Keutamaan Para Sahabat Secara Khusus
Golongan Syi‘ah al-Rafidhah memiliki sikap yang melampau dalam mencela para sahabat radhiallahu 'anhum, khasnya terhadap tiga orangKhalifah al-Rasyidin iaitu al-Shiddiq, al-Faruq dan Zu al-Nuraian. Celaan mereka tertumpu kepada tuduhan sesat sehinggalah kepada tuduhan mereka – para sahabat – telah keluar dari Islam.
Atas dasar ini maka menjadi kewajipan kami untuk menyampaikan kepada para pembaca sekalian keutamaan para sahabat radhiallahu 'anhumserta kedudukan, kemuliaan dan kebenaran mereka sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Hal ini telah kami lakukan dalam Bahagian Pertama buku ini, alhamdulillah. Seterusnya kami akan menerangkan keutamaan para sahabat secara khusus, khasnya keutamaan Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab dan ‘Utsman ibn ‘Affan, diikuti dengan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum.
Pertama: Keutamaan Abu Bakar al-Shiddiq
Beliau adalah ‘Abd Allah bin ‘Utsman Abu Bakar al-Shiddiq bin Abi Quhafah al-Quraisyi sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang paling utama serta bertaraf menteri kepada baginda. Beliau merupakan orang yang kedua bersama Rasulullah di dalam gua serta menemani baginda ketika hijrah. Rasulullah telah memperisterikan anak beliau iaitu A’isyahradhiallahu ‘anha yang merupakan di antara isteri yang paling disayangi oleh baginda. Beliau merupakan salah seorang dari 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga serta Khalifah al-Rasyidin pertama yang mana kepimpinannya telah menguatkan agama serta membawa kemenangan kepada Islam. Beliau adalah sahabat yang dikebumikan jasadnya di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Raudhah yang suci.
Abu Bakar radhiallahu ‘anh dilahirkan dua tahun setelah berlakunya peristiwa tentera bergajah dan menjadi teman setia Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sejak sebelum baginda diutuskan menjadi Rasul. Para ilmuan bersepakat bahawa beliau merupakan lelaki yang pertama memeluk agama Islam.[1] Beliau sepanjang masa sentiasa bersama-sama dengan Rasulullah semasa di Mekah, kemudian berhijrah bersama baginda ke Madinah. Beliau telah ikut serta dalam semua peperangan bersama Rasulullah, demikian juga dalam mana-mana ekspedisi atau perjalanan Rasulullah. Dalam erti kata lain, hampir seluruh daripada masa Abu Bakar diluangkan untuk berada di samping Rasulullah sehinggalah ke saat baginda wafat.
Abu Bakar radhiallahu 'anh pernah dilantik memimpin rombongan haji. Beliaulah juga orang yang dilantik oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamuntuk menggantikan tempat baginda sebagai imam solat sewaktu baginda sakit yang membawa kepada kewafatannya. Berdasarkan perlantikan ini, para sahabat radhiallahu ‘anhum bersepakat bahawa Abu Bakar radhiallahu 'anh merupakan khalifah yang hak untuk menggantikan tempat Rasulullah bagi memimpin umat setelah pada awalnya berlaku perselisihan siapakah yang sepatutnya menjadi khalifah.
Sejak zaman Jahiliyyah lagi Abu Bakar radhiallahu ‘anh terkenal dengan sifat dermawannya. Beliau pernah mendermakan sebanyak 40 ribu dirham untuk kepentingan Islam serta membebaskan para hamba. Ini terbukti dimana beliau telah membebaskan 7 orang hamba yang mengalami penyiksaan kerana memeluk Islam yang di antaranya adalah Bilal Ibn Rabah dan Amir bin Fuhairah radhiallahu 'anhuma. Mereka merupakan golongan Islam yang lemah serta tidak berdaya sehingga dibebaskan dari perhambaan menerusi tangan Abu Bakar. Kemuliaan akhlak serta sifat amanah yang ada pada diri Abu Bakar menjadi ukuran oleh masyarakat sehingga 5 orang tokoh Quraisy telah memeluk Islam kerananya. Mereka, yang kesemuanya merupakan sahabat utama yang dijamin masuk syurga, adalah ‘Utsman, Talhah, al-Zubair, Sa‘ad bin Abi Waqqas serta ‘Abd al-Rahman bin ‘Aufradhiallahu ‘anhum.
Apabila kaum Muslimin mengalami pelbagai tekanan serta penindasan daripada kaum kafir Quraisyh di Kota Mekah maka Abu Bakar radhiallahu ‘anhtelah berazam untuk berhijrah sebagaimana kaum Muslimin lainnya ke Habsyah (Etophia). Apabila beliau keluar dengan keluarganya, beliau telah bertemu dengan Ibn Daghinah (ابن الدغنة) seorang ketua bagi kaumnya. Dia bertanya kepadanya: “Ke manakah kamu wahai Abu Bakar?” Beliau menjawab: “Aku telah dihalau oleh kaumku, maka aku hendak berjalan di bumi ini dan mencari tempat untuk menyembah Tuhanku!” Berkata Ibn Daghinah: “Engkau tidak patut dihalau, engkau banyak membantu kaummu, suka menghubungkan silaturahim dan sentiasa menolong orang yang lemah. Kembalilah engkau, aku akan menjadi pelindung bagimu. Sembahlah Tuhanmu di negerimu.”
Maka kembalilah Abu Bakar berserta Ibn Daghinah ke Mekah lalu bertemu dengan para pemimpin Quraish. Berkata Ibn Daghinah kepada mereka: “Abu Bakar tidak patut keluar dari Mekah. Apakah patut kamu menghalau orang yang suka membantu orang, suka menghubungkan silaturahim, serta sentiasa membantu orang yang lemah?” Jawab para pemimpin Quraisyh: “Suruh Abu Bakar beribadat menyembah Tuhannya di rumahnya sahaja, kami tidak ingin dia menunjukkan amalannya kepada orang-orang kami. Dia bebas buat apa sahaja di rumahnya, membaca al-Qur’an dan sebagainya.”
Maka Abu Bakar radhiallahu ‘anh membina sebuah masjid di halaman rumahnya. Di situlah dia bersembahyang, membaca al-Qur’an sehingga terisak-isak mengeluarkan air mata. Maka ramailah kaum Quraisy serta anak-anak mereka datang untuk memperhatikan Abu Bakar beribadat. Mereka berasa hairan serta kagum dengan apa yang dilakukan oleh beliau, yakni beribadat dengan penuh khusyuk. Ini akhirnya membimbangkan para pemimpin Quraisyh. Maka apabila Ibn Daghinah memberitahunya akan keresahan para pemimpin Quraisyh itu Abu Bakar berkata: “Aku tidak meminta perlindungan itu, cukuplah aku dengan perlindungan dari AllahSubhanahu wa Ta‘ala.”
Kisah di atas dirakamkan dalam Shahih al-Bukhari serta di dalam kitab-kitab hadis lainnya.
1 Abu Bakar Beriman Tanpa Keraguan Mahupun Penangguhan
Di antara kelebihan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu 'anh ialah apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyeru seseorang kepada Islam, orang tersebut akan merasa ragu-ragu atau meminta tangguh untuk berfikir terlebih dahulu. Abu Bakar terkecuali daripada sikap seperti ini, beliau tidak sedikitpun berasa ragu mahupun meminta tangguh untuk berfikir terlebih dahulu. Dengan itu beliaulah lelaki pertama yang memeluk Islam yang sanggup mengorbankan diri serta hartanya untuk Islam.
Salah seorang sahabat, Abu Darda’ radhiallahu ‘anh pernah menceritakan: Aku sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallamlalu tiba-tiba muncullah Abu Bakar sambil menjinjing hujung pakaiannya hingga terlihat lututnya. Maka Nabi berkata: “Sesungguhnya teman kamu ini sedang kesal maka berilah salam atasnya.” (Setelah itu) Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, antara aku dan (‘Umar) Ibnu al-Khaththab terjadi perselisihan, maka aku segera mendatanginya untuk meminta maaf, aku mohon kepadanya agar memaafkan aku namun dia enggan menerima permohonanku. Maka kerana itu akan datang mengadapmu sekarang.”
Rasulullah menjawab: “Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Bakar” (baginda mengulanginya sebanyak tiga kali). Tidak lama selepas itu ‘Umar menyesal akan perbuatannya dan mendatangi rumah Abu Bakar sambil bertanya: “Apakah di dalam ada Abu Bakar?” Namun keluarganya menjawab: “Tidak.” ‘Umar segera mendatangi Rasulullah sementara wajah Rasulullah kelihatan merah kerana marah sehinggakan Abu Bakar (yang masih berada di sisinya) merasa kasihan terhadap ‘Umar. Lalu Abu Bakar memohon sambil duduk di atas kedua lututnya: “Wahai Rasulullah, Demi Allah sebenarnya akulah yang bersalah” (diulanginya sebanyak dua kali). Maka Rasulullah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ بَعَثَنِي إِلَيْكُمْ فَقُلْتُمْ: كَذَبْتَ. وَقَالَ: أَبُو بَكْرٍ: صَدَقَ. وَوَاسَانِي بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَهَلْ أَنْتُمْ تَارِكُوا لِي صَاحِبِي؟
Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allah kepada kamu namun kamu sekalian mengatakan, “Engkau pendusta!” Sementara Abu Bakar berkata: “Engkau benar!” Setelah itu dia membelaku dengan seluruh jiwa dan hartanya. Lalu apakah kamu akan mengabaikan sahabatku ini?
Setelah itu Abu Bakar tidak pernah diganggu lagi.[2]
Hadis di atas dengan jelasnya menunjukkan kelebihan Abu Bakarradhiallahu ‘anh melebihi keseluruhan para sahabat yang lain. Ini disebabkan besarnya usaha beliau terhadap Islam sehingga sanggup mengorbankan dirinya serta hartanya di saat Islam menerima tekanan yang paling hebat di awal perkembangannya sehinggakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda berkenaan sahabat kesayangannya itu: “Apakah kamu akan mengabaikan sahabatku ini?” Penetapan khusus terhadap kelebihan Abu Bakar radhiallahu ‘anh akan diterangkan seterusnya berdasarkan ketetapan al-Qur’an, insha-Allah. Begitu juga dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang sahih dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Abu Bakar: “Janganlah kamu memaki sahabatku…” hingga akhirnya.
