Friday, February 18, 2011

Keadaan dan syarat sebenar Darurat

Keadaan dan syarat sebenar Darurat

 
i
 
Rate This
Quantcast

Ad-Dharurah tubihu Al-Mahdzurah

Keadaan dharurat membenarkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan dan kemerbahayaan (mahdzurah) dilakukan. Kita telah mengetahui bahawa barangsiapa yang dilarang dari melakukannya dengan larangan disebabkan keharamannya hendaklah meninggalkannya sekaligus tanpa berlengah-lengah dan tanpa bertangguh-tangguh.
Namun demikian, orang yang mukallaf kemungkinan ditimpa oleh sesuatu keadaan yang memaksanya melakukan perbuatan haram dan menyebabkannya (demi untuk menyelamatkan dirinya) melakukan perbuatan yang merbahaya dan mudarat tersebut. Di mana sekiranya beliau menahan dirinya ke lembah kebinasaan atau dalam ertikata yang lain beliau mendedahkan dirinya kepada kemusnahan dan kecelakaan.
Di sini kita dapat syariat Allah swt yang Maha Bijaksana memberi keringanan kepada para hambaNya. Justeru itu ia memberi keharusan kepada mereka dalam keadaan itu melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya sekiranya beliau melakukannya dalam keadaannya yang biasa (tanpa ditimpa keadaan dharurat) iaitu keadaan dirinya yang aman dari keadaan dan sebab-sebab dharurat. Dan Allah swt mengangkat darinya hukuman dan dosa dalam keadaan dharurat itu. Allah swt telah berfirman:
Maksudnya: “..Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedangkan ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang…”; al-Baqarah:173
Untuk beramal dengan ayat al-Quran ini dan sebagai mengambil sumber hukum dari ayat al-Quran ini maka alim ulamak telah meletakkan satu kaedah fekah iaitu:
“..Dharurat membenarkan yang mudarat..”
Dari contoh-contoh sedemikian itu: Diharuskan memakan bangkai bagi sesiapa yang tidak mempunyai makanan dan tidak berupaya untuk memperolehi makanan selain dari bangkai itu. Umpama seorang yang berada di gurun yang tiada makanan lalu terjumpa bangkai biawak dan tiada lain makanan yang boleh diperolehinya, sedangkan ia amat memerlukan makanan untuk menyelamatkan dirinya dari mati kelaparan maka diharuskan baginya memakan bangkai biawak itu. Diharuskan juga untuk membuka aurat untuk tujuan rawatan dan pengubatan di hadapan doktor dan juga tidak memotong tangan si pencuri yang telah mencuri disebabkan wujudnya satu keadaan yang terdesak dan kefakiran serta kemiskinannya yang memaksanya untuk mencuri dan apa-apa yang seumpama dengan sedemikian itu.
Namun demikian, hendaklah diambil perhatian berat tentang keharusan ini! Justeru terdapat ramai orang yang mengguna pakai kaedah ini secara mutlak atau dalam lain perkataan dengan sewenang-wenangnya dan secara semborono tanpa meletakkan batasan-batasan yang tertentu dan jelas dalam mengguna pakai kaedah ini.

