Friday, February 18, 2011

WAHHABI BUAT FITNAH LAGI....

WAHHABI BUAT FITNAH LAGI....

Posted by bahrulkalam

MENJAWAB KEPADA GOLONGAN WAHHABI YANG MENGATAKAN AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI MELALUI 3 PERINGKAT PEMIKIRAN

Ada artikel yang tersebar di kalangan sebahagian pakar, khususnya di kalangan golongan wahhabi yang mengatakan bahawa perjalanan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan dalam kehidupan beliau.[1]
Pertama:
Fasa ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengikuti fahaman Muktazilah dan menjadi salah satu tokoh Muktazilah hingga berusia 40 tahun.
Kedua:
Fasa di mana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari aliran Muktazilah dan merintis mazhab pemikiran teologis (ilmu akidah) dengan mengikuti mazhab Ibn Kullab.
Ketiga:
Fasa di mana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada mazhab yang dirintisnya iaitu mengikuti mazhab Ibn Kullab dan kembali kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikut manhaj  Salaf al-Salih dengan mengarang sebuah kitab yang berjudul al-Ibanah `an Usul al-Diyanah.

Berdasarkan hal ini, golongan Wahhabi membuat kesimpulan bahawa mazhab al-Asy`ari yang berkembang dan diikuti oleh majoriti kaum muslimin hingga dewasa ini adalah pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada fasa kedua iaitu mengikuti mazhab Ibn Kullab yang bukan daripada fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan telah dibuang oleh al-Imam al-Asy`ari, dengan kitab terakhir yang ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari iaitu al-Ibanah `an Usul al-Diyanah.
Oleh yang demikian, mazhab al-Asy`ari yang ada sekarang sebenarnya mengikuti mazhab Ibn Kullab yang bukan daripada fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan tidak mengikuti mazhab al-Asy`ari dalam fasa ketiga yang asli iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Inilah kenyataan daripada artikel yang direka oleh golongan Wahhabi/Salafi dakwaan dan disebar secara menyeluruh oleh mereka pada dewasa ini.

Oleh itu, artikel yang dibuat oleh golongan Wahhabi ini sudah tentu mempunyai banyak pendustaan mengenai fakta sejarah dan fakta ilmiah. Sebelum kita mengkaji artikel di atas satu persatu, ada baiknya kita memperincikan terlebih dahulu makna yang tersembunyi (hidden meaning) di sebalik artikel itu. Apabila hal tersebut dikaji, ada tiga makna yang tersembunyi di sebalik artikel tersebut.

Pertama:
Perkembangan pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa di dalam kehidupannya, iaitu Muktazilah, mengikuti mazhab Ibn Kullab dan terakhir sekali, beliau kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Ini adalah artikel pokok yang dipropagandakan oleh golongan Wahhabi. Artikel ini menyembunyikan dua artikel disebaliknya.
Kedua:
Abdullah bin Sa`id bin Kullab bukan pengikut Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
Ketiga:
Kitab al-Ibanah `an Usul al-Diyanah merupakan fasa terakhir dalam kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari iaitu fasa kembalinya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari kepangkuan ajaran Salaf al-Salih atau Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.

