Ketujuh: Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali
Terdapat beberapa keutamaan yang berkumpul secara bersamaan bagi keempat-empat khalifah di atas. Antaranya:
1 Mereka Mempunyai Hubungan Perkahwinan dengan Rasulullah
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh berkahwin dengan Fathimah binti Rasulullah radhiallahu 'anha sehingga melahirkan zuriat keturunan daripadanya. ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh berkahwin denganRuqayyah binti Rasulullah radhiallahu 'anha. Setelah itu ‘Utsman berkahwin pula dengan adik Ruqayyah iaitu Umm Kaltsum binti Rasulullah radhiallahu 'anha. Kedua-dua perkahwinan ini dilangsung ketika hayat Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam sehingga ‘Utsman diberi gelaran “Zu al-Nurain”.
Selain itu, kedua-dua al-Siddiq dan al-Faruq radhiallahu ‘anhumamerupakan mertua kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam berkahwin dengan ‘Aisyah binti Abu Bakarradhiallahu 'anha dan Hafsah binti ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anha.
2 Mereka Merupakan Khalifah Di Atas Jalan Kenabian
Para ilmuan bersepakat bahawa Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Aliradhiallahu ‘anhum adalah empat orang Khalifah terpimpin yang berada di atas jalan kenabian. Safinah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
الْخِلاَفَةُ فِي أُمَّتِي ثَلاَثُونَ سَنَةً ثُمَّ مُلْكٌ بَعْدَ ذَلِكَ.
Masa kekhalifahan bagi umatku ialah tiga puluh tahun, kemudian sesudah itu adalah masa kerajaan.
Kemudian Safinah berkata: “Hitunglah masa kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan masa kekhalifahan ‘Ali, nescaya kamu dapati ianya berjumlah tiga puluh tahun.”[1]
‘Irbad bin Sariyyah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan nasihat yang membuat airmata kami mengalir dan membuat hati kami bergetar. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, ini seperti nasihat orang yang akan berpisah lalu apa yang tuan wasiatkan kepada kami?” Baginda bersabda:
...فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ...
“…berpeganglah kamu dengan sekalian dengan sunnahku dan sunnah Khalifah al-Rasyidin yang berada di atas petunjuk…”[2]
Yang dimaksudkan dengan “sunnah Khalifah” adalah perjalanan hidup Khalifah al-Rasyidin yang empat sebagaimana yang disepakati oleh para ilmuan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menetapkan bahawa mereka itu berada di atas jalan petunjuk serta hidayah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا. ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ. ثُمَّ سَكَتَ.
Masa kenabian akan berlangsung di kalangan kalian sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) khalifah yang berada di atas manhaj Nubuwwah sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang menggigit (menghimpit) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang mengganas (zalim) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (semula sistem pemerintahan) khalifah yang berada di atas manhaj Nubuwwah.
Kemudian baginda diam.[3]
Hadis-hadis yang sahih di atas menolak sikap Syi‘ah al-Rafidhahyang menafikan kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman radhiallahu 'anhum. Pada waktu yang sama ia juga menolak mereka yang menafikan kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anh. Yang benar mereka berempat adalah khalifah yang benar yang berada di atas manhaj kenabian (al-Nubuwwah).[4]
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 2226 (Kitab al-Fitan, Bab berkenaan khalifah). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 220.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4607 (Kitab al-Sunnah, Bab berpegang kepada sunnah). Merupakan salah satu daripada Hadis 40 yang disusun oleh al-Nawawi rahimahullah.
[3] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 18406 (Awal Musnad al-Kufayyan, Hadith Nu’man bin al-Basyir)dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.
[4] Catitan penyunting:
Tamatlah terjemahan ringkas ke atas buku yang dikarang oleh Syaikh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri. Dalam buku yang asal, beliau menyambung perbincangan dengan menulis tentang keutamaan beberapa sahabat yang lain, diikuti dengan penjelasan para ilmuan Islam tentang keutamaan para sahabat. Akan tetapi kami berpendapat adalah memadai diselesaikan terjemahan sehingga ke takat ini, mengingatkan jika disambung ia akan menambah ketebalan buku ini dan seterusnya menjadi faktor yang memberatkan kepada para pembaca sekalian. Dimaklumi bahawa buku yang tebal, dikuti dengan harga yang tinggi selari dengan ketebalan buku, adalah faktor yang mempengaruhi banyak pembaca di Malaysia. Lebih dari itu, diyakini bahawa terjemahan yang diusahakan setakat ini telah dapat mencapai tujuan buku ini diusahakan, iaitu untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah al-Rafidhah terhadap keutamaan para sahabat secara umum dan terhadap keutamaan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman serta ‘Ali secara khusus.
Diharapkan buku ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada para pembaca sekalian dan mencapai tujuan ia diusahakan. Seandainya terdapat apa-apa kekurangan dalam buku ini, maka ia adalah disebabkan kepada kelemahan yang terdapat pada diri penterjemah dan penyunting, tidak sekali-kali disebabkan oleh para sahabat itu sendiri. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'alameredhai semua sahabat daripada fitnah serta salah faham orang-orang terkemudian.
Tidak ketinggalan, didoakan agar Allah Subhanahu wa Ta'alamemberikan sebaik-baik ganjaran kepada pengarang: Syaikh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri di atas jerih payah beliau menulis buku ini. Semoga Allah memeliharanya dan keluarganya, menambah ilmunya dan mempermudahkan baginya untuk terus berkongsi ilmu kepada kami semua.
Amin Ya Rabb al-‘Alamin.
No comments:
Post a Comment