Batasan-batasan dharurat

Adapun batasan-batasan bagi makna dharurat itu adalah sejauh mana keharusan itu boleh dipakai, iaitu keharusan melakukan yang dharurat dalam keadaan dharurat dan makna dharurat itu sendiri sehingga orang-orang yang mukallaf tidak terjatuh ke dalam kesilapan ini.
Kita dapati para fuqaha’ (Ilmu Fekah) membataskan makna dharurat sebagaimana berikut ini: Barangsiapa yang menyebabkan seorang insan itu berada di dalam keadaan bahaya sehingga ia diancam oleh maut atau diancam oleh kerosakan satu anggota dari anggota-anggotanya atau diancam akan bertambahnya ketenatan dan keseriusan penyakitnya dan yang seumpama, dengan sedemikan itu yang mengagalkannya atau menyebabkan beliau uzur untuk bertindak demi kemaslahan hidupnya atau yang menjadikan hidupnya ditimpa kesusahan, kesukaran dan kepayahan yang tidak dapat ditanggung. Dalam masa yang sama juga (dalam keadaan dharurat itu) alim ulamak membataskan kerangka keharusan (ibahah) ini dengan barang apa dengannya keadaan dharurat itu lenyap. Iaitu batasan sejauhmana keharusan atau kelonggaran mengambil yang mudarat dalam keadaan dharurat ini boleh diguna pakai demi mengelakkan pemakaian kaedah ini dengan sewenang-wenangnya.
Ringkasnya yang mudarat akan dilakukan setakat mana ia boleh melenyapkan akibat sekiranya yang mudarat itu tidak diambil (iaitu yang melenyapkan keadaan dharurat). Lalu alim ulamak meletakkan satu kaedah yang diguna pakai bersama dengan kaedah di atas atau yang menjadi syarat dan qaiyyid (ikatan) kepada pemakaian kaedah tersebut. Kaedah itu ialah:
“..Adapun dharuat itu diukur dengan ukurannya..”
Diambil dari firman Allah swt:
Maksudnya: “..sedangkan ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas..”; al-Baqarah:173
Iaitu tanpa bermaksud untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak dan maksiat dan tanpa sengaja melewati batasan-batasan yang menyebabkan kedharuratan itu ditolak atau dihapuskan darinya. Maka barangsiapa yang terpaksa disebabkan dharurat untuk memakan bangkai maka tidak boleh ia memenuhi perutnya dengan daging bangkai itu atau menyimpannya, justeru itu beliau hanya memakan daging bangkai itu setakat yang boleh menyelamatkan dirinya dari terus kebuluran yang boleh mengancam nyawanya. Barangsiapa yang terpaksa mencuri untuk memberi makan kepada ahli keluarganya maka beliau tidak boleh mengambil curian yang melebihi dari hajatnya atau yang mencukupi keperluan ahli keluarganya untuk sehari dan semalam.
Barangsiapa yang terpaksa membuka aurat di hadapan doktor maka ia tidak boleh membuka bahagian aurat selain dari tempat yang sakit. Atau tempat yang selain dari tempat yang dikehendaki oleh doktor untuk melihatnya dengan mata kepalanya. Seorang wanita yang terpaksa memperolehi rawatan tidak boleh beliau pergi berjumpa dengan seorang doktor lelaki sedangkan tempatnya terdapat doktor wanita yang boleh merawatnya dan memadai baginya.
Tidak boleh diiktibarkan sebagai dharurat di dalam perkara yang menyentuk kemewahan dunia, menghasilkan kesempurnaan hidup di dalamnya, mengutamakan keselesaan, dan agar ia seiring dan sesuai dengan keadaan masyarakat di tempatnya. Lantaran itu, barangsiapa mempunyai modal permulaan yang sedikit untuk menjalankan sesuatu perniagaan maka ia tidak dikatakan dalam keadaan dharurat demi utnuk memperolehi modal tambahan bagi memperluaskan perniagaannya dengan melibatkan diri dalam urusan riba; seumpama meminjam dari bank yang mengenakan kadar bunga (riba) yang tertentu ke atasnya.
Barangsiapa mempunyai sebuah rumah yang kecil cukup-cukup untuk dirinya dan keluarganya maka tidaklah dikatakan beliau dalam keadaan dharurat untuk memperolehi sebuah rumah yang lain, yang lebih besar dengan cara apa sekalipun, hatta terpaksa melibatkan diri dengan perkara-perkara atau urusan-urusan yang mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seumpama memperolehi pinjaman beriba dari mana-mana bank atau mencuri bahan-bahan binaan demi untuk membesarkan rumahnya.
Barangsiapa mempunyai seorang suami atau wali yang boleh membelanjai atau menanggung nafkahnya maka beliau tidaklah dalam keadaan dharurat untuk keluar bekerja sehingga diharuskan bagi beliau untuk bercampur dan bergaul dengan lelaki-lelaki ajnabi atau bersunyi-sunyian dengan mereka di tempat-tempat kerja. Begitu juga hukumnya, jika beliau benar-benar dalam keadaan dharurat untuk memperolehi nafkah bagi dirinya, maka sekiranya terdapat tempat-tempat pekerjaan yang tidak mempunyai ciri-ciri mudarat seperti ini maka tidak boleh baginya bekerja ditempat yang ada ciri-ciri mudarat itu, bahkan tidak diharuskan sama sekali ke atasnya untuk bekerja samada di tempat yang ada percampuran lelaki dan wanita atau di tempat yang tiada percampuran lelaki dan wanita sama sekali. Hukum ini adalah bertujuan menolak kemudaratan yang menarik musibah dan bencana ke atas hamba-hamba Allah dan negara dan juga untuk beramal dengan kaedah fekah:
“..Menolak kemudaratan lebih didahulukan dari menarik maslahah..”
Barangsiapa mempunyai sesuatu urusan maka beliau tidak dikatakan di dalam keadaan dharurat untuk menghulurkan rasuah sehingga dengan membayar rasuah itu akan memudahkan urusannya. Barangsiapa mempunyai perhubungan dengan orang ramai maka tidak dikatakan beliau itu dalam keadaan dharurat untuk duduk-duduk bersama mereka di hadapan hidangan yang terdapat arak dan diam di atas kemungkaran mereka.
Wanita yang mempunyai seorang suami yang meringan-ringankan agama atau seorang suami yang banyak bertolak ansur maka tidaklah beliau dikatakan di dalam keadaan dharurat untuk menanggalkan pakaian yang memelihara kehormatannya dan menjaga sifat malunya, maka beliau meninggalkan adab-adab syarak dan pakaian wanita mukminah semata-mata untuk menarik dan memikat hati suaminya.
Petikan dari Hikmah dan Rahsia Hukum Syariat
Explore posts in the same categories: Law

No comments:

Post a Comment