SANGGAHAN/BANTAHAN
Pertama, Pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa???
Benarkah pemikiran al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari melaui tiga peringkat perkembangan di dalam kehidupannya???
Untuk menjawab pertanyaan ini, kita harus mengamati dan mengkaji sejarah kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari yang ditulis oleh para alim ulama’. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari merupakan salah seorang tokoh kaum Muslimin yang sangat masyhur dan mempunyai fakta yang jelas. Beliau bukan tokoh kontroversial dan bukan tokoh yang misteri iaitu perjalanan hidupnya tidak diketahui orang, lebih-lebih lagi berkaitan dengan hal yang amat penting seperti yang kita bicarakan ini. Seandainya kehidupan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seperti kenyataan dalam artikel yang di reka oleh Wahhabi/Salafi dakwaan itu, menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan pemikiran, maka sudah tentu para sejarawan akan menyatakannya dan menjelaskannya di dalam buku-buku sejarah. Maklumat mengenai ini juga sudah pasti akan masyhur dan tersebar luas sebagaimana fakta sejarah hanya menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya bertaubat dan meninggalkan fahaman Muktazilah sahaja.
Semua sejarawan yang menulis biografi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya menyatakan kisah naiknya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari ke atas mimbar di masjid Jami` Kota Basrah dan berpidato dengan menyatakan bahawa beliau telah keluar daripada fahaman Muktazilah. Di sini kita bertanya, adakah sejarawan yang menyatakan kisah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari fahaman pemikiran Abdullah bin Sa`id bin Kullab? Sudah tentu jawapannya, tidak ada.
Apabila kita menelaah atau meneliti buku-buku sejarah, kita tidak akan mendapatkan fakta atau maklumat yang mengatakan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari ajaran Ibn Kullab baik secara jelas mahupun samar. Oleh itu, maklumat atau fakta yang kita dapati ialah kesepakatan para sejarawan bahawa setelah al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari bertaubat daripada fahaman Muktazilah, beliau kembali kepada ajaran Salaf al-Salih seperti kitab al-Ibanah dan lain-lain yang ditulisnya dalam rangka membela mazhab Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
Al-Imam Abu Bakr bin Furak berkata[2]:
"Syaikh Abu al-Hassan Ali bin Ismail al-Asy`ari radiyallahu`anhu berpindah daripada mazhab Muktazilah kepada mazhab Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan membelanya dengan hujjah-hujjah rasional dan menulis karangan-karangan dalam hal tersebut…"
Sejarawan terkemuka, al-Imam Syamsuddin Ibn Khallikan berkata[3]:
"Abu al-Hassan al-Asy`ari adalah perintis pokok-pokok akidah dan berupaya membela mazhab Ahl al-Sunnah. Pada mulanya Abu al-Hassan adalah seorang Muktazilah, kemudian beliau bertaubat dari pandangan tentang keadilan Tuhan dan kemakhlukan al-Quran di masjid Jami` Kota Basrah pada hari Jumaat".
Sejarawan al-Hafiz al-Zahabi berkata[4]:
"Kami mendapat informasi bahawa Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari fahaman Muktazilah dan naik ke mimbar di Masjid Jami’ Kota Basrah dengan berkata, “Dulu aku berpendapat bahawa al-Quran itu makhluk dan…Sekarang aku bertaubat dan bermaksud membantah terhadap fahaman Muktazilah".
Sejarawan terkemuka, Ibn Khaldun berkata[5]:
"Hingga akhirnya tampil Syaikh Abu al-Hassan al-Asy`ari dan berdebat dengan sebahagian tokoh Muktazilah tentang masalah-masalah shalah dan aslah, lalu dia membantah metodologi mereka (Muktazilah) dan mengikut pendapat Abdullah bin Said bin Kullab, Abu al-Abbas al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi daripada kalangan pengikut Salaf dan Ahl al-Sunnah".


Fakta yang dikemukakan oleh Ibn Khaldum tersebut menyimpulkan bahawa setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah, beliau mengikuti mazhab Abdullah bin Sa`id bin Kullab, al-Qalanisi dan al-Muhasibi yang merupakan pengikut ulama’ Salaf  dan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
Demikian juga, maklumat atau fakta sejarah yang dinyatakan di dalam buku-buku sejarah yang menulis biografi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari seperti Tarikh Baghdad karya al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra karya al-Subki, Syadzarat al-Dzahab karya Ibn al-Imad al-Hanbali, al-Kamil fi al-Tarikh karya Ibn al-Atsir, Tabyin Kizb al-Muftari karya al-Hafiz Ibn Asakir, Tartib al-Madarik karya al-Hafiz al-Qadhi Iyadh, Tabaqat al-Syafi`eyyah karya al-Asnawi, al-Dibaj al-Muadzahhab karya Ibn Farhun, Mir`at al-Janan karya al-Yafi`I dan lain-lain, semunya sepakat bahawa setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar dari fahaman Muktazilah, beliau kembali kepada mazhab  Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikut metodologi Salaf.
            Disamping itu, seandainya al-Imam Abu Hassan al-Asy`ari ini melalui tiga peringkat aliran pemikiran, maka sudah tentu hal tersebut akan diketahui dan dikutip oleh murid-murid dan para pengikutnya kerana mereka semua adalah orang yang paling dekat dengan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan orang yang melakukan kajian tentang pemikiran dan sejarah perjalanan hidupnya. Oleh itu sudah semestinya mereka akan lebih mengetahui daripada orang lain yang bukan pengikutnya, lebih-lebih lagi melibatkan tokoh besar iaitu al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari yang pasti menjadi buah mulut pelajar dan para alim ulama’. Oleh itu jelaslah, bahawa ternyata selepas kita merujuk kepada kenyataan murid-murid dan para pengikut al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, kita tidak akan menemui fakta sejarah yang menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan telah melalui tiga fasa pemikiran yang di dakwa oleh golongan Wahhabi/Salafi dakwaan.
Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan para pengikutnya bersepakat bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan fahaman Muktazilah dan beliau berpindah kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti yang diikuti oleh al-Harith al-Muhasibi, Ibn Kullab, al-Qalanisi, al-Karabisi dan lain-lain.
Apabila kita mengkaji karya-karya para alim ulama’ yang mengikut dan pendukung mazhab al-Asy`ari seperti karya-karya yang dikarang oleh al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani, al-Syaikh Abu Bakr bin Furak, Abu Bakr al-Qaffal al-Syasyi, Abu Ishaq al-Syirazi, al-Hafiz al-Baihaqi dan lain-lain. Kita semua tidak akan menemukan satu fakta pun yang menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan mazhab yang dihidupkan kembali olehnya iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, sehingga tidak rasional apabila golongan Wahhabi/Salafi dakwaan mengatakan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan mazhabnya tanpa diketahui oleh para murid-muridnya dan pendukungnya. Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan dusta sama sekali yang jauh dari kebenaran.

