Friday, February 18, 2011

Ringkasan tafsir surah al-Hujurat: ayat 9-12

Ringkasan tafsir surah al-Hujurat: ayat 9-12

DIkirim oleh mohd masri di Mei 9, 2007
Oleh Abu Adam (abuadam@darussalam.net)
Ayat 9. “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Al-Hujuraat ayat 9
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Dilapurkan oleh Anas satu ketika Rasulullah (SAW) dijemput untuk melawat Abdullah bin Ubay, baginda menaiki keldainya dan diikuti oleh sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah (SAW) menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah (SAW) sambil mencemuh “Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku”, lalu salah seorang sahabat dari golongan Ansar menjawab “Demi Allah, bau unta Rasulullah (SAW) adalah lebih harum dari bau mu”. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” (riwayat Muslim dan Imam Ahmad).
(Nota: Abdullah bin Ubay adalah ketua golongan munafik, dan bukanlah sesuatu yang aneh untuk golongan munafik dan musyrik menggunakan lafaz “demi Allah” di zaman Jahiliyah kerana mereka masih mengakui keesaan Allah sebagai Rabb yang berbeza cuma mereka syirik terhadap Allah dalam sembahan-sembahan mereka)
Pengajaran ayat:
Ayat ke-9 ini menekankan prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang.
Langkah pertama ialah kedua pihak yang berperang mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.
Langkah kedua, jika satu pihak berkeras untuk berperang dan tidak mahukan penyelesaian maka pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai). Keutamaan menghentikan kekerasan sesama muslim adalah dari hadis Rasulullah (SAW):
“Bantulah saudaramu samada yang zalim atau dizalimi”. Seorang sahabat Anas r.a. terkejut lalu bertanya “Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?” Rasulullah (SAW) menjawab “Bantulah dia dengan menghentikannya dari menzalimi” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Langkah ketiga, apabila pihak yang degil sudah berjaya ditundukkan, maka rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula.
Ayat 10. “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” Al-Hujuraat ayat 10
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sama dengan ayat ke-9
Pengajaran ayat:
Ayat ke-10 ini adalah lanjutan kepada ayat ke-9. Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan (brotherhood) dalam Islam itu penting dan adalah sesuatu yang ‘integral’ kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan-ikatan lainnya.
Ikatan persaudaraan dalam Islam adalah yang terbaik sifatnya yang merangkumi aspek kasih-sayang, tolong-menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu-menipu dan tindas-menindas.
Sabda Rasulullah (SAW) dalam beberapa buah hadis Baginda (SAW) mengenai persaudaraan:
Tolong menolong:

“Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya” (riwayat Muslim).
Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah (SAW) bersabda “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Kasih-sayang:
Dari Anas bin Malik, Rasulullah (SAW) bersabda “Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Tidak tindas-menindas:
Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Sesiapa yang menipu kita adalah bukan di kalangan kita (muslim yang benar beriman)” (riwayat Muslim).
Tidak berlama-lama dalam perselisihan faham:

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Ayat 11. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11

Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.
Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.
Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-11 ini Allah (SWT) menetapkan dua larangan dalam konsep persaudaraan dalam Islam.
1. Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Namun begitu ada riya’ dan bangga diri yang dibenarkan iaitu bangga menganuti agama Islam dan mendokong segala prinsip dan syariat Islam dan berasa ujub (superior) dengan lengkap dan syumulnya Islam berbanding dengan agama yang lain, dan tidak merasa malu-malu atau rendah-diri mengenainya. Inilah bangga diri yang dibenarkan dan digalakkan.
2. Janganlah mengamalkan tabiat gemar mempersendakan orang lain. Termasuk empersendakan ialah menghina, memalukan, melekehkan, mengutuk, mencaci dan seumpamanya. Tabiat memannggil dengan panggilan yang buruk, ‘character assassination’ dan sebagainya sudah menjadi lumrah dalam suasana hidup zaman sekarang. Tidak mustahil kalau ianya berjaya dibuang dalam kehidupan sehari-hari maka tidak banyaklah benda yang hendak dicakap atau dituliskan.
Beberapa buah hadis Rasulullah (SAW) sebagai pesanan:

Dilapurkan oleh Saalim berkata ayahnya bahawa Nabi (SAW) bersabda “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat” (riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).
Dilapurkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (SAW) “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (riwayat Tirmizi dan Abu Daud).
Ayat 12. “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebagai lanjutan kepada ayat ke-11
Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-12 ini Allah (SWT) menetapkan satu lagi larangan dalam konsep pembinaan persaudaraan dalam Islam. Dua larangan awal dalam ayat ke-11 adalah berbentuk zahir berbeza dengan sifat prasangka dan mengintip-intip dalam ayat ke-12 yang bersifat tersembunyi.
3. Ayat dimulakan dengan larangan Allah (SWT) terhadap sifat bersangka-sangka (dengan persangkaan buruk – su’ul dzan). Persaudaraan yang kukuh mustahil dapat dibentuk kalau wujudnya sikap bersangka-sangka buruk terhadap satu sama lain. Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Jauhilah bersangka-sangka kerana ianya satu penipuan dalam berkata-kata” (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Syak wasangka yang dizahirkan dengan ucapan mudah tergelincir kepada fitnah dan mengumpat (ghibah). Dapatlah disimpulkan bahawa keburukan fitnah dan mengumpat (ghibah) itu sebenarnya adalah berakar umbi dari sifat-sifat syak-wasangka.

Seorang Islam yang beriman seharusnya tidak menzahirkan sebarang anngapan buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan sebuah hadis dari Rasulullah (SAW) yang dilapurkan oleh Abu Hurairah “Allah (SWT) tidak akan melihat niat buruk seseorang itu sehinggalah dia menyuarakannya atau melakukannya”. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Dilapurkan, berkata Umar Al-Khattab “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga” (riwayat Ibnu Katsir dan Imam Malik)
Ayat ke-12 ini diakhiri dengan larangan mengumpat (ghibah, berbicara buruk) yang lahir dari perasaan syak-wasangka. Perbuatan ghibah ini adalah antara faktor utama yang meruntuhkan persaudaraan (ukhwah) sesama Islam. Rasulullah (SAW) pernah ditanya “Wahai Rasulullah, apa sebenarnya Ghibah itu?” Rasulullah (SAW) menjawab, “Iaitu berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka”, ditanya lagi “Bagaimana kalau ianya benar?” Rasulullah (SAW) menjawab “Sekiranya apa yang kau katakan itu benar engkau telah melakukan ghibah dan sekiranya tidak engkau telah melakukan fitnah”.
AlhamduliLlah, sekian saja tafsir ringkas untuk ayat 9-12 dari surah Al-Hujuurat, semoga ada manfaat untuk yang bertanya dan warga fikrah lainnya.
Sumber : Tafseer Soorah Al-Hujuraat, Abu Ameenah Bilal Philips,
Tawheed Publications, Riyadh.



http://soaljawab.wordpress.com/2007/05/09/ringkasan-tafsir-surah-al-hujurat-ayat-9-12/

No comments:

Post a Comment