2 Pembelaan Abu Bakar Ke Atas Rasulullah
Di antara kelebihan Abu Bakar radhiallahu ‘anh adalah pembelaan beliau terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda dianiaya oleh kaum kafir Quraisyh pada saat awal perkembangan Islam. Ketika itu Rasulullah serta para sahabat menerima ujian yang sangat hebat akibat ditindas serta ditekan oleh golongan Musyrikin. Rasulullah sendiri telah dianiaya sehingga disakiti jasad baginda. Urwah bin al-Zubair radhiallahu 'anh berkata: “Aku pernah bertanya kepada ‘Abd allah bin ‘Amr tentang perbuatan kaum Musyrikin yang paling menyakitkan Rasulullah.” Maka dia berkata: “Aku pernah melihat Uqbah bin Abi Mu‘aith (عقبق بن أبي معيط) – semoga Allah melaknat dia - mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sedang solat, maka Uqbah melilit leher Nabi dengan serban miliknya dan mencekik sekeras-kerasnya. Lalu datanglah Abu Bakar membela Nabi dan melepaskan ikatan tersebut sambil berkata: “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan, Tuhanku ialah Allah, padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu?”[3]
Hadis ini menunjukkan keutamaan khusus kepada Abu Bakarradhiallahu ‘anh dimana tiada sesiapa yang menolong Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika itu kecuali beliau.
3 Abu Bakar Sahabat Yang Paling Dermawan
Sesungguhnya Abu Bakar radhiallahu ‘anh merupakan sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang paling banyak menderma dengan kerelaan hatinya dibandingkan dengan para sahabat selainnya. Beliau juga merupakan orang yang paling banyak membantu baginda dari segala sudut sehinggakan baginda menjadikannya teman setia serta saudara baginda berbanding para sahabat lainnya.
‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta yang ada pada aku. Aku berkata: “Jika satu hari aku akan menang di atas Abu Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau.” Lalu aku datang dengan setengah harta aku, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga kamu ?” Aku menjawab: “Sepertiga.” Lalu datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya. Maka bertanya Rasulullah: “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau ?” Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” Berkata Umar: “Aku memang tidak akan menang di atas Abu Bakar sesuatupun selama-lamanya.”[4]
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata:
إِنَّ مِنْ أَمَنِّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبَا بَكْرٍ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً غَيْرَ رَبِّي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ.
Sesungguhnya manusia yang paling mententeramkan atas diriku di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.[5]
A’isyah radhiallahu ‘anha berkata bahawa Abu Bakar telah menginfakkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebanyak 40,000 dirham.[6] Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menjelaskan bahawa Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
مَا نَفَعَنِي مَالٌ قَطُّ مَا نَفَعَنِي مَالُ أَبِي بَكْرٍ.
Tidak ada harta yang bermanfaat kepada aku sebagaimana harta Abu Bakar telah memberi manfaat kepada aku.[7]
4 Seruan Memasuki Syurga Disebabkan Keutamaan Abu Bakar
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ مِنْ شَيْءٍ مِنْ الأَشْيَاءِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ دُعِيَ مِنْ أَبْوَابِ يَعْنِي الْجَنَّةَ: "يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ". فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصِّيَامِ وَبَابِ الرَّيَّانِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مَا عَلَى هَذَا الَّذِي يُدْعَى مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ وَقَالَ هَلْ يُدْعَى مِنْهَا كُلِّهَا أَحَدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ يَا أَبَا بَكْرٍ.
Barangsiapa yang menginfakkan sesuatu dari dua yang dimilikinya di jalan Allah nescaya akan diseru dari pintu-pintu syurga: “Wahai hamba Allah inilah kebaikan.” Maka barangsiapa termasuk ahli sembahyang maka dia akan dipanggil dari pintu sembahyang. Barangsiapa termasuk golongan yang suka berjihad maka dia akan dipanggil dari pintu jihad, barangsiapa yang suka bersedekah maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah dan barangsiapa yang suka berpuasa maka akan dipanggil dari pintu puasa dan dari pintu al-Rayan.
Maka Abu Bakar bertanya: “Bagaimana jika seseorang harus dipanggil dari setiap pintu, dan apakah mungkin seseorang dipanggil dari setiap pintu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ya, dan aku berharap agar engkau wahai Abu Bakar termasuk salah seorang dari mereka.”[8]
Himpunan amalan yang baik akhirnya akan menghasilkan ganjaran syurga kepada pengamalnya. Di antara para sahabat yang terhimpun pada dirinya segala amalan yang baik ialah Abu Bakar radhiallahu 'anh.Sebagaimana yang diharapkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,Abu Bakar pada Hari Akhirat nanti akan dipanggil oleh semua pintu syurga disebabkan pelbagai amalan yang dilakukan olehnya.
Kepelbagaian amalan yang dilakukan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anhmerupakan satu kebiasaan yang dilakukannya dalam sehari. Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertanya:
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلاَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
“Siapakah di antara kamu yang berpuasa pada pagi hari ini?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Rasulullah bertanya: “Siapakah yang pada hari ini mengiringi jenazah?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Rasulullah bertanya: “Siapakah yang pada hari ini memberi makan kepada seorang miskin?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah di antara kamu pada hari ini yang mengunjungi orang sakit?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akhirnya bersabda: “Tiada terkumpul semua itu pada seseorang kecuali dia akan masuk syurga.”[9]
Demikianlah terhimpunnya pada diri Abu Bakar radhiallahu 'anhamalan-amalan yang besar dalam satu hari. Sifat ini menghampiri akhlak para Nabi sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. [al-Anbiya’ 21:90]
Adapun sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tiada terkumpul semua itu pada seseorang kecuali dia akan masuk syurga”, maka berkata al-Nawawi, berkata al-Qadhi ‘Iyadh:[10]
Maknanya memasuki syurga tanpa hisab mahupun hukuman atas apa-apa kesalahan disebabkan oleh keimanan semata-mata dan dengan adanya limpahan kurnia dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
5 Sambutan Ahli Syurga Untuk Abu Bakar
Di antara kelebihan Abu Bakar radhiallahu 'anh ialah sesungguhnya para ahli syurga akan menyambutnya ketika beliau memasuki syurga kelak. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يَدْخُلُ الْجَنَّة رَجُلٌ فَلاَ يَبْقَى أَهْلُ دَارٍ وَلاَ أَهْلُ غُرْفَةٍ إِلاَّ قَالُوا: مَرْحَباً مَرْحَباً إلَيْنَا إلَيْنَا. فقال أبو بكر: يَا رَسُولَ الله مَا تَوَى عَلَى هَذَا الرَّجُلِ فِي ذَلِكَ الْيَومِ. قال: أَجَلْ وَأَنْتَ هُو يَا أَبَا بَكْرٍ.
Akan memasuki syurga seorang lelaki, maka tiada orang yang di rumah mahupun di bilik (di dalam syurga tersebut) melainkan mereka berkata: “Selamat datang, selamat datang.” Maka berkata Abu Bakar: “Wahai Rasulullah, (sungguh bahagia) lelaki tersebut sehingga tidak akan hilang serta musnah pada hari tersebut.” Rasulullah meneruskan: “Sudah tentu dan lelaki tersebut adalah engkau wahai Abu Bakar.”[11]
6 Abu Bakar Terpelihara Daripada Memasuki Neraka
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menggelar Abu Bakar sebagaial-Shiddiq (yang benar) dan Allah memelihara beliau daripada api neraka. Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berada di atas bukit Uhud bersama Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, lalu baginda bersabda:
اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ.
Tetaplah kamu wahai Uhud kerana di atasmu ada seorang Nabi, seorang yang jujur dan dua orang lelaki yang mati syahid.Sesungguhnya yang berada bersama baginda di atas bukit Uhud ketika itu ialah Abu Bakar, ‘Umar dan serta ‘Utsman, ketiga-tiga mereka adalah Khulafa al-Rasyidin. Hadis ini terdapat di dalam kitab sahih.[12]
Hakim bin Sa‘ad berkata, saya mendengar ‘Ali radhiallahu 'anhberkata: “Allah menurunkan nama Abu Bakar dengan sebutan al-Shiddiq dari langit.”[13] Gelaran al-Shiddiq memiliki kedudukan yang tinggi di dalam Islam dan dikatakan, ia memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada al-Wilayah.[14] Keutamaan dan kemuliaan tersebut sahaja sudah cukup buat Abu Bakar radhiallahu ‘anh. Ibn Zubair radhiallahu 'anh berkata, nama Abu Bakar adalah ‘Abd Allah bin ‘Utsman. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
أَنْتَ عَتِيقُ اللهِ مِنَ النَّارِ.
Engkau dibebaskan oleh Allah daripada neraka.[15]
7 Abu Bakar Adalah Sebaik-Baik Sahabat Dan Pemimpin Sahabat Yang Lain
Para sahabat radhiallahu 'anhum berpandangan bahawa Abu Bakarradhiallahu ‘anh adalah sebaik-baik sahabat, pemimpin mereka serta orang yang paling mengasihi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Pandangan ini turut diberi oleh ‘Ali serta ‘Umar radhiallahu ‘anhuma.
Muhammad bin al-Hanafiyah radhiallahu ‘anh berkata:
قُلْتُ لأَبِي أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ بَعْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ. قُلْتُ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ ثُمَّ عُمَرُ. وَخَشِيتُ أَنْ يَقُولَ عُثْمَانُ قُلْتُ ثُمَّ أَنْتَ؟ قَالَ مَا أَنَا إِلاَّ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ.
Aku bertanya kepada ayahku – yakni ‘Ali bin Abi Thalib – siapa manusia yang paling baik setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Beliau menjawab: “Abu Bakar.” Kemudian aku bertanya lagi, siapa setelahnya? Beliau menjawab: “‘Umar.” Aku takut jika dia menyebut ‘Utsman sesudahnya, maka kukatakan: “Setelah itu pasti anda.” Namun beliau menjawab: “Aku hanyalah salah seorang dari kaum Muslimin.”[16]
‘Umar radhiallahu ‘anh pernah berkata: “Abu Bakar adalah orang yang paling dikasihi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan di kalangan kami beliau adalah orang yang terbaik dan sayyid (tuan) kami.”[17]
Maka perhatikanlah wahai para pembaca sekalian betapa insafnya para sahabat serta rendah diri mereka kepada penyaksian terhadap kebaikan serta kemuliaan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Sehinggakan ‘Ali radhiallahu ‘anh yang dikenali dengan pelbagai keutamaan dan kemuliaan dengan rendah hati telah berkata kepada anaknya: “Aku ini hanyalah salah seorang dari kaum Muslimin.” Selain itu ‘Ali juga turut memuji Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu 'anhuma.