            Golongan Wahhabi/Salafi dakwaan ini menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan mazhab yang dirintiskan olehnya bersandarkan metodologi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitabnya al-Ibanah `an Usul al-Diyanah dan sebahagian kitab-kitab lainnya yang mengikuti metodologi tafwidh berkaitan sifat-sifat Allah di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Metodologi tafwidh ini adalah metodologi majoriti ulama’-ulama’ Salaf al-Salih. Berdasarkan hal ini, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dianggap  menyalahi atau meninggalkan metodologi Ibn Kullab yang tidak mengikuti metodologi salaf sebagaimana yang di dakwa oleh golongan Wahhabi ini.
Dari sini lahirlah sebuah pertanyaan, apakah isi kitab al-Ibanah yang di dakwa sebagai mazhab Salaf bertentangan dengan metodologi Ibn Kullab, atau dengan kata lain, adakah Ibn Kullab bukan pengikut mazhab Salaf seperti yang ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah??? Pertanyaan di atas membawa kepada kita untuk mengkaji kenyataan berikutnya.

KEDUA, IBN KULLAB BUKAN ULAMA’ SALAF DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA`AH???
Setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan fahaman Muktazilah, dia mengikuti metodologi Abdullah bin Sa`id bin Kullab al-Qaththan al-Tamimi. Artikel tersebut telah menjadi kesepakatan bagi kita dengan kelompok yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa tetapi mereka berbeza dengan kita, kerana kita mengatakan bahawa metodologi Ibn Kullab sebenarnya sama dengan metodologi Salaf, kerana Ibn Kullab sendiri termasuk dalam kalangan tokoh ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikuti metodologi Salaf. Hal ini boleh dilihat dengan memperhatikan pernyataan para pakar berikut ini.
Al-Imam Tajuddin al-Subki telah berkata[6]:
Bagaimanapun Ibn Kullab termasuk Ahl al-Sunnah…Aku melihat al-Imam Dhiyauddin al-Khatib, ayah al-Imam Fakhruddin al-Razi, menyebutkan Abdullah bin Said bin Kullab di dalam akhir kitabnya Ghayat al-Maram fi `Ilm al-Kalam, berkata: “Di antara teologi Ahl al-Sunnah pada masa khalifah al-Makmun adalah Abdullah bin Said al-Tamimi yang telah mengalahkan Muktazilah di dalam majlis al-Makmun dan memalukan mereka dengan hujjah-hujjahnya”

Al-Hafiz Ibn Asakir al-Dimasyqi telah berkata[7]:
“Aku pernah membaca tulisan Ali bin Baqa’ al-Warraq, ahli hadith dari Mesir, berupa surat yang ditulis oleh al-Imam Abu Muhammad Abdullah bin Abi Zaid al-Qairawani, seorang pakar ahli Fiqh mazhab al-Maliki dan tokoh terkemuka pengikut mazhab al-Imam Malik di Maroco pada masanya, kepada Ali bin Ahmad bin Ismail al-Baghdadi al-Muktazili sebagai jawapan terhadap surat yang ditulisnya kepada kalangan pengikut mazhab Maliki di Qairawan kerana telah memasukkan pandangan-pandangan Muktazilah. Surat tersebut sangat panjang sekali, telah menisbahkan Ibn Kullab terhadap bid`ah, padahal anda tidak pernah menceritakan suatu pendapat dari Ibn Kullab yang membuktikan dia memang layak disebut ahli bid`ah. Kami tidak pernah menemukan seorang ulama’ yang menisbahkan Ibn Kullab terhadap ajaran bid`ah. Justeru maklumat yang kami terima, Ibn Kullab termasuk pengikut Ahl al-Sunnah yang melakukan bantahan terhadap Jahmiyyah dan pengikut ahli bid`ah lainnya”.

