Friday, February 18, 2011

SEJARAH HIDUP AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI

Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada mulanya mengikuti fahaman Muktazilah sehingga umur 40 tahun. Namun kemudian setelah sekian lama ,menjadi tokoh Muktazilah dan sentiasa mewakili gurunya Abu Ali al-Jubba’I di dalam forum-forum perdebatan, akhirnya al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada aliran Muktazilah dan kembali kepada ajaran Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Pertanyaan yang patut dikemukakan di sini adalah, apakah yang menyebabkan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada ajaran yang sebenar iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
Menurut fakta sejarah yang didapati di dalam kitab-kitab para alim ulama’ seperti al-Hafiz Ibn Asakir al-Dimasyqi, Syamsuddin Ibn Khallikan, al-Imam Tajuddin al-Subki dan lain-lain. Apabila diteliti fakta sejarah, maka kita mendapati al-Imam Abu al-Hassan keluar daripada fahaman sonsang Muktazilah kerana dua sebab.
PERTAMA:
Kerana ketidakpuasan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari terhadap pemikiran Muktazilah yang selalu mendahulukan hujjah akal dan dapat dipatahkan dengan hujjah akal yang sama. Ketidakpuasan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tersebut dapat dilihat dengan memperhatikan beberapa sebab. Terdapat riwayat yang lain mengatakan sebelum al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada aliran songsang Muktazilah, beliau tidak keluar dari rumah selama lima belas hari. Kemudian pada hari Jumaat, beliau keluar dari rumah dan menuju ke Masjid Jami’ dan naik ke atas mimbar dan berpidato: “Sebenarnya saya telah menghilangkan diri dari kalian selama lima belas hari. Selama itu, saya telah meneliti dalil-dalil semua ajaran yang ada. Ternyata saya tidak menemukan dalil jalan keluar. Dalil yang satu tidak lebih kuat dari dalil yang lain. Lalu saya memohon kepada Allah ta`ala dan ternyata Allah ta`ala telah memberikan petunjuk-Nya kepadaku untuk meyakini apa yang saya tulis di dalam beberapa kitab ini. Mulai saat ini, saya membuang semua ajaran yang saya yakini selama ini (Muktazilah)”.
Kemudian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari memberi beberapa kitab yang ditulisnya itu berdasarkan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah kepada orang-orang di sana. Di antaranya adalah kitab al-Luma` fi al-Radd `ala Ahl al-Zaygh wa al-Bida’, kitab yang membahaskan mengenai kekeliruan fahaman Muktazilah iaitu kitab Kasy al-Astar Wa Hatk al-Asrar dan kitab-kitab lain. Setelah kitab-kitab tersebut dibaca oleh ulama’-ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah daripada kalangan ahli hadith dan fuqaha, maka mereka mengambil isinya, meyakini kehebatan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`arid an menjadikannya sebagai ikutan.[1]

Ketidakpuasan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan fahaman songsang Muktazilah tersebut dapat dilihat dengan memerhatikan riwayat lain yang menyatakan perdebatan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dengan bekas gurunya Abu Ali al-Jubba’i.
Pada suatu ketika al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah berdebat dengan al-Jubba’I,
 Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari,
“Bagaimana pendapatmu tentang nasib tiga orang yang meninggal dunia, satunya mukmin, satunya orang kafir dan yang satu lagi anak kecil?”
Al-Jubba’i,
“Orang mukmin akan memperoleh darjat yang tinggi, orang kafir akan celaka dan anak kecil akan selamat”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari,
“Mungkinkah anak kecil tersebut meminta darjat yang tinggi kepada Allah?”.
Al-Jubba’i,
“Oh, tidak mungkin kerana Allah akan berkata kepada anak kecil itu, “Orang mukmin itu memperolehi darjat yang tinggi kerana amalnya, sedangkan kamu belum sempat beramal. Jadi kamu tidak dapat memperolehi darjat itu”.
 Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari,
“Bagaimana kalau anak kecil itu meminta kepada Allah dengan berkata, “Tuhan, demikian itu bukan salahku. Seandainya Engkau memberiku umur yang panjang, tentu aku akan beramal seperti orang mukmin itu”.
 Al-Jubba’i,
“Oh, tidak boleh, Allah akan menjawab, “Oh, bukan begitu, kerana Aku sudah mengetahui bahawa apabila kamu diberikan umur panjang, maka kamu akan derhaka, sehingga kamu akan diseksa. Oleh itu, Aku mematikan kamu sewaktu engkau kecil sebelum kamu mencapai usia taklifi (iaitu wajib mengikut perintah Allah)”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari,
“Bagaimana seandainya orang kafir itu meminta kepada Allah dengan berkata, “Tuhan, Engkau mengetahui masa depan anak kecil itu dan juga masa depanku. Tetapi kenapa Engkau tidak mematikan aku sewaktu kecil dulu, sehingga aku tergolong dalam golongan orang yang selamat seperti anak kecil itu, dan mengapa Engkau biarkan aku hidup hingga dewasa sehingga aku menjadi orang kafir dan akhirnya aku diseksa seperti sekarang ini?”.
Mendengar pertanyaan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari ini, al-Jubba’i menghadapi jalan buntu dan tidak mampu memberikan jawapan. Al-Jubba’i hanya berkata: “Kamu hanya bermaksud merosak keyakinan yang telah ada”.
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari,
“Aku tidak bermaksud merosak keyakinan yang selama ini anda yakini, akan tetapi, guru tidak mampu menjawab pertanyaanku”.