Perbandingkanlah dengan pendirian golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang berkata: “Sesungguhnya dia (Ali) musuh kepada mereka berdua serta berlepas diri daripada mereka berdua.” Ini adalah ucapan yang dusta lagi palsu.
Setelah pujian ‘Ali radhiallahu ‘anh terhadap Abu Bakar al-Shiddiqradhiallahu ‘anh terdapat pula pujian ‘Umar radhiallahu ‘anh yang memberikan penyaksian bahawa beliau (Abu Bakar) merupakan orang yang terbaik di kalangan mereka dan tuan di kalangan mereka – yakni para sahabat.
‘Amr bin al-Ash radhiallahu ‘anh berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَهُ عَلَى جَيْشِ ذَاتِ السَّلاَسِلِ فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ عَائِشَةُ. قُلْتُ مِنْ الرِّجَالِ؟ قَالَ أَبُوهَا. قُلْتُ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ عُمَرُ. فَعَدَّ رِجَالاً.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutusnya untuk memimpin pasukan Dzatul Salasil. Aku (‘Amr) menemui beliau dan bertanya: “Siapakah orang yang paling engkau cintai?” Baginda menjawab: “A’isyah.” Aku bertanya lagi: “Siapakah di kalangan kaum lelaki?” Baginda menjawab: “Ayahnya (Abu Bakar).” Aku bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “‘Umar.” Kemudian baginda menyebut nama beberapa lelaki lain.[18]
Kenyataan di atas tidak menafikan ‘Ali dan Fathimah radhiallahu 'anhuma sebagai dua orang yang turut dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Hanya sahaja kecintaan Rasulullah terhadap ‘Ali dan Fathimah dilihat dari beberapa sudut yang lain berbanding Abu Bakar dan ‘Umar sebagaimana yang akan diterangkan seterusnya di dalam babKeutamaan ‘Ali bin Thalib.
8 Pujian Allah Ke Atas Abu Bakar Di Dalam al-Qur’an
Allah Subhanahu wa Ta‘ala turut memuji Abu Bakar radhiallahu 'anh di dalam al-Qur’an atas sifat kedermawannya. Firman Allah:
وَلا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah. Sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. [al-Nur 24:22]
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerusi ayat tersebut menyuruh Abu Bakar radhiallahu ‘anh supaya meneruskan kebaikan yang dilakukannya. Ini berlaku setelah beliau bercadang untuk menghentikan bantuannya kepada Misthah kerana terlibat menuduh A’isyah radhiallahu 'anha melakukan perbuatan sumbang. Ayat di atas menunjukkan kelebihan serta kedudukan tinggi yang dimiliki oleh Abu Bakar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala tanpa wujud apa-apa keraguan sama sekali.
9 Penghijrahan Abu Bakar Bersama Rasulullah
Di antara kelebihan yang menunjukkan ketinggian serta keagungan Abu Bakar radhiallahu ‘anh ialah peranan beliau berbanding lain-lain sahabat untuk menemani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam peristiwa hijrah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memilih beliau untuk menemani baginda sebagaimana firman-Nya:
إِلا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia (Muhammad) salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia (Muhammad) berkata kepada sahabatnya (Abu Bakar):
“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir ke bawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:40]
Ayat di atas merupakan bukti paling besar yang mengumpulkan kelebihan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh. Kami akan menyimpulkan apa yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama’ tafsir, misalnya Fakhr al-Razi serta selainnya tentang pengertian ayat tersebut:[19]
Pertama:
Hijrah merupakan satu peristiwa yang amat besar dalam sejarah Islam. Ia adalah satu peristiwa yang paling merbahaya selama Rasulullah diutus menjadi seorang Rasul dan paling penting dalam menjamin kejayaan dakwah Islam. Dalam semua kebesaran, bahaya dan kepentingan ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mempercayai seorangpun untuk menemaninya selain Abu Bakar radhiallahu ‘anh.
Kedua:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan memilih seorang teman untuk berhijrah melainkan apa yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Yang dipilih oleh Allah ialah Abu Bakar radhiallahu 'anh. Ini merupakan kelebihan Abu Bakar yang mengatasi para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain, radhiallahu 'anhum.
Ketiga:
Abu Bakar radhiallahu 'anh bukan sahaja menemani Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam tetapi juga mengeluarkan hartanya untuk disedekahkan demi menjamin kejayaan hijrah tersebut. Rasulullah redha akan apa yang dikorbankan oleh Abu Bakar sehingga baginda pernah bersabda:
إِنَّ مِنْ أَمَنِّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبَا بَكْرٍ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً غَيْرَ رَبِّي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ.
Sesungguhnya manusia yang paling mententeramkan atas diriku di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.[20]
Keempat:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyebut perihal Abu Bakar yang menemani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam al-Qur’an. Sesungguhnya al-Qur’an al-Adzim merupakan Kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sempurna sifatnya. Di dalamnya terkandung pujian dan celaan. Tidak akan ditemui pujian kepada seseorang (selain rasulullah) melainkan terhadap Abu Bakar sebagaimana tidak akan ditemui celaan kepada seseorang melainkan terhadap Abu Lahab dan isterinya. Pengkhususan pujian terhadap Abu Bakar al-Shiddiq itu merupakan pengkhususan secara langsung daripada Allah, Tuhan sekalian alam dan ini menunjukkan keutamaan ke atas beliau yang tidak diperolehi seseorangpun selain darinya.
Kelima:
Firman Allah: “Dia salah seorang dari dua (sahabat)…”merupakan perkataan daripada Allah, Tuhan sekalian alam yang ditujukan kepada sekalian kaum Muslimin bagi menunjukkan dengan jelas keutamaan orang yang berada di dalam gua tersebut. Menerusi ayat ini jelas bahawa Abu Bakar al Siddiq adalah orang kedua tertinggi keutamaannya selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Lebih dari itu, umat Islam bersepakat bahawa sahabat yang utama ialah mereka yang terawal berhijrah. Maka apakah tandingannya kepada Abu Bakar yang bukan sahaja terawal berhijrah tetapi merupakan teman Rasulullah dalam berhijrah?
Keenam:
Ayat di atas juga menunjukkan bahawa Abu Bakar radhiallahu 'anhadalah sahabat yang kedua terpenting dalam urusan dakwah dan pentadbiran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Perkara ini terbukti melalui perstiwa-peristiwa yang lain juga. Sebagai contoh, Rasulullah tidak akan pergi berperang melainkan Abu Bakar ada bersama baginda. Apabila Rasulullah uzur sebelum kewafatannya, Abu Bakar dilantik menjadi imam solat. Malah apabila Abu Bakar wafat, beliau dikebumikan di sebelah Rasulullah. Maka hubungan “salah seorang daripada dua” tidak hanya berlaku di dalam peristiwa hijrah tetapi dalam pelbagai liku kehidupan sehinggalah kepada alam seterusnya.
Ketujuh:
Firman Allah melalui lisan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita"sekali lagi menunjukkan keutamaan Abu Bakar radhiallahu 'anh. Kebersamaan Allah kepada kedua-dua Rasulullah dan Abu Bakar, tidak kepada Rasulullah sahaja, menunjukkan bahawa Abu Bakar adalah seorang yang diiktiraf ketaqwaan dan kebaikannya. Ini kerana:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [al-Nahl 16:128]
10 Allah Memilih Abu Bakar sebagai Khalifah Menggantikan Nabi-Nya
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memilih Abu Bakar radhiallahu 'anhsebagai khalifah yang mengganti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.Sebelum kewafatan Rasulullah, baginda telah mengisyaratkan bahawa individu yang akan menggantikan baginda menjaga urusan umatnya ialah Abu Bakar. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan:
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَرَضِهِ ادْعِي لِي أَبَا بَكْرٍ أَبَاكِ وَأَخَاكِ حَتَّى أَكْتُبَ كِتَابًا فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَتَمَنَّى مُتَمَنٍّ وَيَقُولُ قَائِلٌ: أَنَا أَوْلَى. وَيَأْبَى اللَّهُ وَالْمُؤْمِنُونَ إِلاَّ أَبَا بَكْرٍ.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepada aku ketika menghadapi penyakitnya: “Panggillah kepada aku Abu Bakar – ayah kamu dan saudara lelaki kamu (yakni ‘Ali) supaya aku dapat tuliskan sesuatu. Sesungguhnya aku takut seseorang yang lain ingin mengambil kedudukannya dan berkata: ‘Saya lebih berhak ke atasnya’, sedangkan Allah dan orang-orang yang beriman tidak menerimanya kecuali Abu Bakar.[21]
al-Nawawi rahimahullah mengulas:[22]
Hadis ini merupakan bukti jelas tentang keutamaan Abu Bakarradhiallahu ‘anh. Hadis ini juga mengkhabarkan ramalan Rasulullah tentang apa yang akan berlaku selepas kewafatan baginda dimana orang-orang Islam tidak akan menerima sesiapa menjadi khalifah selain Abu Bakar.
Jubair bin Mut‘im (جبير بن مطعم) radhiallahu ‘anh berkata:
أَنَّ امْرَأَةً سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَأَمَرَهَا أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ. فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ جِئْتُ فَلَمْ أَجِدْكَ؟ (قَالَ أَبِي: كَأَنَّهَا تَعْنِي الْمَوْتَ) قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدِينِي فَأْتِي أَبَا بَكْرٍ.
Seorang wanita (datang) bertanya sesuatu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menyuruh wanita tersebut merujuk kembali kepada baginda (pada waktu yang lain). Wanita itu bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana jika aku datang dan engkau tidak ada – yakni[23] telah wafat?” Rasulullah menjawab: Jika tidak menemuiku maka pergilah menemui Abu Bakar.[24]
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah mengulas:[25]
Berkata sebahagian ilmuan, hadis ini merupakan dalil yang sahih bahawa Abu Bakar adalah khalifah selepas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi dengan jalan isyarat bukannya dengan menunjuk …… berkata al-Kirmani rahimahullah: “Hadis tersebut diterjemahkan sebagai menunjukkan kekhalifahan Abu Bakar.”
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ يَبْقَيَنَّ فِي الْمَسْجِدِ بَابٌ إِلاَّ سُدَّ إِلاَّ بَابَ أَبِي بَكْرٍ.
Jangan dibiarkan dalam masjid (rumah-rumah dengan) pintu yang terbuka kecuali ianya ditutup melainkan pintu rumah AbuBakar.[26]
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari, jld. 7, ms. 15 telah mengambil pandangan al-Khaththabi dan Ibn Baththal serta selainnya bahawa hadis tersebut bukan sahaja menunjukkan kekhususan Abu Bakar tetapi juga sebagai satu isyarat yang kuat bagi kekhalifahannya.