Data sejarah yang disampaikan oleh al-Hafiz Ibn Asakir di atas memuatkan kesaksian yang sangat penting dari ulama’ sekaliber al-Imam Ibn Abi Zaid al-Qairawani terhadap Ibn Kullab, bahawa ia termasuk pengikut Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan bukan pengikut ahli bid`ah.
Al-Hafiz al-Zahabi telah berkata[8]:
“Ibn Kullab adalah tokoh agama yang paling dekat ke Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah bahkan termasuk juru debat mereka”.

Pernyataan al-Zahabi tersebut dipertegas oleh al-Syaikh Syuaib al-Arnauth yang mengomentarinya dengan mengatakan:
“Ibn Kullab adalah pemimpin dan rujukan Ahl al-Sunnah pada masanya. Al-Imam al-Haramain menyebutkan di dalam kitabnya al-Irsyad bahawa dia termasuk sahabat kami(mazhab al-Asy`ari)”.

Demikian pula al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani menyatakan bahawa Ibn Kullab sebagai pengikut Salaf dalam hal meninggalkan takwil terhadap ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah. Mereka juga disebut dengan golongan mufawwidhah (yang melakukan tafwidh).[9]
Dari paparan di atas dapatlah disimpulkan bahawa al-Imam Ibn Kullab termasuk dalam kalangan ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan konsisten dengan metodologi Salaf al-Salih dalam pokok-pokok akidah dan keimanan. Mazhabnya menjadi inspirasi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari (perintis mazhab al-Asy`ari).
Di sini mungkin ada yang bertanya apakah metodologi Ibn Kullah hanya diikuti oleh al-Imam al-Asy`ari???
Jawapannya adalah tidak. Metodologi Ibn Kullab tidak hanya diikuti oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sahaja, akan tetapi diikuti juga oleh ulama’ besar seperti al-Imam al-Bukhari iaitu pengarang Sahih al-Bukhari, kitab hadith yang menduduki peringkat terbaik dalam segi kesahihannya. Dala konteks ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani telah berkata[10]:
  1. "الْبُخَارِيُّ فِيْ جَمِيْعِ مَا يُوْرِدُهُ مِنْ تَفْسِيْرِ الْغَرِيْبِ إِنَّمَا يَنْقُلُهُ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْفَنِّ كَأَبِيْ عُبَيْدَةَ وَالنَّضَرِ بْنِ شُمَيْلٍ وَالْفَرَّاءِ وَغَيْرِهِمْ, وَأَمَّا الْمَبَاحِثُ الْفِقْهِيَّةُ فَغَالِبُهَا مُسْتَمَدَّةٌ لَهُ مِنَ الشَّافِعِيِّ وَأَبِيْ عُبَيْدٍ وَأَمْثَالِهِمَا, وَأَمَّا الْمَسَائِلُ الْكَلامِيَّةُ فَأَكْثَرُهَا مِنَ الْكَرَابِيْسِيِّ وَابْنِ كُلاَّبٍ وَنَحْوِهِمَا".
Maksudnya:
"Al-Bukhari dalam semua yang disajikannya berkaitan dengan penafsiran lafaz-lafaz yang gharib (aneh), mengutipnya dari pakar-pakar bidang tersebut seperti Abu Ubaidah, al-Nahzar bin Syumail, al-Farra’ dan lain-lain. Adapun kajian-kajian fiqh, sebahagian besar diambilnya dari al-Syafi`e, Abu Ubaid dan semuanya. Sedangkan permasalahan-permasalahan teologi (ilmu kalam), sebahagian besar diambilnya dari al-Karrabisi, Ibn Kullab dan sesamanya".

Pernyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani tersebut menyimpulkan bahawa al-Imam Abdullah bin Said bin Kullab adalah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang mengikuti metodologi ulama’ Salaf, oleh kerana itu dia juga diikuti oleh al-Imam al-Bukhari, Abu al-Hassan al-Asy`ari dan lain-lain.
Di sini mungkin ada yang bertanya, apabila Ibn Kullab termasuk salah seorang tokoh ulama’ Salaf dan mengikuti Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, beliau (Ibn Kullab) juga diikuti oleh banyak ulama’ seperti al-Imam al-Bukhari dan lain-lain, lalu mengapa Ibn Kullab dituduh menyimpang dari metodologi  Salaf atau Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah???
Hal tersebut sebenarnya datang daripada satu persoalan, iaitu tentang pendapat apakah bacaan seseorang terhadap al-Quran termasuk makhluk atau tidak. Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan pengikutnya berpandangan untuk tidak menetapkan apakah bacaan seseorang terhadap al-Quran itu makhluk atau bukan. Menurut al-Imam Ahmad bin Hanbal, pandangan bahawa bacaan seseorang terhadap al-Quran termasuk makhluk adalah bid`ah. Sementara al-Karabisi, Ibn Kullab, al-Muhasibi, al-Qalanisi, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain berpandangan tegas, bahawa bacaan seseorang terhadap al-Quran adalah makhluk. Berangkat dari perbezaan pandangan tersebut akhirnya kelompok al-Imam Ahmad bin Hanbal menganggap kelompok Ibn Kullab termasuk ahli bid`ah, meskipun sebenarnya kebenaran dalam hal tersebut berada di pihak Ibn Kullab dan kelompoknya. Dalam konteks ini al-Hafiz al-Zahabi telah berkata[11]:
"وَلا رَيْبَ أَنَّ مَا ابْتَدَعَهُ الْكَرَابِيْسِيُّ وَحَرَّرَهُ فِيْ مَسْأَلَةِ اللَّفْظِ وَأَنَّهُ مَخْلُوْقٌ هُوَ حَقٌّ, لَكِنْ أَبَاهُ الإِمَامُ أَحْمَدُ لِئَلاَّ يُتَذَرَّعَ بِهِ إِلَى الْقَوْلِ بِخَلْقِ الْقُرْآنِ فَسَدَّ الْبَابَ".
Maksudnya:
"Tidak diragukan lagi bahawa pandangan yang dibuat dan ditegaskan oleh al-Karabisi tentang masalah pelafazan al-Quran (oleh pembacanya) dan bahawa hal itu adalah makhluk, adalah pendapat yang benar. Akan tetapi al-Imam Ahmad enggan membicarakannya kerana khuatir membawa kepada pandangan kemakhlukan al-Quran. Sehingga al-Imam Ahmad lebih cenderung menutup pintu tersebut rapat-rapat".

Dari paparan di atas dapat disimpulkan bahawa Ibn Kullab bukanlah ulama’ yang menyimpang dari metodologi Salaf yang mengikuti fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, sehingga mazhabnya juga diikuti oleh al-Imam al-Bukhari, al-Asy`ari dan lain-lain. Sekarang apabila demikian, dari mana asal-usul pendapat bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan mazhab dan pendapat-pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab?
Pertanyaan ini mengajak kita untuk mengkaji artikel yang terakhir berikut ini.

