Disiarkan pada Aug 24, 2010 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
Doa Untuk Bukan Muslim: Bicara Harmoni Buat S.S Mufti Perak
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.
Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.
Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;
2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.
3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.
4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.
5. Kata Abdullah bin Mas’ud:
“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.
6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.
7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:
“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.
10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.
11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?
12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:
“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.
Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.
http://drmaza.com/home/?p=1217
No comments:
Post a Comment