A’isyah radhiallahu ‘anha telah menyebut sebuah hadis yang panjang dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ.
Perintahkanlah Abu Bakar agar mensolatkan (menjadi imam) bagi orang ramai.[27]
Hadis di atas memberi petunjuk yang sangat jelas bahawa Abu Bakarradhiallahu 'anh adalah sahabat yang paling utama secara mutlak dan dia adalah orang yang paling berhak memangku jawatan khalifah setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam wafat. Ini kerana beliaulah yang disuruh memimpin manusia menjadi imam solat menggantikan tempat Rasulullah.
Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallammenghadapi sakit yang membawa kepada kewafatannya. Apabila baginda tidak mampu untuk memimpin solat (menjadi imam solat berjamaah), baginda telah mengarahkan A’isyah memanggil Abu Bakar menggantikan tempatnya menjadi imam. Maka Abu Bakar menjadi imam beberapa hari semenjak itu.
Satu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar dengan dipapah oleh al-‘Abbas serta ‘Ali radhiallahu anhuma maka baginda duduk di samping Abu Bakar yang ketika itu sedang mengimami solat berjemaah. Setelah menunaikan solat, Rasulullah masuk ke dalam rumah baginda dan tidak keluar lagi selepas itu sehingga kewafatan baginda. Satu ketika sedang para sahabat berjemaah dengan diimami oleh Abu Bakar, Rasulullah menyingkap tirai penutup rumah baginda sambil melihat kepada para sahabat yang sedang solat berimamkan Abu Bakar. Wajah baginda putih laksana kertas dalam keadaan tersenyum lebar, melihat apa yang berlaku kemudian baginda menutup tirai tersebut dan itulah kali terakhir para sahabat melihat baginda kerana pada malam hari itulah baginda wafat. Kisah ini terdapat di dalam kitab-kitab Sahih dan ia menjadi petunjuk dan isyarat kepada kekhalifahan Abu Bakar.
11 Abu Bakar Sebagai Khalifah Setelah Kewafatan Rasulullah
Perkara yang besar dan agung bagi agama Islam dan umatnya adalah proses perlantikan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh sebagai khalifah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memberikan petunjuk ke atas pemilihan beliau menerusi ilham-Nya ke atas Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Sesungguhnya bagi Allah apabila Dia menghendaki sesuatu Dia akan mewujudkan sebab-sebab bagi perkara itu.
Sejurus selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamgolongan Muhajirin berkumpul di masjid Nabawi manakala golongan Ansar berkumpul di dewan (Saqifah) Bani Sa‘idah. Apabila golongan Muhajirin mendengar bahawa golongan Ansar ingin membai‘ah Sa‘ad bin Ubadahradhiallahu ‘anh sebagai khalifah maka mereka pergi ke dewan Bani Sa‘idahuntuk melihat apa yang berlaku. Apabila mereka sampai di sana, bangunlah salah seorang daripada golongan Ansar dengan menyampaikan ucapannya:
“Amma Ba’du, kami adalah golongan Ansar, para penolong Allah dan pasukan Islam. Kamu sekalian wahai golongan Muhajirin adalah bahagian dari kami.” Abu Bakar bangun lalu berucap: “Adapun yang engkau sebutkan tentang kebaikan-kebaikan yang ada pada kamu sekaliannya sememangnya adalah benar dan kamu sekalianlah orangnya. Namun orang-orang Arab hanya mengenal kabilah ini iaitu Quraisyh. Secara nasab merekalah yang paling mulia di antara bangsa-bangsa Arab. Dengan itu kamilah yang menjadi ketua sedangkan kamu adalah menteri-menteri.”
al-Hubab bin al-Munzir berkata: “Demi Allah tidak, daripada kami seorang pemimpin dan daripada kamu seorang pemimpin.” Abu Bakar menjawab: “Tidak, akan tetapi daripada kami seorang pemimpin manakala daripada kalian menteri-menteri.”
Maka mulailah orang-orang mengangkat suara dan timbullah kekecohan. Bagi mengelakkan terjadinya perselisihan yang berpanjangan maka Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya aku redha jika urusan pemerintahan ini diserahkan kepada salah seorang dari dua lelaki ini, terserahlah kamu untuk memilih yang mana satu…” lalu Abu Bakar menarik tangan ‘Umar serta Abu ‘Ubaidah Bin al-Jarrah.
‘Umar berkata: “Bahkan kami akan membai‘ah engkau (Abu Bakar). Engkau adalah pemimpin kami, sebaik-baik orang di kalangan kami serta yang paling kasih kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di kalangan kami.” Lalu ‘Umar berkata kepada Abu Bakar: “Berikan tanganmu wahai Abu Bakar…” maka dia memberikan tangannya dan ‘Umar segera membai‘ahnya diikuti oleh golongan Muhajirin dan Ansar.[28]
Maka tamatlah bai‘ah yang pertama di dewan Bani Sa‘idah kemudian diikuti dengan bai‘ah kali kedua yang dilakukan oleh semua sahabat di Masjid Nabawi.[29]
‘Ali radhiallahu ‘anh agak terlambat memberikan bai‘ahnya, iaitu setelah enam bulan kemudian, ketika wafatnya isteri beliau Fathimahradhiallahu ‘anha.[30]
Anas bin Malik radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa ‘Umar telah berkhutbah:
وَإِنَّ أَبَا بَكْرٍ صَاحِبُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَانِيَ اثْنَيْنِ فَإِنَّهُ أَوْلَى الْمُسْلِمِينَ بِأُمُورِكُمْ فَقُومُوا فَبَايِعُوهُ.
Dan sesungguhnya Abu Bakar adalah sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika mereka berdua berada di dalam gua. Beliaulah yang paling layak menjadi pemimpin mengurus segala urusan umat Islam, maka berdirilah dan bai‘ahlah kepada dia.
Anas melanjutkan: “Sebelum itu sebahagian daripada kaum Muslimin telah membai‘ahnya di dewan Bani Sa‘idah – namun bai‘ah secara umum baru terlaksana di dalam masjid di atas mimbar.[31]
Mengenai tindakan ‘Ali yang lambat membai‘ah Abu Bakar, sebabnya boleh diperhatikan dalam hadis berikut:
عَنْ عَائِشَةَ, أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْسَلَتْ إِلَى أَبِي بَكْرٍ تَسْأَلُهُ مِيرَاثَهَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْهِ بِالْمَدِينَةِ وَفَدَكٍ وَمَا بَقِيَ مِنْ خُمُسِ خَيْبَرَ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَ نُورَثُ مَا تَرَكْنَا صَدَقَةٌ. إِنَّمَا يَأْكُلُ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا الْمَالِ وَإِنِّي وَاللَّهِ لاَ أُغَيِّرُ شَيْئًا مِنْ صَدَقَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ حَالِهَا الَّتِي كَانَ عَلَيْهَا فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلأَعْمَلَنَّ فِيهَا بِمَا عَمِلَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَبَى أَبُو بَكْرٍ أَنْ يَدْفَعَ إِلَى فَاطِمَةَ مِنْهَا شَيْئًا. فَوَجَدَتْ فَاطِمَةُ عَلَى أَبِي بَكْرٍ فِي ذَلِكَ فَهَجَرَتْهُ فَلَمْ تُكَلِّمْهُ حَتَّى تُوُفِّيَتْ. وَعَاشَتْ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ.
فَلَمَّا تُوُفِّيَتْ دَفَنَهَا زَوْجُهَا عَلِيٌّ لَيْلاً وَلَمْ يُؤْذِنْ بِهَا أَبَا بَكْرٍ وَصَلَّى عَلَيْهَا. وَكَانَ لِعَلِيٍّ مِنْ النَّاسِ وَجْهٌ حَيَاةَ فَاطِمَةَ فَلَمَّا تُوُفِّيَتْ اسْتَنْكَرَ عَلِيٌّ وُجُوهَ النَّاسِ. فَالْتَمَسَ مُصَالَحَةَ أَبِي بَكْرٍ وَمُبَايَعَتَهُ وَلَمْ يَكُنْ يُبَايِعُ تِلْكَ الأَشْهُرَ. فَأَرْسَلَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ أَنْ ائْتِنَا وَلاَ يَأْتِنَا أَحَدٌ مَعَكَ كَرَاهِيَةً لِمَحْضَرِ عُمَرَ فَقَالَ عُمَرُ: لاَ وَاللَّهِ لاَ تَدْخُلُ عَلَيْهِمْ وَحْدَكَ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَمَا عَسَيْتَهُمْ أَنْ يَفْعَلُوا بِي وَاللَّهِ لآتِيَنَّهُمْ.
فَدَخَلَ عَلَيْهِمْ أَبُو بَكْرٍ فَتَشَهَّدَ عَلِيٌّ فَقَالَ: إِنَّا قَدْ عَرَفْنَا فَضْلَكَ وَمَا أَعْطَاكَ اللَّهُ وَلَمْ نَنْفَسْ عَلَيْكَ خَيْرًا سَاقَهُ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَكِنَّكَ اسْتَبْدَدْتَ عَلَيْنَا بِالأَمْرِ وَكُنَّا نَرَى لِقَرَابَتِنَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَصِيبًا... حَتَّى فَاضَتْ عَيْنَا أَبِي بَكْرٍ.
فَلَمَّا تَكَلَّمَ أَبُو بَكْرٍ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَرَابَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ إِلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِنْ قَرَابَتِي وَأَمَّا الَّذِي شَجَرَ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ مِنْ هَذِهِ الأَمْوَالِ فَلَمْ آلُ فِيهَا عَنْ الْخَيْرِ وَلَمْ أَتْرُكْ أَمْرًا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُهُ فِيهَا إِلاَّ صَنَعْتُهُ.
فَقَالَ عَلِيٌّ لأَبِي بَكْرٍ مَوْعِدُكَ الْعَشِيَّةَ لِلْبَيْعَةِ. فَلَمَّا صَلَّى أَبُو بَكْرٍ الظُّهْرَ رَقِيَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَتَشَهَّدَ وَذَكَرَ شَأْنَ عَلِيٍّ وَتَخَلُّفَهُ عَنْ الْبَيْعَةِ وَعُذْرَهُ بِالَّذِي اعْتَذَرَ إِلَيْهِ. ثُمَّ اسْتَغْفَرَ وَتَشَهَّدَ عَلِيٌّ فَعَظَّمَ حَقَّ أَبِي بَكْرٍ وَحَدَّثَ أَنَّهُ لَمْ يَحْمِلْهُ عَلَى الَّذِي صَنَعَ نَفَاسَةً عَلَى أَبِي بَكْرٍ وَلاَ إِنْكَارًا لِلَّذِي فَضَّلَهُ اللَّهُ بِهِ وَلَكِنَّا نَرَى لَنَا فِي هَذَا الأَمْرِ نَصِيبًا فَاسْتَبَدَّ عَلَيْنَا فَوَجَدْنَا فِي أَنْفُسِنَا. فَسُرَّ بِذَلِكَ الْمُسْلِمُونَ وَقَالُوا أَصَبْتَ وَكَانَ الْمُسْلِمُونَ إِلَى عَلِيٍّ قَرِيبًا حِينَ رَاجَعَ الأَمْرَ الْمَعْرُوفَ.