KETIGA, KITAB AL-IBANAH AN USUL AL-DIYANAH

Kitab al-Ibanah `an Usul al-Diyanah di dakwa sebagai hujjah bagi golongan yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari melalui tiga fasa perkembangan di dalam kehidupannya. Memang harus diakui, bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah dan sebahagian kitab-kitab yang lain juga dinisbahkan terhadapnya mengikuti metodologi yang berbeza dengan kitab-kitab yang pernah dikarang olehnya. Di dalam kitab al-Ibanah, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengikuti metodologi tafwidh yang diikuti oleh majoriti ulama’ Salaf berkaitan dengan ayat-ayat mutasyabihat. Berdasarkan hal ini, sebahagian golongan memahami bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sebenarnya telah meninggalkan mazhabnya yang kedua iaitu mazhab Ibn Kullab, dan kini beralih kepada metodologi Salaf.
Di atas telah kami paparkan, bahawa Ibn Kullab bukanlah ahli agama yang menyalahi ulama’ Salaf. Bahkan dia termasuk dalam kalangan ulama’ Salaf dan konsisten mengikuti metodologi tafwidh sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan. Paparan di atas sebenarnya telah cukup untuk membatalkan dakwaan yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari meninggalkan metodologi Ibn Kullab dan berpindah ke metodologi Salaf, kerana Ibn Kullab sendiri termasuk dalam kalangan ulama’ Salaf yang konsisten dengan metodologi Salaf.
Oleh itu, bagaimana dengan kitab al-Ibanah yang menjadi dasar kepada kelompok yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab?
Di sini, dapatlah kita ketahui bahawa kitab al-Ibanah yang asli telah membatalkan kenyataan golongan Wahhabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapatnya yang mengikuti Ibn Kullab, kerana kitab al-Ibanah di tulis untuk mengikuti  metodologi Ibn Kullab, sehingga tidak mungkin  dakwaan yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah meninggalkan pendapat tersebut. Ada beberapa fakta sejarah yang mengatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari menulis kitab al-Ibanah dengan mengikut metodologi Ibn Kullab, kenyataan ini disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan iaitu[12]:
"وَ عَلَى طَرِيْقَتِهِ, يَعْنِي ابْنُ كُلاَّبٍ, مَشَى الأَشْعَرِيُّ فِيْ كِتَابِ الإِبَانَةِ".
Maksudnya:
"Metodologi Ibn Kullab diikuti oleh al-Asy`ari di dalam kitab al-Ibanah".

Pernayataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani ini menambah keyakinan kita bahawa Ibn Kullab konsisten dengan metodologi Salaf al-Salih dan termasuk ulama’ mereka, kerana kitab al-Ibanah yang dikarang oleh  al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada akhir hayatnya dan mengikuti metodologi Salaf, juga mengikuti metodologi Ibn Kullab. Hal ini membawa kepada kesimpulan bahawa metodologi Salaf dan metodologi Ibn Kullab ADALAH SAMA, dan itulah yang diikuti oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari setelah keluar dari Muktazilah.
Dengan demikian, kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani tersebut juga telah membatalkan dakwaan golongan Wahhabi melalui kenyataan mereka yang mengatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengalami tiga fasa perkembangan. Bahkan kenyataan tersebut dapat menguatkan lagi kenyataan yang menyatakan bahawa pemikiran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hanya mengalami dua fasa perkembangan sahaja iaitu fasa ketika mengikuti fahaman Muktazilah dan fasa kembalinya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari kepada metodologi Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar sebagaimana yang diikuti oleh Ibn Kullab, al-Muhasibi, al-Qalanisi, al-Karabisi, al-Bukhari, Muslim, Abu Tsaur, al-Tabari dan lain-lain. Dalam fasa kedua ini al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengarang kitab al-Ibanah.
Dalil lain yang menguatkan lagi bahawa kitab al-Ibanah yang dikarang oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sesuai dengan mengikut metodologi Ibn Kullab adalah fakta sejarah, kerana al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pernah menunjukkan kitab al-Ibanah tersebut kepada sebahagian ulama’ Hanabilah di Baghdad yang sangat menitik beratkan tentang fakta, mereka telah menolak kitab al-Ibanah tersebut kerana tidak setuju terhadap metodologi al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari. Di dalam hal ini, al-Hafiz al-Zahabi telah berkata[13]:  
"إِنَّ الأَشْعَرِيَّ لَمَّا قَدِمَ بَغْدَادَ جَاءَ إِلَى أَبِيْ مُحَمَّدٍ الْبَرْبَهَارِيِّ, فَجَعَلَ يَقُوْلُ: رَدَدْتُ عَلَى الْجُبَّائِيِّ, رَدَدْتُ عَلَى الْمَجُوْسِ, وَعَلَى النَّصَارَى. فَقَالَ أَبُوْ وَصَنَّفَ الاِبَانَةَ فَلَمْ يَقْبَلْ مِنْهُ".
Maksudnya:
"Ketika al-Asy`ari datang ke Baghdad, dia mendatangi Abu Muhammad al-Barbahari (ketua mazhab Hanbali) dan berkata : Aku telah membantah al-Jubba’i. Aku telah membantah Majusi. Aku telah membantah Kristian. Abu Muhammad menjawab, Aku tidak mengerti maksud perkataanmu dan aku tidak mengenal kecuali apa yang dikatakan oleh al-Imam Ahmad. Kemudian al-Asy`ari pergi dan menulis kitab al-Ibanah. Ternyata al-Barbahari tetap tidak menerima al-Asy`ari".

