Aku benci padanya...
Aku benci padanya
Usah dihirau siapa gerangannya
Yang membuatkan jiwa terguris luka
Terhempas berkecai hingga terabur serpihan kehinaan
Baginya dialah yang mencengkam minda kedamaian
...Atau mungkin perhitungan pengalaman kian mendewasakan
Namun ramuan kekuasaan bukanlah kelonggaran untuk menjangkau batasan
Aku benci padanya
Insan yang hanya tahu menyelusuri nadi desakan
Insan yang hanya tahu mendaki segunung keegoan
Insan yang hanya tahu menghirup udara dingin yang mencemarkan lubuk perasaan
Insan yang hanya tahu mendengar bisikan hasutan yang sudah terdampar ketandusan
Insan yang hanya tahu bertaut pada dahanan keyakinan yang kerapuhan
Insan yang hanya tahu mengharapkan kemenangan daripada kerahan keterpaksaan
Insan yang hanya tahu hidup dalam kedapan jiwa yang tertekan
Aku benci padanya
Setiap kayuhan langkahnya adalah amarah
Acap kali ungkapannya penuh helah bermadah
Dalam kelembutan kata terkandung setitis bisa bernanah
Aku tidak mampu bertopengkan kepura-puraan
Demi harga sebuah penghormatan
Kini terhimpit kejelekan yang tidak lagi sanggup kutahan
Aku benci padanya
Gemarnya berbicara bermuka-muka
Ibarat gergaji dua belah
Lembut gigi dari lidah,
Tidakkah dia sedari?
Hanya kerananya seorang insan memendam luka merawat bisa
Hanya kerananya seorang insan hilang kesaksian merintih kesengsaraan
Hanya kerananya seorang insan terdampar di sudut kesepian, menjerit batinnya yang terseksa
Hanya kerananya dua insan terlerai ikatan kasih, rindu tersisih
Aku benci padanya
Entah mengapa kebencianku mengalir ke dalam lautan dendam yang tidak pernah kering
Sedangkan kebencian datangnya daripada iblis durjana
Yang ingin menghancurkan keturunan manusia
Aku telah tenggelam dek rasa kebencian yang mencemari keimanan yang rapuh
Akhirnya pandangan tohorku dapat mengakui hakikat
Bahawa tiap manusia bermain melodi berbeza di pentas dunia
Aku mula mengikis karat benci yang aku sulami
Agar aku mampu menikmati ketenangan abadi kurniaan Ilahi
Tangisan kebencianku berubah menjadi tangisan keinsafan…
http://deawaken.blogspot.com/2011/01/aku-benci-padanya.html
No comments:
Post a Comment