Daripada A’isyah, bahawa Fathimah binti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengutus seseorang kepada Abu Bakar untuk bertanya kepadanya tentang harta warisan beliau (Fathimah) daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, yakni apa yang dikurniakan oleh Allah daripada harta rampasan tanpa peperangan di Madinah, Fadak dan baki seperlima daripada Perang Khaibar.
Maka Abu Bakar menjawab, sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Kami tidak mewariskan apa-apa, apa yang kami tinggalkan ialah sedekah.”
Abu Bakar melanjutkan: “Ahli keluarga Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam boleh memakan daripada harta tersebut. Sesungguhnya aku – Demi Allah – tidak akan menukar apa-apa daripada urusan sedekah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang berlaku pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Aku akan memperlakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Maka Abu Bakar enggan memberi apa-apa kepada Fathimah. Fathimah menjadi marah ke atas Abu Bakar berkenaan hal ini dan meninggalkan beliau serta tidak berkata-kata kepadanya sehinggalah kepada kewafatannya. Fathimah hidup selama enam bulan selepas kewafatan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Tatkala Fathimah radhiallahu 'anha meninggal dunia, ‘Ali mengebumikannya pada malam hari tanpa memberitahu berita ini kepada Abu Bakar dan mensolatkan (Fathimah tanpa Abu Bakar). Ketika Fathimah masih hidup ‘Ali masih disegani oleh orang ramai kerana kedudukan Fathimah. Namun apabila Fathimah wafat, ‘Ali melihat ramai orang mula mengingkarinya. Oleh itu ‘Ali mencari jalan untuk berdamai dengan Abu Bakar dan membai‘ahnya. ‘Ali tidak membai‘ah Abu Bakar sejak beberapa bulan (sejak Abu Bakar dilantik menjadi khalifah).
‘Ali mengutus seseorang kepada Abu Bakar agar datang menemuinya seorang diri kerana dia (‘Ali) tidak suka kepada kehadiran ‘Umar. ‘Umar berkata: “Tidak! Demi Allah! Jangan kamu pergi kepada mereka berseorangan.” Maka Abu Bakar menjawab: “Apakah yang akan mereka lakukan kepada aku? Demi Allah! Aku tetap akan pergi kepada mereka.”
Maka Abu Bakar datang menemui ‘Ali. Setelah mengucapkan tasyahud ‘Ali berkata: “Sesungguhnya kami mengetahui keutamaanmu dan apa yang Allah anugerahkan kepadamu. Dan sebenarnya kami tidak pernah merasa iri hati dengan kebaikan yang Allah limpahkan kepadamu. Namun engkau terus mengambil alih ke atas kami urusan (harta peninggalan Rasulullah) padahal kami memiliki hubungan kekerabatan dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam….” ‘Ali masih terus berkata-kata hingga Abu Bakar menangis dan berkata:
“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya! Sesungguhnya kerabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih aku cintai dan aku utamakan daripada kerabatku sendiri. Adapun perselisihan di antara aku dan kalian (Ahli Bait Rasulullah) berkenaan urusan harta maka tidaklah ahli keluarga (Rasulullah) mendapat bahagian daripada kebaikannya. Aku tidak akan meninggalkan satu urusan yang aku lihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakannya melainkan aku laksanakannya juga.”
(Setelah berpuas hati mendengar janji Abu Bakar) maka ‘Ali berkata kepada Abu Bakar: “Aku berjanji selepas tengah hari ini akan membai‘ahmu.” Setelah melaksanakan solat Zohor, Abu Bakar naik ke atas mimbar. Beliau bertasyahud dan memuji ‘Ali, kemudian menjelaskan kepada orang ramai sebab timbulnya perselisihan tentang pembai‘ahan terhadap beliau.
Setelah itu ‘Ali berucap, dimulai dengan permohonan ampun kepada Allah dan tasyahud, kemudian menyebut ketinggian hak Abu Bakar. Beliau menyambung bahawa tidaklah menjadi agendanya untuk menyaingi Abu Bakar mahupun mengingkari segala keutamaan yang Allah berikan kepadanya. Akan tetapi, lanjut ‘Ali: “Oleh kerana kami (Ahl al-Bait Rasulullah) sebelum ini berpendapat kami ada bahagian dalam urusan harta warisan, namun setelah dijelaskan ke atas kami, (ternyata kami tersilap) lalu kami menyesal akan sikap kami.”
(Mendengar yang sedemikian) umat Islam menjadi gembira dan berkata: “Anda telah melakukan perkara yang betul.” Setelah itu mereka menjadi rapat semula kepada ‘Ali sebagaimana ‘Ali juga kembali kepada apa yang dilakukan oleh umat Islam semuanya (iaitu rapat dan berbaik dengan Abu Bakar).[32]
Perbandingkanlah hadis di atas dengan apa yang diperkatakan olehSyi‘ah al-Rafidhah bahawa kononnya khalifah itu milik ‘Ali menerusi wasiat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini adalah dakwaan yang batil serta tidak ada asal usulnya sebagaimana menurut ijma’ para sahabat dan sekalian ilmuan.[33]
Sesungguhnya para sahabat telah bersepakat bahawa pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah telah membawa manfaat yang sangat besar ke atas Islam serta kaum Muslimin. Pada zaman kepimpinan Abu Bakar, umat Islam telah mencapai pelbagai kejayaan, antaranya:
- Menghantar ekspedisi ketenteraan di bawah pimpinan Usamah bin Za’id. Ekspedisi ini pada asalnya dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan tetapi mereka kembali ke Kota Madinah apabila mendengar Rasulullah mengalami kesakitan yang amat berat.[34] Maka pada zaman kepimpinan Abu Bakar, beliau mengutus semula ekspedisi ini.
- Menyatupadukan para sahabat dalam menghadapi sebahagian golongan yang murtad sebaik sahaja Rasulullah wafat.
- Pengumpulan al-Qur’an daripada apa yang tersimpan secara berpisah-pisah dalam dada para sahabat kepada satu catitan yang terhimpun rapi dan kemas.
- Meluaskan pembukaan Islam ke wilayah-wilayah baru.[35]
12 Kewafatan Abu Bakar
Pada awal Jamadil Akhir tahun 13 hijrah Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh jatuh sakit. Ketika sakit beliau menulis wasiat agar tampuk kepimpinan selepasnya diserahkan kepada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Yang menulis wasiat tersebut adalah ‘Utsman radhiallahu ‘anh. Kemudian wasiat tersebut dibaca kepada segenap kaum Muslimin dan mereka menerimanya dengan patuh.
Abu Bakar radhiallahu 'anh wafat ketika berumur 63 tahun setelah menjadi khalifah selama 2 tahun 3 bulan. Solat jenazah beliau diimami oleh ‘Umar al-Khaththab dan dikebumikan selepas itu di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jenazah beliau diturunkan ke dalam kubur oleh ‘Umar al-Khaththab, Talhah, ‘Utsman serta ‘Abd al-Rahman bin Abu Bakar radhiallahu ‘anhum.
Anak-anak Abu Bakar ialah ‘Abd Allah, ‘Abd al-Rahman, Muhammad, A’isyah, Asma’ dan Umm Kaltsum radhiallahu ‘anhum.
[1] Catitan penyunting:
Maksudnya dari kalangan orang lelaki yang merdeka. al-Nawawirahimahullah telah membahagikan orang yang terawal masuk Islam sebagaimana berikut:
- Dari golongan lelaki dewasa yang merdeka adalah Abu Bakar
- Dari golongan kanak-kanak adalah 'Ali bin Abi Thalib
- Dari golongan wanita adalah Khadijah binti Khuwailid
- Dari golongan mawali (orang yang menjadi pembantu) adalah Zaid bin Haritsah
- Dari golongan hamba sahaya adalah Bilal b. Rabah. [al-Nawawi - Tadrib al-Rawi, jld. 2, hlm. 691.]
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3661 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3678 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…). Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 17506.
[4] Hasan: Hadis dikeluarkan al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirimizi – hadis no: 3675 (Kitab al-Manaqib, Bab manaqib Abu Bakar…). Juga dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 1678 dan al-Darimi di dalam Sunannya – hadis no: 1660.
[5] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3654 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu kecuali pintu Abu Bakar”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2382.
[6] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6859 dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth: Sanadnya sahih atas syarat Muslim.
[7] Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5808.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3666 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1027.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1028(Kitab al-Zakat, Bab orang yang menghimpunkan sedekah serta amal-amal yang baik).
[10] Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms.156.
[11] -----: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6867, al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 11, ms. 80, hadis no: 11166 dan al-Mu’jam al-Ausath – hadis no: 481, semuanya dengan jalan yang berpangkal kepada Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar al-Salami. Berkata Syu‘aib al-Arna’uth di dalam semakannya ke atas kitab Shahih Ibn Hibban, jld. 15, ms. 283, notakaki no: 2 bahawa para perawinya adalah sahih kecuali Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar al-Salami, tidak ditemui biografinya dalam kitab-kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Hanya al-Haitsami yang menthiqahkan beliau sebagaimana di dalamMajma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14331 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar).
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3675 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”). Juga dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 4032 dan al-Tirmizi di dalamSunannya – hadis no 3630.
[13] Disebut oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14295 (Kitab al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar) dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan para perawinya adalah thiqah.
[14] Catitan penyunting:
Gelaran al-Wilayah ialah apa yang disandarkan oleh golongan Syi‘ah ke atas ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh.
[15] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6864 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Juga dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4404 dan al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 1, ms. 53, hadis no: 7.
[16] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3671 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”). Juga dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Fadha’il al-Shahabah – hadis no: 136 dan Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 4629.
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3670 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2384(Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3662.
[19] Catitan penyunting:
Pengarang telah mengemukakan sebelas kesimpulan, namun kami hanya mencukupkannya kepada tujuh kerana sebahagian daripada kesimpulan tersebut saling berulang di atas satu sama lain.
[20] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3654 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu kecuali pintu Abu Bakar”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2382.