Fakta sejarah di atas menyimpulkan, bahawa al-Barbahari mewakili kelompok Hanabilah  tidak menerima konsep yang ditawarkan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari. Kemudian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari menulis kitab al-Ibanah dan diajukan kepada al-Barbahari, ternayata ditolaknya juga. Hal ini menjadi bukti bahawa al-Ibanah yang asli ditulis oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidak sama dengan kitab al-Ibanah yang kini diikuti oleh golongan Wahhabi. Kitab al-Ibanah yang asli sebenarnya mengikut metodologi Ibn Kullab.
Perlu diketahui pula, bahawa sebelum fasa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari, kelompok Hanabilah yang cenderung kepada penelitian fakta itu telah menolak metodologi yang ditawarkan oleh Ibn Kullab, al-Bukhari, Muslim, Abu Thaur, al-Tabari dan lain-lain berkaitan dengan MASALAH BACAAN SESEORANG TERHADAP AL-QURAN APAKAH TERMASUK MAKHLUK ATAU BUKAN.
Sekarang, apabila kitab al-Ibanah yang asli sesuai dengan metodologi Ibn Kullab, lalu bagaimana dengan kitab al-Ibanah yang tersebar dewasa ini yang menjadi dasar kaum Wahhabi untuk mendakwa bahawa al-Asy`ari telah membuang mazhabnya?
Berdasarkan kajian yang mendalam, para pakar telah membuat kesimpulan bahawa kitab al-Ibanah yang dinisbahkan kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tersebut telah tersebar dewasa ini penuh dengan tahrif/distoris, pengurangan dan penambahan. Terutama kitab al-Ibanah yang diterbitkan di Saudi Arabia.
Khas kepada mereka yang JUJUR ingin memahami tentang  jawapan daripada dakwaan golongan Wahhabi mengenai al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari bertaubat dari manhaj yang disusun oleh beliau sekarang ini. Kami sediakan artikel ini agar kekeliruan yang di cetus oleh golongan Wahhabi ini dapat dipadamkan. Artikel ini perlu dibaca sehingga habis, jika tidak anda tidak akan faham. Baca perlahan-lahan dan elakkan membaca dalam keadaan emosi.




[1] Abd al-Rahman bin Saleh al-Mahmud(1995), Mauqif Ibn Taimiyah min al-Asya`irah, Maktabah al-Rusyd, Riyadh, h. 378.
[2] Al-Hafiz Ibn Asakir(1374 H), Tabyin Kizb al-Muftari, al-Taufiq, Damaskus, h. 127.
[3] Al-Imam Ibn Khallikan(1994), Wafayat al-A`yan, Dar Shadir, Beirut, ed. Ihsan Abbas, juz 3, h. 284.
[4] Al-Hafiz al-Zahabi(1994), Syiar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed. Syuaib al-Arnauth, h. 89.
[5] Ibn Khaldum(2001), al-Muqaddimah, Dar al-Fikr, Beirut,  ed. Khalil Syahadah, h. 853
[6] Al-Subki(t.t), Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, Dar Ihya’ al-Kutub, Beirut, ed Abdul Fattah Muhammad dan Mahmud al-Tanahi, juz 2, h. 300
[7] Al-Hafiz Ibn Asakir(1347 H), Tabyin Kizb al-Muftari, al-Taufik, Damaskus, h. 405.
[8] Al-Zahabi(1994), Siyar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed, Syuaib al-Arnauth, juz 11, h. 175
[9] Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t.), Lisan al-Mizan, Dar, al-Fikr, Beirut, juz 3, h. 291
[10] Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t), Syarh Sahih al-Bukhari, Salafiyyah, Cairo, juz 1, h. 293
[11] Al-Zahabi(1994), Siyar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed, Syuaib al-Arnauth, juz 12, h. 82 dan juga juz 11, h. 510
[12] Ibn Hajar al-`Asqalani(t.t.), Lisan al-Mizan, Dar, al-Fikr, Beirut, juz 3, h. 291
[13] Al-Zahabi(1994), Siyar A`lam al-Nubala, Muassasah al-Risalah, Beirut, ed, Syuaib al-Arnauth, juz 12, h. 82 dan juga juz 15, h. 90 dan Ibn Abi Ya’la al-Farra’(t.t.) Tabaqat al-Hanabilah, Salfiyyah, Cairo, ed. Hamid al-Faqi, juz 2, h. 18

No comments:

Post a Comment