KEDUA
Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari telah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam pada permulaan bulan Ramadhan. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari tidur dan bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Baginda berkata: “Wahai Ali, tolonglah pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar”.
Setelah terbangun, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari merasakan mimpi itu sangat berat dalam fikirannya. Dia terus memikirkan apa yang dialaminya dalam mimpi tersebut. Pada pertengahan bulan Ramadhan, dia bermimpi  lagi bertemu dengan Rasullah sallallahu`alaihi wasallam, dan baginda berkata: “Apa yang kamu lakukan dengan perintahku dulu? Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Aku telah memberikan pengertian yang benar terhadap pendapat-pendapat yang diriwayatkan darimu”. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Tolonglah pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar”.
Setelah terbangun dari tidurnya, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berasa sangat terbeban dengan mimpi tersebut. Sehingga dia terfikir untuk meninggalkan ilmu kalam. Dia akan mengikuti hadith dan terus membaca al-Quran. Tetapi, pada malam 27 Ramadhan, keadaannya tidak seperti biasa, rasa mengantuk begitu hebat menyerangnya sehingga dia pun tertidur dengan rasa kesal di dalam hatinya, kerana kebiasaannya beliau tidak tidur malam untuk beribadah kepada Allah ta`ala. Di dalam tidurnya itu, beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam untuk kali ketiganya. Nabi sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Apa yang kamu lakukan dengan perintahku dulu? Ia menjawab: “Aku telah meninggalkan ilmu kalam, dan aku memberi tumpuan dengan tekun kepada al-Quran dan hadith”. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Aku tidak menyuruhmu meninggalkan ilmu kalam, tetapi aku hanya memerintahkan kamu menolong pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar”. Ia menjawab: “Wahai Rasulullah, bagaimana aku mampu meninggalkan mazhab yang telah aku ketahui masalah-masalah dan dalil-dalilnya sejak tiga puluh tahun yang lalu hanya kerana mimpi?”. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berkata: “Seandainya aku tidak tahu bahawa Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya, tentu aku menjelaskan kepadamu semua jawapan masalah-masalah (ajaran Muktazilah) itu. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam masalah ini, Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya”.
Setelah bangun daripada tidur, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari berkata: “Selain kebenaran pasti hanya kesesatan”. Lalu dia mulai membela hadith-hadith yang berkaitan dengan ru’yah (melihat Allah di hari akhirat), syafaat dan lain-lain. Ternyata setelah itu al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mampu memaparkan kajian-kajian dan dalil-dalil yang belum pernah dipelajarinya dari seorang guru, tidak dapat dibantah oleh pihak lawan dan belum pernah dibacanya di dalam suatu kitab.[2]

AKTIVITI BARU AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI SETELAH BERTAUBAT DARIPADA FAHAMAN SONGSANG MUKTAZILAH