[21] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2387(Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari dengan lafaz yang sedikit berbeza, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 5666.
[22] Syarh Shahih Muslim, jld. 15, ms. 155.
[23] Catitan penyunting:
Ini adalah penjelasan Jubair bin Mut‘im sebagaimana jelas anaknya Muhammad bin Jubair bin Mut‘im.
[24] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2386(Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3659.
[25] Fath al-Bari, jld. 13, ms. 333.
[26] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3654 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu kecuali pintu Abu Bakar”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2382.
Catitan penyunting:
Syi‘ah al-Rafidhah menolak hadis ini kerana bertentangan dengan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh ditutup semua pintu melainkan pintu ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Hadis tersebut memiliki beberapa jalan periwayatan yang saling menguat antara satu sama lain. Akan tetapi ia tidaklah bertentangan dengan hadis riwayat al-Bukhari di atas. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh ditutup semua pintu rumah-rumah yang berada di dalam masjid kecuali pintu Abu Bakar demi menunjukkan keutamaan beliau dan mengisyaratkan kekhalifahan beliau. Ini kerana masjid adalah “pejabat” khalifah dan pintu yang terbuka ke arah masjid memudahkan urusan khalifah di “pejabat”nya itu.
Pada waktu yang sama, Rasulullah membenarkan pintu rumah ‘Ali dibiarkan terbuka demi membolehkan beliau keluar-masuk rumahnya. Ini kerana rumah ‘Ali hanya memiliki satu pintu sahaja berbanding rumah para sahabat yang lain. Jika pintu yang menghadap ke masjid tertutup, para sahabat yang lain tetap boleh keluar-masuk rumah mereka melalui pintu yang lain. Berbeza dengan ‘Ali dimana jika pintu rumahnya ditutup, beliau akan terkurung di dalam. Oleh kerana itulah Rasulullah membenarkan pintu ‘Ali terbuka. Bukan sekadar itu sahaja, oleh kerana satu-satunya pintu bagi rumah ‘Ali adalah di dalam masjid, Rasulullah juga membenarkan ‘Ali melalui masjid di dalam keadaan junub. Para sahabat lain tidak diberi kemudahan ini.
Tindakan Rasulullah membenarkan ‘Ali melalui masjid dalam keadaan junub dimanfaatkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah kononnya sebagai keutamaan ‘Ali yang tidak dimiliki oleh para sahabat yang lain. Padahal ia bukanlah keutamaan tetapi kelonggaran hukum disebabkan rumah beliau yang hanya memiliki sebuah pintu.
Lebih lanjut rujuk keterangan al-Qadhi al-Ismaili, Abu Ja’far al-Thahawi dan Abu Bakar al-Kalabazi sebagaimana nukil Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7, ms. 15.
[27] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 664 daripada ‘Aisyah dan no: 678 daripada Abu Musa, kedua-duanya dalam Kitab al-Azan.
[28] Ringkasan daripada beberapa hadis. Sila rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 3670 (Kitab al-Manaqib) daripada A’isyah dan hadis no: 6830 (Kitab al-Hudud) daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, daripada ‘Umar.
[29] Catitan penyunting:
Syi‘ah al-Rafidhah mengemukakan beberapa hujah berdasarkan peristiwa di dewan Bani Sa‘idah:
1. Perlantikan Abu Bakar berlaku dalam suasana kecoh.
2. Yang membai‘ah Abu Bakar di dewan Bani Sa‘idah hanya segelintir para sahabat. Ia menunjukkan bahawa kedudukan Abu Bakar sebagai khalifah hanya diiktiraf oleh segelintir sahabat.
3. Para sahabat di dewan Bani Sa‘idah tergesa-gesa untuk melantik dan membai‘ah Abu Bakar supaya dapat mengelakkan ‘Ali daripada menjadi khalifah. Para sahabat sanggup meninggalkan pengurusan jenazah Rasulullah semata-mata untuk mengejar tujuan di atas.
Dakwaan-dakwaan Syi‘ah al-Rafidhah di atas dapat dijawab seperti berikut:
Jawapan kepada hujah pertama:
Benar bahawa berlaku kekecohan di dewan Bani Sa‘idah. Orang yang memiliki sikap yang negatif, sepertimana Syi‘ah al-Rafidhah, menganggap ini adalah sesuatu yang menunjukkan kelemahan dalam proses perlantikan Abu Bakar. Namun orang yang memiliki sikap yang positif, sepertimana Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah,memandang hal tersebut sebagai satu kekuatan institusi sahabat. Ini kerana sekalipun mereka pada awalnya memiliki pendapat tersendiri, akhirnya masing-masing akur kepada satu pendapat yang membawa kepada perlantikan Abu Bakar.
Kekecohan yang berlaku dalam pertemuan di dewan Bani Sa‘idah adalah sesuatu yang lumrah. Ini kerana apabila wujud sekumpulan orang berkumpul untuk membincang sesuatu perkara, sama ada di dewan Bani Sa‘idah atau dimana-mana dewan mesyuarat, menjadi satu kebiasaan jika perbincangan adakalanya menjadi hangat. Namun yang penting adalah, adakah selepas suasana yang hangat tersebut terhasil satu keputusan yang disepakati semua?
Jawapan kepada hujah kedua:
Benar bahawa yang membai‘ah Abu Bakar di dewan Bani Sa‘idah hanya segelintir sahabat. Mereka adalah sahabat-sahabat yang utama yang terlibat dalam proses perlantikan. Ini kerana proses mengangkat seorang khalifah melalui dua tahap, yang pertama adalah pencalonan dan perlantikan, kedua adalah proses mengikrar taat setia (bai‘ah) kepada calon yang dilantik dalam proses pertama. Proses pertama dilakukan oleh beberapa sahabat utama manakala proses kedua dilakukan oleh seluruh para sahabat yang selebihnya.
Maka apa yang berlaku di dewan Bani Sa‘idah adalah proses tahap pertama. Proses tahap kedua berlaku pada keesokan hari dimana para sahabat seluruhnya membai‘ah Abu Bakar di dalam masjid. Hal ini tercatit dalam kitab-kitab sejarah dan disahihkan oleh Ibn Katsir, rujuk Tartib wa Tahzib Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Muhammad bin Syamil al-Sulaimi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta 2004), ms. 52-53.
Jawapan kepada hujah ketiga:
Para sahabat radhiallahu 'anhum bukanlah orang-orang yang jahil sepertimana tokoh-tokoh Syi‘ah al-Rafidhah dan para pengikut mereka. Para sahabat mengetahui bahawa urusan kepimpinan sesebuah negara adalah sesuatu yang tidak boleh dilengah-lengahkan. Jika dilengahkan, pasti musuh akan mengambil manfaat secepat mungkin. Tindakan para sahabat bukanlah kerana sikap acuh tak acuh ke atas pengurusan jenazah Rasulullah. Akan tetapi ia adalah tindakan yang berdasarkan kebijaksanaan mereka untuk menimbang antara dua suasana, mana yang patut diberi prioriti terlebih dahulu. Lebih dari itu para sahabat sedia mengetahui bahawa pengurusan jenazah Rasulullah akan diusahakan oleh ‘Ali bin Abi Thalibradhiallahu 'anh.
Alasan kononnya para sahabat tergesa-gesa kerana ingin mengelakkan ‘Ali daripada menjadi khalifah adalah khayalan kosong belaka kerana semua para sahabat mengetahui bahawa ‘Ali tidak memiliki apa-apa hak atas jawatan khalifah. Hal ini diakui oleh ‘Ali sendiri sebagaimana akan datang perbincangannya seterus ini.
[30] Catitan penyunting:
Kata-kata pengarang ini memerlukan penelitian lanjut dan ini akan saya lakukan dalam catitan seterusnya ketika menjelaskan hadis daripada A’isyahradhiallahu 'anha dalam bab ini.
[31] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 7219 (Kitab hukum-hukum)
[32] Sahih: Ringkasan hadis daripada A’isyah radhiallahu 'anha yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4241 (Kitab al-Maghazi, Bab ekspedisi Khaibar) dan Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1758 & 1759.
Catitan penyunting:
Hadis daripada A’isyah di atas masyhur dijadikan hujah oleh Syi‘ah al-Rafidhah. Mereka menghujahkannya dari beberapa sudut seperti berikut:
Tuduhan Syi‘ah al-Rafidhah pertama:
Kata-kata Abu Bakar bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamtelah bersabda: “Kami tidak mewariskan apa-apa, apa yang kami tinggalkan ialah sedekah.” adalah rekaan Abu Bakar semata-mata untuk menahan harta-harta peninggalan Rasulullah daripada diwarisi oleh Ahl al-Bait baginda.
Jawapan kepada hujah pertama:
Di atas adalah tuduhan yang tidak berasas. Ini kerana Abu Bakar bukan sahaja tidak memberi apa-apa harta warisan kepada Ahl al-Bait tetapi juga kepada para isteri Rasulullah yang lain termasuklah A’isyah. A’isyah radhiallahu 'anhamenerangkan:
إِنَّ أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَدْنَ أَنْ يَبْعَثْنَ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ فَيَسْأَلْنَهُ مِيرَاثَهُنَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ عَائِشَةُ لَهُنَّ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ نُورَثُ مَا تَرَكْنَا فَهُوَ صَدَقَةٌ؟
Sesungguhnya para isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selepas kewafatan baginda bercadang untuk mengutus ‘Utsman ibn Affan sebagai wakil kepada Abu Bakar untuk bertanya bagi pihak mereka tentang harta warisan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Maka A’isyah berkata kepada mereka: “Bukankah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa kami tidak mewariskan apa-apa, apa yang kami tinggalkan ialah sedekah?” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1758 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab sabda Nabi: “Kami tidak mewariskan……”)]
Lebih dari itu, harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga tidak dikembalikan kepada Ahl al-Bait pada zaman pemerintahan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Ini menunjukkan bahawa hadis di atas adalah benar-benar merupakan sabda Rasulullah dan bukan rekaan Abu Bakar.
Tuduhan Syi‘ah al-Rafidhah kedua:
“Fathimah menjadi marah ke atas Abu Bakar berkenaan hal ini…”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, ini adalah satu kesalahan besar yang dilakukan oleh Abu Bakar kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melarang sesiapa daripada menyakiti hati Fathimah:
فَإِنَّمَا ابْنَتِي بَضْعَةٌ مِنِّي يَرِيبُنِي مَا رَابَهَا وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا.
