencela para sahabat).
[9]               Sahih: Disebut oleh al-Haitsami di dalam Majma al-Zawa‘id – hadis no: 16465 (Kitab al-Manaqib, Bab Berkenaan hak para sahabat…) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan para perawinya adalah perawi yang sahih. Disebut oleh ‘Ala’ al-Din al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-‘Ummal – hadis no: 32543 (Kitab keutamaan para sahabat) dan beliau berkata: Riwayat Abu Bakar al-Barqani dan al-Ruwaini di dalam al-Mustakhraj daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan ianya (adalah hadis) sahih.
[10]             Sanad Dha‘if: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya – hadis no: 3945 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan orang yang melihat Nabi …) dan berkata al-Tirmizi: Hadis ini hasan gharib. Dikeluarkan oleh Ahmad di dalamMusnadnyajld. 4, ms. 87, jld 5, ms. 54 dan jld. 5, ms. 57 dan Fadhail al-Shahabah – hadis no: 1, 2 & 3; al-Ruwaini di dalam Musnadnya – hadis no: 882; al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-Iman – hadis no: 1511 dan al-I’tiqad, ms. 321; Abu Bakar al-Khalal di dalam Kitab al-Sunnah – hadis no: 830; Ibn Abi ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah – hadis no: 992; Abu Nu‘aim di dalam Hilyah al-Auliya’, jld. 8, ms. 287 dan Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 7256.
Semuanya dengan jalan periwayat yang berpangkal kepada ‘Abd al-Rahman bin Ziyad. Beliau juga dikenali sebagai ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd Allah, juga sebagai ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman. Beliau tidak dikenali dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dilnya, kecuali oleh Ibn Hibban dimana beliau menthiqahkannya. Walaubagaimanapun manhaj penilaian Ibn Hibban diperbincangkan oleh majoriti ahli hadis yang lain. Justeru sanad hadis ini adalah dha‘if. Berkata al-Albani di dalam semakannya ke atas Kitab al-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim: Isnadnya dha‘if kerana ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman tidak dikenali (majhul). Demikian juga nilai Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban: Sanadnya dha‘if.
[11]             -----: Disebut oleh al-Haitsami  di dalam Majma al-Zawa‘id – hadis no: 16383 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan para sahabat Rasulullah …)dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Bazzar, para perawinya adalah thiqahmanakala bagi sebahagian daripada mereka terdapat perselisihan.
[12]             Sanad Dha‘if: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan gharib, tidak dikenali kecuali daripada hadis Musa bin Ibrahim al-Anshari. Dan hadis ini diriwayatkan daripada Musa (bin Ibrahim) oleh ‘Ali bin Madini dan selainnya daripada kalangan ahli hadis. Hadis ini dinilai dha‘if oleh al-Albani di dalam Dha‘if Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3858 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan orang yang melihat Nabi …).
[13]             Sahih: Disebut oleh al-Haitsami di dalam Majma al-Zawa‘id – hadis no: 16417 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan mereka yang melihat Nabi …)dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan (dalam sanadnya terdapat) Baqiyah bin al-Walid (dimana dia) jelas telah mendengar hadis ini sehingga terlepas daripadanya tuduhan tadlis. Baki para perawinya adalah thiqah. Riwayat yang seumpama juga disebut oleh al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5304 dan ia dinilai hasan oleh beliau. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 1254.
[14]             Catitan penyunting:
                Jika ditanya kepada Syi‘ah al-Rafidhah berkenaan hadis-hadis yang menerangkan kedudukan para sahabat, mereka tidak akan mengemukakan hadis-hadis di atas sebagaimana yang dikemukakan oleh pengarang. Akan tetapi mereka akan mengemukakan hadis berikut tentang Telaga Haudhdimana Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ الْحَوْضَ رِجَالٌ مِمَّنْ صَاحَبَنِي حَتَّى إِذَا رَأَيْتُهُمْ وَرُفِعُوا إِلَيَّ اخْتُلِجُوا دُونِي. فَلَأَقُولَنَّ: أَيْ رَبِّ أُصَيْحَابِي أُصَيْحَابِي! فَلَيُقَالَنَّ لِي: إِنَّكَ لاَ تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ.
Sebahagian orang daripada kalangan sahabatku mendatangi telaga Haudh sehingga aku dapat melihat mereka dan mereka diperlihatkan kepadaku, akan tetapi kemudian mereka dihalang (daripada terus mendatangi telaga tersebut). Aku berkata: “Wahai Tuhan! Mereka adalah para sahabatku! Mereka adalah para sahabatku!” Maka diperkatakan kepada aku: “Sesungguhnya engkau tidak tahu apa perkara baru yang mereka buat selepas engkau.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2304 (Kitab al-Ru’ya, Bab sabitnya telaga Haudh bagi Nabi kami s.a.w.)]
Menurut para tokoh Syi‘ah al-Rafidhah, para sahabat tersebut dihalang daripada Telaga Haudh kerana tindakan mereka di dunia selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dimana mereka telah mengingkari nas-nas kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib dan sebaliknya melantik serta membai‘ah Abu Bakar.
Ahl al-Sunnah menjawab, jika diikutkan kepada dakwaan Syi‘ah al-Rafidhah di atas, maka ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh termasuk sahabat yang dihalang daripada Telaga Haudh. Ini kerana beliau sendiri telah mengkhianati nas-nas perlantikannya sebagai khalifah dan sebaliknya membai‘ah Abu Bakar.
Yang benar adalah, tidak wujud apa-apa nas yang melantik ‘Ali sebagai khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.Oleh kerana itu tidak ada apa-apa kesalahan pada pihak para sahabat, termasuklah pada ‘Ali radhiallahu 'anhum. Adapun “para sahabatku” yang dihalang daripada Telaga Haudh sebagaimana hadis Shahih Muslim di atas, maka mereka adalah segelintir orang yang beriman pada hayat Rasulullah, khasnya ketika Pembukaan Kota Mekah, lalu kemudian murtad selepas kewafatan baginda. Mereka inilah golongan yang diperangi pada zaman pemerintahan Abu Bakarradhiallahu 'anh.
Majoriti sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar radhiallahu 'anhumtidak termasuk dalam kategori “para sahabatku” yang dihalang daripada Telaga Haudh. Ini kerana kedudukan mereka telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an sebagaimana yang telah dikemukakan dalam bab sebelum ini (Para Sahabat Menurut al-Qur’an al-Karim).

No comments:

Post a Comment