Pada saat al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengikuti fahaman songsang Muktazilah, aktiviti beliau hanya mengarang kitab-kitab yang membela ajaran sesat Muktazilah. Dan kadang-kadang beliau mewakili gurunya Abu Ali al-Jubba’i di dalam forum-forum perdebatan menghadapi tokoh-tokoh di luar Muktazilah. Kini, setelah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari keluar daripada fahaman Muktazilah dan kembali kepada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, aktiviti yang beliau lakukan semakin bertambah. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari mengisi masanya dengan mengajar ilmu akidah di Masjid Jami’ di Kota Basrah yang dipenuhi golongan pelajar dari pelbagai penjuru.[3]
Di samping itu, aktiviti beliau juga dengan menjawab pelbagai pertanyaan yang datang dari berbagai daerah. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari juga mengisi aktivitinya dengan menghadiri majlis-majlis ahli bid`ah dan melakukan perdebatan dengan mereka, perbuatan ini belum pernah dilakukan oleh ulama’ sunni sebelumnya.
Pada masa pemerintahan khalifah al-Makmun, al-Mu’tashim dan al-Watsiq, kaum Muktazilah berhasil menjalinkan hubungan dengan khalifah untuk menyebarkan fahaman Muktazilah tentang kemakhlukan al-Quran melalui kekusaan khalifah tersebut, sehingga berlaku tragedy sejarah yang disebut dengan mihnah al-Quran. Sementara al-Imam Ahmad bin Hanbal, yang mewakili tokoh sunni pada saat itu, kerana didorong oleh sifat wara’ dan berhati-hati, maka beliau enggan untuk berdepan dengan Muktazilah di dalam perdebatan secara terbuka.
Hal tersebut dijadikan peluang oleh Muktazilah untuk menyebarkan fahaman songsang mereka kepada pemimpin bahawa kaum sunni iaitu Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak mempunyai dalil untuk melakukan perdebatan terbuka dengan Muktazilah kerana keyakinan mereka yang tidak mampu membela kebatilan. Kaum Muktazilah juga menyebarkan fahaman bahawa kaum, Sunni tidak memiliki hujjah yang kuat untuk mempertahankan diri. Dengan ideologi yang disebarkan oleh golongan Muktazilah tersebut, maka para pemimpin di zaman itu berhasil diyakinkan bahawa ajaran Muktazilah memang benar dan memiliki hujjah-hujjah yang kuat. Sehingga pada akhirnya, terjadilah pemaksaan terhadap para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain untuk mengakui akidah bahawasanya al-Quran itu makhluk. Bahkan pada saat itu, pemimpin memaksa masyarakat untuk mengakui bahawasanya al-Quran itu makhluk sehingga kepada Jabatan Hakim, Mufti dan saksi di dalam pengadilan hanya diberikan kepada mereka yang mengakui bahawa al-Quran itu makhluk.
Sebenarnya pada saat itu telah muncul pakar-pakar  di dalam bidang agama seperti Abdul Aziz bin Yahya al-Kinani, al-Harith bin Asad al-Muhasibi, Abdullah bin Sa`id bin Kullab dan lain-lain yang mampu berdepan dengan golongan Muktazilah di dalam forum perdebatan. Hanya sahaja kerana mereka menjalani kehidupan zuhud dan sufi, mereka enggan untuk duduk bersama di dalam satu majlis dengan golongan Muktazilah yang dianggap sebagai ahli bid`ah. Mereka membantah ajaran songsang Muktazilah dengan menulis buku-buku yang berisi bantahan terhadap hujjah-hujjah terhadap ajaran Muktazilah. Hingga akhirnya, pada masa al-Qadhi Ismail al-Basri (199-282 H/814-896 M), yang menjawat sebagai jawatan Hakim agung di Baghdad, tampil al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari yang telah banyak menulis karya ilmu agama mengikut fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan menyusun kitab-kitab yang membantah golongan Muktazilah sehingga mematahkan semua hujjah-hujjah golongan Muktazilah dan memceh kekuatan mereka. Secara rutin al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari hadir di dalam majlis-majlis golongan Muktazilah dan berdebat dengan mereka sehingga akhirnya, suatu hari ada orang yang bertanya kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari: “Mengapa anda bergaul dengan ahli bid`ah (Muktazilah) dan menghadiri majlis-majlis mereka? Bukankah anda diperintahkan untuk menjauhi mereka?”, al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari menjawab: “Mereka itu orang-orang yang memiliki kedudukan penting di mata Gabenor dan Hakim. Dengan posisi mereka yang penting itu, mereka tidak mungkin datang kepadaku. Apabila mereka tidak mungkin datang kepadaku, lalu aku tidak mendatangi mereka, bagaimana mungkin kebenaran dapat dibukti, dan bagaimana mungkin mereka mengetahui Ahl al-Sunnah mempunyai pembela? Oleh kerana itu dengan terpaksa aku mendatangi mereka untuk menjelaskan kebenaran”.[4]




[1] Tabyin al-Kizb al-Muftari, h. 39-40 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3, h. 219
[2] Tabyin Kizb al-Muftari, h. 38, Wafayat al-A’yan, juz 3. h. 284 dan Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra, juz 3. h. 219.
[3] Hammudah Gharrabah(1973), Abu al-Hassan al-Asy`ari, Majmu’ al-Buhuth al-Islamiyyah, Cairo, h. 68
[4] Al-Hafiz Ibn Asakir(1347 H), Tabyin Kizb al-Muftari, al-Taufiq, Dimaskus, h. 68-69

No comments:

Post a Comment