Sesungguhnya anak perempuanku (Fathimah) tidak lain adalah sebahagian daripada aku, mengganggu aku apa yang mengganggu beliau dan menyakitkan aku apa yang menyakitkan beliau. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2449 (Kitab al-Fadhail, Bab keutamaan Fathimah)].
Jawapan kepada hujah kedua:
Kata-kata “Fathimah menjadi marah ke atas Abu Bakar berkenaan hal ini…” adalah tambahan perawi hadis. Yang benar Fathimah memarahi atau menyesali di atas sikap dirinya sendiri yang bertanyakan tentang harta peninggalan (Tanah Fadak) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. al-Luknawi di dalam syarahnya kepada Shahih al-Bukhari berkata:
Ini adalah anggapan dari perawi hadith sahaja. Beliau membuat kesimpulan begini kerana melihat Fatimah tidak memberikan sebarang reaksi dan komen kepada Abu Bakar, apabila Abu Bakar menyatakan para Nabi tidak mewarisi sebarang harta. Fathimah sebenarnya menyesali sikap yang keluar dari dirinya sendiri. Beliau tidak berkata apa-apa kepada Abu Bakar kerana menyesali sikapnya sendiri, atau dengan lain perkataan, beliau memarahi dirinya sendiri kerana telah bertemu dengan khalifah untuk sesuatu harta dunia sedangkan kehidupan Abu Bakar sendiri telah diredhai oleh Allah. Beliau pula adalah seorang yang suka melakukan kebajikan, bertanggungjawab dan tidak pernah menzalimi seseorang. [Dikemukakan oleh Ibrahim Ali Sya’wat di dalam bukunyaKesalahan-Kesalahan Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Dibetulkan(edisi terjemahan oleh Basri bin Ibrahim; Jahabersa, Johor Bahru, 2003), buku 2, ms. 25].
Tuduhan Syi‘ah al-Rafidhah ketiga:
“…meninggalkan beliau serta tidak berkata-kata kepadanya sehinggalah kepada kewafatannya.”
Syi‘ah al-Rafidhah melanjutkan, ini adalah pemulauan yang dilakukan oleh Fathimah kepada Abu Bakar disebabkan tindakan Abu Bakar yang menahan harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam daripada dimiliki oleh Fathimahradhiallahu 'anha.
Jawapan kepada hujah ketiga:
Pemulauan yang berlaku bukanlah terhadap Abu Bakar tetapi terhadap isu harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maksudnya, Fathimah tidak lagi membangkitkan isu harta peninggalan Rasulullah kepada Abu Bakar. Ibrahim Ali Sya’wat menjelaskan:
Semenjak hari itu Fatimah tidak bercakap lagi dengan Abu Bakar dalam persoalan yang berkaitan dengan harta pesaka tinggalan ayahandanya. Inilah juga yang dilaporkan oleh al-Tirmidhi dari sesetengah gurunya, iaitu makna Fatimah yang berkata kepada Abu Bakar dan Umar “Saya tidak akan bercakap lagi dengan anda berdua” ialah difokuskan kepada bercakap tentang harta pesaka tersebut. [Kesalahan-Kesalahan Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Dibetulkan, buku 2, ms. 27].
Merujuk kepada hujah Syi‘ah al-Rafidhah yang pertama, kedua dan ketiga di atas, mereka membuat tuduhan-tuduhan sedemikian semata-mata untuk memburukkan Abu Bakar radhiallahu 'anh. Tanpa disedari, di sebalik tuduhan-tuduhan tersebut Syi‘ah al-Rafidhah telah menggambarkan Fathimah radhiallahu 'anha sebagai seorang wanita yang tamak terhadap harta duniawi.
Padahal yang benar Fathimah bin Muhammad bukanlah wanita yang sedemikian rupa. Beliau adalah seorang muslimah mulia yang tidak bersifat tamak terhadap harta duniawi. Memang, beliau bertanya tentang harta peninggalan Rasulullah, sekadar untuk mengetahui samada beliau ada mewarisi apa-apa daripadanya. Apabila ternyata bahawa Rasulullah tidak mewariskan apa-apa harta peninggalan, Fathimah menerimanya dengan penuh keredhaan. Di atas sikap redha inilah Fathimah menyesali tindakannya untuk bertanya, lantas terus menutup isu tersebut sehinggalah kepada kewafatannya.
Lebih dari itu, Fathimah radhiallahu 'anha mengetahui bahawa hayatnya di dunia adalah amat singkat selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam kesingkatan tersebut, beliau sememangnya tidak berhajat kepada apa-apa harta duniawi kecuali mengikuti ayahnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di alam seterusnya. Hadis berikut daripada A’isyah radhiallahu 'anhadijadikan rujukan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فَسَارَّهَا فَبَكَتْ ثُمَّ سَارَّهَا فَضَحِكَتْ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ لِفَاطِمَةَ مَا هَذَا الَّذِي سَارَّكِ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَكَيْتِ ثُمَّ سَارَّكِ فَضَحِكْتِ. قَالَتْ: سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي بِمَوْتِهِ فَبَكَيْتُ ثُمَّ سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي أَنِّي أَوَّلُ مَنْ يَتْبَعُهُ مِنْ أَهْلِهِ فَضَحِكْتُ.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (ketika sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya) memanggil anaknya Fathimah lalu membisikkan (sesuatu kepadanya), maka Fathimah menangis. Kamudian Rasulullah membisikkan (sesuatu yang lain), maka Fathimah ketawa (kegembiraan). Maka A’isyah bertanya kepada Fathimah tentang apa yang dibisikkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga menyebabkan dia bersedih dan kemudian ketawa. Fathimah menjawab: “Rasulullah mengkhabarkan kepada aku tentang kematiannya maka aku bersedih, kemudian mengkhabarkan kepada aku bahawa akulah yang pertama daripada ahli keluarga baginda yang akan mengikutinya maka aku ketawa.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2450(Kitab al-Fadhail, Bab keutamaan Fathimah)].
Hujah Syi‘ah al-Rafidhah keempat:
“Tatkala Fathimah radhiallahu 'anha meninggal dunia, ‘Ali mengebumikannya pada malam hari tanpa memberitahu berita ini kepada Abu Bakar dan mensolatkan (Fathimah tanpa Abu Bakar).”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, hal di atas berlaku sebagai lanjutan daripada tindakan Abu Bakar radhiallahu 'anh yang merampas harta peninggalan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam milik Fathimah radhiallahu 'anha. Tindakan tersebut mengakibatkan permusuhan antara Ahl al-Bait dan Abu Bakar sehinggalah kepada wafatnya Fathimah di mana beliau dikebumikan senyap-senyap pada malam hari.
Jawapan kepada hujah keempat:
Tuduhan Syi‘ah al-Rafidhah bahawa pengebumian Fathimah pada malam hari adalah kerana permusuhannya dengan Abu Bakar adalah tuduhan yang dusta. Yang benar Fathimah dikebumikan pada malam hari kerana salah satu atau kedua-dua daripada sebab berikut:
1. Beliau wafat pada petang atau malam hari, maka menjadi sunnah yang ditekankan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa urusan jenazah jangan ditangguh-tangguhkan. Maka ‘Ali radhiallahu 'anh terus menguruskan jenazah Fathimah pada malam tersebut tanpa berlengah-lengah.
2. Turut menjadi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan jenazah adalah pengebumian tidak dilakukan pada waktu malam. Pengecualian diberikan kepada orang yang terpaksa melakukannya pada waktu malam, seperti dalam kes jenazah yang tidak dapat dikafan dengan sempurna disebabkan kekurangan kain kafan. Fathimah radhiallahu 'anhahidup dalam suasana keluarga yang sederhana lagi zuhud. Maka mereka tidak memiliki kain kafan yang cukup besar untuk mengafani jenazah Fathimah secara sempurna. Oleh itu hanya ‘Ali yang menguruskan jenazah Fathimah pada malam hari supaya jenazah Fathimah tidak diperhatikan oleh orang ramai.
Hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menjadi rujukan dalam hal ini:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ يَوْمًا فَذَكَرَ رَجُلاً مِنْ أَصْحَابِهِ قُبِضَ فَكُفِّنَ فِي كَفَنٍ غَيْرِ طَائِلٍ وَقُبِرَ لَيْلاً. فَزَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ إِلاَّ أَنْ يُضْطَرَّ إِنْسَانٌ إِلَى ذَلِكَ. وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كَفَّنَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ.
Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pada satu hari berkhutbah, baginda menyebut tentang seorang lelaki dari kalangan sahabatnya yang dikafankan dengan kain kafan yang tidak cukup panjang (untuk menutup seluruh tubuhnya) dan dikebumikan pada waktu malam. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menegah daripada mengebumikan seseorang pada waktu malam sehinggalah baginda sempat menyolatkannya, kecuali jika seseorang itu terpaksa melakukannya (mengebumikan pada waktu malam kerana kekurangan kain kafan atau sebab lain). Baginda menegaskan: “Apabila salah seorang daripada kalian mengafani saudaranya, hendaklah dia dikafan dengan baik.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 943 (Kitab al-Jana’iz, Bab mengafan mayat dengan baik)].
Oleh itu sebagaimana Rasulullah tidak menyolatkan seorang sahabat yang dikebumikan pada waktu malam kerana masalah kekurangan kain kafan, maka demikianlah juga Abu Bakar tidak menyolatkan Fathimah yang dikebumikan pada waktu malam kerana masalah kekurangan kain kafan.
Hujah Syi‘ah al-Rafidhah kelima:
“Namun apabila Fathimah wafat, ‘Ali melihat ramai orang mulamengingkarinya. Oleh itu ‘Ali mencari jalan untuk berdamai dengan Abu Bakar dan membai‘ahnya.”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, kononnya Abu Bakar dan para sahabat yang lain radhiallahu 'anhum telah menyakiti hati Ahl al-Bait dengan merebut jawatan khalifah. Ini semua menyebabkan kehidupan Ahl al-Bait menjadi tersisih dan diingkari oleh masyarakat. Maka siapa yang menyakiti Ahl al-Bait Rasulullah maka dia sebenarnya menyakiti Rasulullah.
Jawapan kepada hujah kelima:
Di atas adalah hujah Syi‘ah al-Rafidhah yang lahir daripada sikap terburu-buru mereka. Yang sebenarnya menjauhkan diri daripada Abu Bakar dan para sahabat selainnya radhiallahu 'anhum adalah Ahl al-Bait disebabkan salah faham mereka tentang siapakah yang memiliki hak untuk mengurus harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Salah faham ini kemudiannya telah diperbetulkan dan ‘Ali mengaku akan kesilapan mereka sendiri. Hal ini dapat diperhatikan selanjutnya dalam hadis di atas. Justeru tidak ada sesiapa yang menyakiti hati Ahl al-Bait melainkan salah faham mereka sendiri.
Hujah Syi‘ah al-Rafidhah keenam:
“‘Ali tidak membai‘ah Abu Bakar sejak beberapa bulan (sejak Abu Bakar dilantik menjadi khalifah).”
Kenyataan di atas menjadi hujah utama bagi Syi‘ah al-Rafidhah, bahawa keengganan ‘Ali membai‘ah Abu Bakar kecuali setelah beberapa bulan menunjukkan bahawa ‘Ali tidak mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar. Lebih dari itu ia menunjukkan wujud perselisihan politik antara ‘Ali dan Abu Bakar.
Jawapan kepada hujah keenam:
Perhatikan bahawa yang menerangkan hal di atas adalah A’isyahradhiallahu 'anha. Pengamatan beliau dalam hal di atas tidak boleh dianggap muktamad kerana para wanita pada zaman itu tidak turut serta dalam proses perlantikan dan memberi bai‘ah kepada khalifah yang baru dilantik. Oleh itu A’isyah sebenarnya tidak tahu secara pasti sama ada ‘Ali radhiallahu 'anh telah membai‘ahAbu Bakar radhiallahu 'anh atau tidak. Beliau hanya menerangkan sekadar apa yang beliau tahu.
Justeru hal ini perlu dirujuk kepada para sahabat di kalangan kaum lelaki kerana mereka adalah orang yang turut serta dalam proses perlantikan dan memberibai‘ah kepada khalifah Abu Bakar saat beliau baru menduduki jawatan tersebut. Di sini hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh menjadi rujukan. Beliau menerangkan bahawa setelah Abu Bakar dipersetujui menjadi khalifah, beliau berdiri di atas mimbar untuk memberi ucapan yang pertama. Kemudian:
فَلَمَّا قَعَدَ أَبُو بَكْر عَلَى المِنْبَرِ نَظَرَ فِي وُجُوهُ القَوْمِ فَلَمْ يَرَ عَلِيًا فَسَأَلَ عَنْهُ. فَقَالَ نَاسُ مِنْ الأَنْصَارِ فَأَتُوا بِهِ. فَقَالَ أَبُو بَكْر: اِبْنُ عَمِّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ وَخَتَنُهُ, أَرَدْتَ أَنْ تَشُّقَ عَصَا المُسْلِمِيْنَ؟ فَقَالَ: لاَ تَثْرِيْبُ يَا خَلِيْفَةُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ. فَبَايِعُهُ.
Maka tatkala Abu Bakar bangkit ke atas mimbar, beliau memerhatikan orang ramai, namun beliau tidak nampak ‘Ali. Maka beliau bertanya tentang ‘Ali. Kemudian beberapa orang daripada kalangan Ansar pergi memanggil ‘Ali untuk hadir. Lalu Abu Bakar bertanya: “(Wahai) sepupu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menantunya, adakah engkau ingin menimbulkan perselisihan di kalangan kaum Muslimin?” ‘Ali menjawab: “Janganlah menuduh aku sedemikian wahai Khalifah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.” Maka ‘Ali membai‘ah Abu Bakar.
Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4457 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib Abu Bakar) dan beliau berkata: Hadis ini sahih di atas syarat al-Bukhari dan Muslim hanya mereka tidak mengeluarkannya. Akan tetapi al-Zahabi mendiamkan penilaian al-Hakim ini. Namun hadis ini telah dirujuk oleh al-Baihaqi di dalam kitabnya al-Sunan al-Kubra – setelah hadis no: 12732 (Kitab pembahagian harta Fa’i dan al-Ghanimah) dan beliau menguatkannya.
Lebih dari itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengingatkan:
مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً.
Sesiapa yang menarik dirinya daripada ketaatan (kepada khalifah) (maka dia akan) bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak tanpa apa-apa hujah (untuk membela tindakannya itu) dan sesiapa yang mati tanpa dirinya membai‘ah (seorang khalifah) (maka dia akan) mati dengan kematian jahiliyyah. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1851 (Kitab al-Imarah, Bab kewajipan bersama jamaah)].
Oleh itu adalah mustahil ‘Ali menarik dirinya daripada ketaatan kepada Abu Bakar atau menahan dirinya daripada membai‘ah Abu Bakar selama beberapa bulan. Justeru yang benar ‘Ali radhiallahu 'anh telah membai‘ah Abu Bakar pada hari orang ramai membai‘ah Abu Bakar. Hanya hal ini tidak diketahui oleh A’isyahradhiallahu 'anha.
Seperkara lain yang perlu ditambah adalah, tindakan ‘Ali membai‘ah Abu Bakar adalah di atas kerelaan dirinya sendiri. ‘Ali radhiallahu 'anh pernah berkata:
مَا غَضَبْنَا إِلاَّ لأَنَّا قَدْ أَخَّرْنَا عَنِ الْمُشَاوَرَةِ وَإِنَّا نَرَى أَبَا بَكْر أَحَقُّ النَّاسَ بِهَا بَعْدَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ. إِنَّهُ لِصَاحِبِ الْغَارِ وَثَانِي اْثنَيْنِ وَإِنَّا لِنَعْلَمُ بِشَرَفِهِ وَكُبْرِهِ وَلَقَدْ أَمَرَهُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ بِالصَلاَّةِ بِالنَّاسِ وَهُوَ حَيٌّ.
Tiadalah kami marah (tentang perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah) kecuali disebabkan kami telah ditinggalkan daripada turut serta dalam perjumpaan (di dewan Bani Sa‘idah). Padahal kami memang memandang Abu Bakar sebagai orang yang paling berhak (menjadi khalifah) sesudah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sesungguhnya beliaulah sahabat (Rasulullah) di dalam gua, justeru orang yang kedua daripada dua orang. Dan sesungguhnya kami mengetahui akan kemuliaan dan kebesarannya. Demi sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menyuruh beliau mengimami solat orang ramai pada hal baginda saat itu masih hidup. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4422 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib Abu Bakar) dan beliau berkata: Hadis ini sahih di atas syarat al-Bukhari dan Muslim hanya mereka tidak mengeluarkannya. Berkata al-Zahabi: (Sahih) di atas syarat al-Bukhari dan Muslim.]
Hujah Syi‘ah al-Rafidhah ketujuh:
“Namun engkau terus mengambil alih ke atas kami urusan (harta peninggalan Rasulullah) padahal kami memiliki hubungan kekerabatan dengan Rasulullah.”
Syi‘ah al-Rafidhah mendakwa bahawa urusan yang dimaksudkan oleh ‘Ali dalam kata-katanya di atas kepada Abu Bakar ialah urusan kekhalifahan.
Jawapan kepada hujah ketujuh:
Urusan yang dimaksudkan oleh ‘Ali radhiallahu 'anh bukanlah urusan khalifah tetapi pengurusan harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam seperti tanah di Khaibar dan selainnya. Ini boleh diperhatikan dalam hadis di atas dalam jawapan Abu Bakar. Rujuk juga keterangan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7, ms. 495 ketika mensyarahkan hadis di atas. Ia bukanlah urusan kekhalifahan kerana ‘Ali sendiri telah mengakui hak Abu Bakar sebagai khalifah dalam hadis no: 4422 yang dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak yang dikemukakan sebelum ini.
Hujah Syi‘ah al-Rafidhah kelapan:
“Aku berjanji selepas tengah hari ini akan membai‘ahmu.”
Berdasarkan kenyataan di atas, Syi‘ah al-Rafidhah mendakwa ‘Ali hanya membai‘ah Abu Bakar selepas kewafatan Fathimah, yakni kira-kira enam bulan selepas Abu Bakar menjadi khalifah.
Jawapan kepada hujah kelapan:
Bai‘ah yang dimaksudkan di atas bukanlah bai‘ah yang pertama tetapibai‘ah yang kedua bagi menutup sebarang sangkaan di kalangan orang ramai tentang kedudukan antara Abu Bakar dan ‘Ali radhiallahu 'anhuma. Oleh kerana wujudnya perselisihan tentang siapakah yang berhak mengurusi harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, wujud sangkaan di kalangan sebahagian orang ramai kononnya ‘Ali telah menarik diri daripada memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada Abu Bakar. Oleh itu dalam peristiwa di atas, ‘Ali kembali menyatakan janji taat setia kepada Abu Bakar dan ini kemudiannya melegakan sangkaan di kalangan orang ramai. [Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7, ms. 495-496].
[33] Catitan penyunting:
Maksudnya dalam pertemuan beliau dengan Abu Bakar, ‘Ali tidak mendakwa dirinya memiliki hak menjadi khalifah tetapi sekadar hak untuk mengurus harta warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.Seandainya ‘Ali telah diwasiatkan oleh Rasulullah untuk menjadi khalifah, nescaya ‘Ali akan menuntut perlaksanaan wasiat tersebut di atas Abu Bakar. Lebih dari itu ‘Ali langsung tidak akan membai‘ah Abu Bakar, sebaliknya menuntut orang ramai agar membai‘ahnya.
[34] Catitan penyunting:
Hal ini diperalatkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah bahawa kononnya Usamah bin Zaid dan pasukannya telah menderhakai perintah Rasulullah dengan berpatah balik ke Kota Madinah. Syi‘ah al-Rafidhah juga menambah, tujuan ekspedisi ini berpatah balik adalah untuk menjaga jawatan khalifah daripada jatuh ke tangan ‘Ali. Tuduhan ini dapat dijawab seperti berikut:
1. Tujuan Usamah berpatah balik bukan kerana isu khalifah tetapi kerana prihatin kepada kesihatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidaklah menjadi agenda mereka untuk menjaga jawatan khalifah daripada jatuh ke tangan ‘Ali kerana mereka sejak awal mengetahui bahawa ‘Ali tidak memiliki apa-apa hak atas jawatan tersebut.
2. Penderhakaan adalah apabila satu perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diingkari secara mutlak. Apa yang dilakukan oleh Usamah bukanlah pengingkaran tetapi penangguhan untuk sementara waktu. Tindakan berpatah balik dilakukan setelah Usamah dan pasukannya mengetahui kedudukan tentera Rom saat itu yang tidak mengancam keselamatan umat Islam. Lebih dari itu, mereka juga menyedari bahawa tindakan berpatah balik hanyalah untuk tempoh sementara, bukan selama-lamanya. Justeru apa yang dilakukan oleh Usamah bukanlah satu penderhakaan tetapi satu kebijaksanaan dalam menimbang antara dua suasana mana yang patut diberi keutamaan.
[35] Catitan penyunting:
No comments:
Post a Comment